Al-Quran merupakan sebuah kitab agung mukjizat terbesar yang Allah SWT telah turunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Hasil dari kalam wahyu ini, telah terpancar berjuta-juta pecahan ilmu yang tidak terhitung dek mata kasar. Bermula era Jahiliyyah hatta dinasti moden umat manusia senantiasa mengkaji ayat-ayat suci Al-Quran. Bertambah banyak pengkajian dilakukan, berhasil pula penemuan baru lantas mencetuskan atom sinaran hidayah dan mampu menggelodak hati-hati golongan kafir. Hasilnya ia telah memecahkan zarah-zarah kekufuran dan berpadu mengikat erat dalam molekul kecintaan Ad-Deenul Islam.
Sebagaimana umum mengetahui, karya agung Al-Quran ini juga telah berjaya menewaskan ribuan syair-syair buatan akal manusia dengan pembawakan bahasa yang indah lagi puitis seiring makna tersurat dan tersirat. Ianya melaju mengharung zaman bersama pelbagai cabang ilmu tersedia untuk digali. Antara ilmu terbit dari kalam Rabbi ini ialah Al-Balaghah.
Baiklah, jikalau kita melihat dari perspektif ilmu Balaghah nescaya kita akan tahu hakikat keindahan bahasa Al-Quran itu. Tidak terucap dengan lafaz, tidak tergambar dek perasaan keasyikan zuqqnya.
Pembahagian Cabang Tujuan Balaghah Dalam Ayat Al-Quran
Untuk artikel kali ini, saya cuba bawakan sebahagian cabang-cabang bentuk penceritaan yang telah difirmankan Allah SWT dalam ayat Al-Quran. Antaranya ialah:
1. Perasaan Pilu (At-Tahasur) dan Sedih (At-Tahazun)
رب إنى وضعتها أنثى
Maka tatkala isteri ‘Imran melahirkan anaknya, diapun berkata: “Ya Tuhanku, sesunguhnya aku melahirkannya seorang anak perempuan; dan Allah lebih mengetahui apa yang dilahirkannya itu; dan anak laki-laki tidaklah seperti anak perempuan. Sesungguhnya aku telah menamai dia Maryam dan aku mohon perlindungan untuknya serta anak-anak keturunannya kepada (pemeliharaan) Engkau daripada syaitan yang terkutuk.” (Ali-Imran : 3)
Ayat Al-Quran ini telah menceritakan tentang hikayat kisah Isteri Imran melahirkan anak perempuan bernama Maryam. Justeru, ia menggambarkan kesedihan Isteri Imran kerana melahirkan anak perempuan (Maryam) sedangkan beliau ingin melahirkan anak lelaki. Lantas beliau berdoa kepada Allah SWT dengan perasaan pilu (At-Tahasur) dan sedih (At-Tahazun).
2. Menzahirkan Kelemahan Diri (Ad-Do’fu) Khusyu’( At-Takhasu’)
رب إنى وهن العظم منى واشتعل الرأس شيبا
Ia berkata “Ya Tuhanku, sesungguhnya tulangku telah lemah dan kepalaku telah ditumbuhi uban, dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada Engkau, ya Tuhanku. (Maryam : 4)
Manakala dalam ayat ini menceritakan tentang hikayat Nabi Zakaria a.s dalam menzahirkan kelemahan diri (Ad-Do’fu). Beliau mengadu kepada Allah SWT dengan menggambarkan dirinya dalam keadaan sudah uzur, tulang sudah tidak kuat seperti zaman muda dan rambut di kepala telah ditumbuhi uban-uban putih. Namun, dalam pada masa yang sama beliau khusyu’( At-Takhasu’) berdoa kepada Allah SWT.
3. Meminta Kasihan Belas (Is-Ti’thaf)
رب إنى لما أنزلت إلى من خير فقير
Maka Musa memberi minum ternak itu untuk (menolong) keduanya, kemudian dia kembali ke tempat yang teduh lalu berdoa: “Ya Tuhanku sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku.” (Al-Qasash : 24)
Ketika itu, telah tersebut kisah Nabi Musa a.s bilamana beliau sedang bersandar dipohon pokok disebuah negeri bernama Madyan. Kemudiannya beliau telah memohon kepada Allah SWT untuk mendapatkan pertolongan dengan perasaan meminta kasihan belas (Is-Ti’thaf).
4. Ayat Perintah (Al-Amr)
يأيها الذين آمنوا هل أدلكم على تجارة تنجيكم من عذاب أليم. تؤمنون بالله ورسوله وتجاهدون فى سبيل الله
Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih?
(yaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. (As-Shaff : 10&11)
Dalam ayat di atas, Allah SWT telah berfirman serta membawakan suatu ayat perintah (Al-Amr) ke atas umat Islam dengan disertai sighah mudari’. Selain ayat perintah, ia juga membawa dalil akan sifat Ar-Rahmah Allah SWT kepada umat Islam.
5. Ayat Larangan (An-Nahi)
الحج أشهر معلومات فمن فرض فيهن الحج فلا رفث ولافسوق ولاجدال فى الحج
(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafats (mengeluarkan perkataan yang menimbulkan berahi yang tidak senonoh atau bersetubuh) , berbuat fasik dan berbantah-bantahan di dalam masa mengerjakan haji. Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, niscaya Allah mengetahuinya. Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa (ialah bekal yang cukup agar dapat memelihara diri dari perbuatan hina atau minta-minta selama perjalanan haji) dan bertakwalah kepada-Ku hai orang-orang yang berakal. (Al-Baqarah : 197)
Allah SWT berfirman dan menyuruh umat Islam yang ingin mengerjakan haji di Baitullah supaya melaksanakan ibadah haji sebaik mungkin. Justeru, kaedah larangan (An-Nahi) terselit memberi peringatan agar tidak berkata-kata hal kelucahan, melakukan perkara fasiq serta jangan bergaduh. Sebagai suatu notis, benda yang dilarang itu diminta jauh. Jika berlaku boleh menghalang memperolehi pahala haji mabrur tetapi tidak membatalkan haji.
6. Ayat Menghiburkan (Tasliyyah)
إن يمسسكم قرح فقد مس القوم قرح مثله وتلك الأيام نداولها بين الناس
Jika kamu (pada perang Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (kafir) itupun (pada perang Badar) mendapat luka yang serupa. Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu Kami pergilirkan diantara manusia (agar mereka mendapat pelajaran); dan supaya Allah membedakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) supaya sebagian kamu dijadikan-Nya (gugur sebagai) syuhada’. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim.. (Ali-Imran : 140)
Antara tujuan (aghrad fari’yyah) diturunkan ayat di atas adalah kerana untuk menghiburkan (Tasliyyah) dan menenangkan hati kaum muslimin yang turut serta dalam peperangan Uhud berlaku ketika zaman Rasulullah SAW.
Rujukan:
Fusul fil Ilmu Ma’ani, Doktor Shakur Abu Yazid, Kuliah Al-Lughatul Arabiah Jamia’tul Al-Azhar.
MDFarid
1:01AM, 5 Disember 2008,
Siberbay.