Sewaktu kecil, saya selalu mendongak ke langit tinggi memerhati luasnya alam. Bahkan, teramat kagum pada lukisan tujuh warna sang pelangi.
Ianya merentangi bukit-bukau tatkala bumi menerima rintik gerimis. Indah sekali di kaki bukit menghijau.
Pernah juga suatu ketika guru mengajarkan matapelajaran sains UPSR, menerangkan bagaimana terjadinya pelangi. Prisma berbentuk piramid diberikan kepada kami buat eksperimen sains. Saya takjub. Saya suka.
Memasuki makmal untuk sessi uji kaji amat saya gemari ketika itu.
“M,J,K,H,B,I dan U.. warna pelangi ada tujuh. Merah, jingga, kuning, hijau, biru, indigo dan ungu.” Itulah yang dihafal berkaitan warna-warni pelangi. Permulaan huruf diambil untuk dijadikan rumus bagi memudahkan hafalan.
MENGEJAR PELANGI
Menyentuh pelangi senja itu bagai angan-angan Mat Jenin yang tidak kesampaian, apatah lagi mendakapnya erat. Namun, cuba berlari mengejarnya itu suatu nikmat. Walau keletihan, rasa puas tetap saja terlakar bersama kerana lukisan tujuh warna itu mampu mengukirkan sebuah senyuman kepada pengejarnya.

