Syair malam memekik syahdu. Kelibat sang cengkerik mula menampakkan diri di celahan dedaunan hijau muda dan tua. Ralit berzikir memuja Ilahi. Suaranya hanya alam mengerti.
Kawasan petak bersegi itu hampir lunyai dibantai kami berpasukan, rerumputnya seakan sudah segan untuk tumbuh kerana kekerapan dihinjak kaki berterusan. Jamung moden berkelip-kelip menyimbah cahaya kekuningan hasil sumber tenaga rumah Pak Malik. Keliling gelanggang dipagari buluh agar ma’ruf manusia itu adalah tempat berpencak silat.
Tanah hutan belukar itu dahulunya hanya menjadi tempat babi tunggal bermain-main, menjadi tempat nyamuk menyedut darah mangsa, bahkan menjadi laluan manusia ke sungai di seberang sana. Sebelum tanah itu dibeli oleh Pak Su untuk dijadikan kawasan penanaman sayur-sayuran, kami telah ratakan menjadi medan untuk bertempur di sebelah malamnya.
“Hah, berjantan (kekuda) molek!!” Jerit Tok Che Wachik memecah hening malam.
“Yaa, heeakk..” Kami menyambung suara bersama pukulan padu buah yang tujuh.
Saya dipasangkan berpasangan dengan abang sulung sendiri berdasarkan kesesuaian watak. Dahulu, saya dan abang sulung tidak pernah diam tanpa pertelingkahan. Kami sering menjadi pergaduhan sebagai kemuncak episod pertelingkahan. Emak pening memikirkan anak lelakinya yang dua ini sehingga pernah berbicara agar kami lekas dewasa.

