Boleh tak ustaz beri komen tentang kes ibu yang melahirkan anak tetapi tidak mempunyai pertalian sah dengan ‘bapa’ kepada anak itu, senang kata anak haram. Harap ustaz dapat komen tentang:
1. Apa yang harus ibu itu lakukan?
2. Peranan orang disekitar, keluarga dan kawan..
3. Bagaimana Islam menguruskan masalah ini?
Itu soalannya.
Sebelum menjawab persoalan yang diberikan, mari kita lihat dan perhatikan apa yang berlaku disekeliling masyarakat kita. Lihat jiran-jiran kita, lihat masyarakat kampung ataupun taman perumahan, lihat lebih jauh lagi. Negeri dan negara kita.
Dahulu, orang kampung akan bising riuh sekampung jika terlahir seorang anak luar nikah. Dengan istilah mereka dilabelkan sebagai ‘anak haram’. Tidak cukup dengan cemuhan dan ejekan pada si ibu, sikap kutukan ini menjadi warisan zaman berzaman. Hebatnya penangan orang berzina bukan?
Hidup si ibu itu seperti ‘cicak tersepit di dedaun pintu’. Mahu lari, sudah tersepit. Akhirnya, mati mengering tanpa dipedulikan orang. Dipandang jelek dan hina. Pandangan dari sisi masyarakat Melayu mengenai perlakuan zina suatu ketika dahulu dianggap jijik dan sensitif.

