Header image

Penat petang tadi belum hilang sepenuhnya. Seusai mendirikan solat jama’ dan qasar, saya terus mencari ruang untuk merebahkan diri. Masa berehat sangat diperlukan demi mendapatkan tenaga untuk pendakian sebelah malamnya.

Bilik sederhana besar yang syilingkan kayu itu dijejali manusia. Tiada ruang untuk saya tidur. Mujurlah di luar rumah tumpangan terdapat khemah yang disediakan khas. Malah setiap khemah itu sudah tersedia beberapa helai selimut tebal untuk menutup dingin angin malam. Saya mengambil tempat di sebelah Hasbul. Dia sudah pun berselimut sedari tadi.

“Di bawah pun dah sejuk, agaknya di atas mesti lagi sejuk.” Desis hati kecil.

Belum pun sempat dibuai mimpi, rakan-rakan sudah memanggil untuk menjamu selera. Saya segera bangun dan mendapatkan hidangan makan malam. Kelibat beberapa rakan yang ditaklifkan sebagai ajk masakan dan makanan bertungkus lumus seawall program bermula lagi. Hidangan sup daging panas dan teh susu sangat menyelerakan. Hilang sebentar gigil sejuk setelah sup dihirup. Nikmat Allah di kaki Thur Sina.

Masa berbaki dua jam sebelum pendakian bermula. Saya cuba melelapkan mata seketika. Lantas tenggelam dan hilang bersama mimpi di kaki gunung-gunung yang hitam. Menakutkan!

Tepat jam dua belas malam, siren dibunyikan menandakan kami perlu bersiap siaga. Laungan arahan dari ketua dan pengarah program diberi agar lekas menyiapkan diri untuk memulakan pendakian. Saya cuba gagahi bangun walaupun lelapnya sepicing cuma. Mata masih berbalam-balam kesamaran.

(more…)

Suatu ketika kota Constantinople pernah diduduki oleh empayar Byzantine bertahun-tahun lamanya. Begitu kebal dengan pertahanan kubu dan tentera yang berkawal disekitarnya menyebabkan ianya sukar ditembusi pihak lawan. Malah kerajaan Islam Uthmaniyyah sebelum Sultan Muhammad al-Fateh pernah beberapa kali mencuba untuk menguasai kota ini lantas ingin memegang gelaran yang disebut oleh baginda Rasulullah SAW.

Di antara operasi yang pernah dilakukan demi menakluk kota itu ialah kempen penaklukan sebanyak 5 kali di zaman Kerajaan Umayyah, manakala di zaman Kerajaan Abbasiyah pula 1 kempen dijalankan dan 2 kempen penaklukan di zaman  Kerajaan Khilafah Uthmaniyyah. Namun ke semuanya gagal.

Usaha Demi Usaha

Akhirnya muncul anak muda kelahiran Adrianapolis berdiri mengibarkan liwa’ kegemilangan umat Islam diusia 19 tahun. Baginda merupakan anak kepada Khalifah Murad Thani yang memerintah daripada tahun 1421M-1421M hingga 825H-855H. Sejarah telah melakarkan kisah bahawa pemuda ini telah berjaya menguasai kota Constantinople selama 53 hari tanpa rasa jemu dan jauh sekali berperasaan putus asa.

(more…)