Header image

Hembusan bayu terasa semakin dingin. Itu tandanya musim panas bakal melabuhkan tirainya pada tahun ini. Seterusnya putaran alam ini pasti diganti pula musim sejuk. Begitulah kebiasaan apabila hadirnya penghujung bulan September setiap tahun. Pergantian musim setelah beranjaknya masa sejam ke belakang memberikan isyarat hawa dingin kembali menghuni atmosfera utara.

Selepas menunaikan solat jumaat lepas, seorang sahabat saya Shahidudin mengajak berteman ke sebuah daerah bernama Atash. Bersungguh-sungguh sekali beliau mengajak saya menemaninya. Destinasi yang kami tuju ialah ke rumah Mithad, iaitu rakan sekuliah syu’bah Usuluddinnya. Beliau menjemput untuk menghadiri majlis pernikahan abangnya.

Fikir punya fikir, saya mengambil kata putus untuk menemaninya. Seorang lagi rakan iaitu Fadhil ikut serta berziarah bersama kami. Kami terus bertolak ke Gumlah iaitu tempat perhentian transit van dan kereta. Dari sini kami biasanya boleh ke serata furu’ Mesir seperti ke Kaherah,Iskandariah, Syibin El-Kom dan Damanhur. Oleh kerana kami ingin ke Damanhur, maka transport utamanya ialah sebuah van besar yang dipanggil dengan pelbagai gelaran seperti “Van Penyamun” dan “Van Kepala Khinzir”. Lucu mendengarnya.

Perjalanan memakan masa selama hampir satu jam itu melalui beberapa kawasan pertanian di antara Tanta dan Damanhur. Terasa tenang dan nyaman melihat kehijauan tumbuhan walau ianya diselaputi debu-debu halus. Pemandangan unik dan tersendiri itu tidak mampu diungkap dengan bait kata, tidak mampu diterjemah ke warkah tulisan. Hanya sekadar coretan ringkas buat tatapan dan pembacaan.

(more…)