Deruan enjin bas mengaum garang. Bas yang memakai tanda nama Mercedes itu merangkak agam memasuki sebuah kawasan. Kelihatannya persis kem tentera yang gah menjaga perbatasan. Sekitarnya dikelilingi pepasir kuning yang luas saujana mata memandang.
Pandangan mata dilemparkan ke luar jendela bas. Sejurus kemudian kedengaran lantunan suara musyrif kami mengisyaratkan bahawa sudah tiba di destinasi lawatan.
Destinasi pertama selepas melalui Terusan Suez ialah kawasan yang digelarkan sebagai Panorama Berlief. Sememangnya ia adalah sebuah kubu kem tentera tinggalan tentera Israel yang menjadi tugu memorial penting kepada Negara Republik Mesir. Punya kisahnya tersendiri.
Kaki menapak perlahan bersama segerombolan mahasiswa Tanta yang lain diiringi dua orang lelaki anggota keselamatan Mesir. Mereka berdua mengenakan pakaian tentera berceloreng hijau dan sedikit kekuningan – segak bergaya.
Saya menarik nafas sebentar. Udara nyaman pagi itu disedut melepasi rongga trakea. Segar dan mendinginkan.
Serpihan musim syita’ masih berbaki ketika jelajah sinai 2007 itu berlangsung. Saya mengenakan pakaian sadri dan jaket kulit hitam bagi menutupi badan dari kedinginan menggila. Ia bagaikan mengigit tulang dan segenap rongga tubuh.




