Header image

Dewan kuliah sunyi sepi seketika. Syeikh Doktor Muhammad Zain meneruskan pengajarannya.

“Contoh kaedah Masyaqah Tajlibu Taisir di bawah cabang masalah umum balwa. Harus seorang suami berkahwin empat wanita tidak boleh hadkannya seorang semata-mata. Ini kemudahan ke atas seorang lelaki dan juga memberi kemudahan ke atas seorang perempuan memandangkan perempuan ramai. Tetapi kahwin tidak melebihi empat kerana akan memberatkan suami isteri dalam pembahagaian dan sebagainya…”

Saya tersenyum. Mata melilau melihat gelagat teman yang lain. Tangan meraba-raba kitab 267 muka surat tidak termasuk kulit.

Mereka juga saling tersenyum mendengar penerangan beliau. Muncul riak bicara persis dengungan sekumpulan lebah. Desiran bayu luar terus menerus menyelinap ke bingkai jendela. Air-cond semulajadi.

Suara pensyarah kami itu kembali bergema memenuhi ruang-ruang inci kuliah. Usang berzaman namun punya sejarah keilmuan tersendiri. Entah berapa ramai bangunan kuliah itu telah menghasilkan ulama’-ulama’ faqeh ilmunya. Abaikan debu-debu yang menempek. Endahkan kesesakan menadah setitis permata. Jadikan pedoman persis onak duri mencucuk. Tidak dinamakan perjuangan jika tiada percaturan.