Header image

“Ustaz Farid, ada orang jual kuih!” Syuhada memanggil saya setelah pintu rumah dibuka. Beliau merupakan salah seorang teman serumah dan baru menginap di rumah saya beberapa bulan yang lepas.

Saya membiarkan bawang yang dihiris di atas sinki. Ayam sudah siap dibasuh. Hajat dihati mahu memasak Ayam Masak Kicap. Lalu saya segera membasuh tangan dan bergegas ke ruang tamu.

“Kuih apa tu ustaz?” Saya bertanya sambil berjalan ke ruang tamu. Tercegat dua orang mahasiswa Indonesia yang sedang memegang syantoh hitam berisi kuih-muih.

“Ada kuih intinya pisang dan coklat.” Jawab mahasiswa al-Azhar daripada Indonesia itu.

“Berapa harganya?”

“Segeneh satu.”

“Sebentar ya, saya ambil duit.” Saya menapak ke bilik untuk mengambil duit.

“Syuhada tak nak?” Soal saya. Beliau turut menghulurkan wang kepada mahasiswa Indonesia itu.

“Ana ambil tiga.” Jawabnya. Saya turut membeli dua biji kuih popia berinti pisang dan coklat itu.

“Bawang putih ada lagi ustaz?” Soal mereka.

(more…)

Berdebar. Sedih. Suka. Pelbagai perasaan menghantui jiwa.

Bukanlah kerana takut untuk menaiki kapal terbang – memandangkan semasa berusia 8 tahun sudah pernah terbang bersama keluarga ke Sabah, tetapi takut dan berdebar disebabkan oleh jauhnya jarak masa dan perjalanan kali ini.

Destinasi yang ditujui bukan berpuluh kilometer, tetapi ribuan kilometer sehingga melintasi benua asia, timur tengah dan afrika. Jika dahulu ketika menuntut di KUSZA (UDM), paling lama berpisah dengan keluarga lebih kurang memakan masa dua bulan. Dua bulan itu sudah dirasa segalanya berubah apabila pulang bercuti ke kampung.

Penat dan letih masih belum hilang. Suasana kelam kabut sekejap tadi di Lapangan Terbang Alor Setar galak bermain di geluk minda. Betapa berdebarnya saya dan keluarga apabila diberitahu timbangan kargo hanya dibenarkan lebih kurang 20 Kilogram. Sedangkan bersama saya ialah muatan kargo sebanyak 40 Kilogram!

Kegelisahan itu jelas terpancar pada gerak-gerik ayah, mak, pak su, mak ngah dan mak teh. Mereka bertungkus lumus memindahkan barangan kargo untuk dijadikan carry bag agar timbangan dapat dikurangkan.

Jika tidak, pasti melayang ratusan ringgit Malaysia di situ. Tambahan pula, saya sudah menghabiskan ratusan wang semata-mata membeli barangan keperluan untuk dibawa bersama. Andaikan semua barang tersebut dibuang, alangkah sedihnya hati. Sudahlah mahu terbang jauh meninggalkan keluarga tercinta.

(more…)

Perjalanan bas SP Bumi dari daerah Baling ke Terengganu memakan masa lebih kurang 5 jam perjalanan. Dahulu seingat saya sekitar tahun 2003-2006 perjalanan menaiki bas memakan masa hampir 7 jam. Setelah siap pembinaan lebuhraya menghubungkan Butterworth ke Grik, Perak ia telah menjimatkan masa perjalanan.

Tidak semua duduk itu memberi keselesaan, ada ketika duduk terlalu lama juga mengundang keletihan.

Saya bersama adik lelaki yang berumur 17 tahun akhirnya tiba di bandar Kuala Terengganu ketika hampir solat fajar. Usai solat, kami berdua berjalan kaki menyusur lorong Masjid Putih menuju ke kawasan Taman Syahbandar.

“Kawasan Tanjung dah berubah, dulu kawasan ni dijadikan stesen perhentian bas..” Kata saya  kepada adik lelaki. Dia hanya mengangguk faham. Saya cuba mengingatkan nostalgia beberapa tahun dahulu ketika belajar di IPT tempatan. Sengaja saya menerangkan begitu, tambahan pula adik baru pertama kali menjejakkan kaki ke Pantai Timur.

(more…)

Pagi itu kota Kaherah kelihatan cerah. Fajar mentari mula memercikkan cahaya menyimbah bumi Hayyu Asyir. Dari kejauhan kabus putih kelihatan masih menempek permukaan sutuh bangunan.

Hening dan mendamaikan. Semakin tinggi fajar, semakin banyak kenderaan mula memenuhi petak pasar jualan kereta atau lebih dikenali Suq Sayyarat oleh masyarakat tempatan. Dataran Suq Sayyarat menjadi tempat jualan kereta secara bersemuka antara pembeli dan penjual semenjak dulu hingga kini.

Saya berdiri memerhati di beranda rumah Pahang setinggi 5 tingkat. Sengaja melihat suasana pagi sambil menyedut udara segar. Kesunyian itu menyebabkan fikiran melayang terkenang sewaktu mula menjejakkan kaki ke Hayyu Asyir suatu ketika dahulu.

Di sinilah saya mengenali perkataan Ambubah, Bikia, To’miyyah, Asir Asob, Aruz billaban dan bermacam istilah ammiyyah yang lainnya. Di sini juga saya mula berkenalan dengan serangga bernama pepijat. Sekali gigit meninggalkan bekas merah di serata badan.

(more…)