Jarang sekali saya berbicara dan mengupas isu berdasarkan filem. Andainya mahu menjadi pengkritik filem secara konsisten, pasti sudah muncul deretan artikel mengenainya. Tetapi itu bukan hadafnya.
Tak bermakna juga dengan menulis artikel mengenai filem, kita adalah penggemar filem sejati. Sila betulkan minda sebegitu.
Pernah suatu ketika saya menulis satu artikel berdasarkan kepada sebuah filem. Tajuknya Unsur Feminisme Dalam Filem ‘Perempuan Berkalung Sorban’. Tidak juga saya sangkakan, bahawa artikel itu akan terus dibicarakan oleh pengunjung (FRC) sehingga kini. Sehingga wujud sedikit khilaf.
Lazim berlaku ke atas sesuatu pendapat, ada pro dan kontranya. Begitu juga yang terjadi pada entri tersebut. Walaubagaimanapun, saya menghormati perbezaan pendapat yang diutarakan. Bahkan harapannya tidaklah sehingga menjejaskan persepsi kita sehingga merobohkan binaan ukhuwwah itu sendiri.
Saya tertarik pada suatu komentar yang bernada begini:
Filem dan sastera selamanya adalah selamanya hasil seni. Sesiapa yang menjadikan filem atau novel sebagai dalil agama adalah sejahil-jahil orang. Filem dan sastera kerjanya menggugah pemikiran. Lanjutan untuk hukum mesti merujuk terus pada Quran dan Sunnah dengan bantuan kitab dan guru. Masyarakat harus dididik supaya ‘pandai’ melihat filem dan menikmati sastera.

