Header image

Tradisi Pasang Pelita Sambut Lailatul Qadr

Posted by Farid Rashidi in Bicara Semasa | Diari Penulis | Tazkirah

“Pasanglah pelita, sambut malaikat turun.” Ini pesanan orang dulu-dulu.

Saya mengikut kata-kata mereka tanpa berfikir panjang. Pada hemat saya ketika itu, memasang pelita di sepuluh terakhir Ramadhan adalah kerana mahu menyambut Malaikat turun ke bumi. Maka, tanpa berfikir panjang, saya dan teman sekampung sanggup menghabiskan duit semata-mata mahu memasang pelita.

Pelita yang dijual di kedai Yie dan kedai Wie laku bagai pisang goreng apabila Syawal semakin mendekat. Kami adalah antara pembelinya.

Adakala jika tidak cukup wang, kami akan berusaha mendapatkan buluh di pesisir sungai untuk dibuat pelita raya. Buluh yang terletak di kawasan tanah Tok Limah habis kami tebang. Siap menebang, buluh itu akan dipotong mengikut urat batangnya. Lalu beberapa lubang ditebuk sebagai laluan sumbu ke takungan minyak tanah.

Sumbu pelita hanya menggunakan tali pengelap lantai yang berbulu. Ini kerana tali pengelap lantai itu lebih mudah menyerap minyak tanah dan menjimatkan kos. Entah berapa kali emak membebel kerana pengelap lantai itu semakin gondol akibat dirembat oleh saya dan adik-adik. Tetapi dibuat endah tak endah begitu saja. Maklumlah, kanak-kanak sedang meniti usia remaja katakan.

Selepas sahaja berbuka, kami bergegas keluar memasang pelita-pelita besi dan buluh disekitar halaman rumah. Segenap pojok diterangi cahaya pelita kerana mahu menyambut ‘malaikat turun ke bumi’. Usai memasang pelita, kami bergegas ke Surau kampung bersama pakaian yang berbau minyak tanah. Mujur Tuan Imam tak menghalau kami.

Itu cerita lama. Dan cerita itu akan kembali segar bila perayaan Aidilfitri menjelang tiba. Lalu, benarkah tradisi memasang pelita itu adalah kerana mahu meraikan Lailatul Qadr dan menyambut malaikat turun ke bumi?

FANUS RAMADHAN

Lain pula ceritanya di Mesir. Menjadi kelaziman bagi masyarakat Mesir mereka akan memasang fanus (pelita) apabila tiba bulan Ramadhan. Bahkan kedai yang berjujutan tak melepaskan peluang untuk menjual aneka bentuk fanus. Paling besar saiz yang pernah saya lihat ialah setinggi manusia.

Kata mereka, fanus dipasang hanya sekadar meraikan atau memeriahkan suasana malam-malam Ramadhan. Jika Syawal menjelma, jarang kedapatan fanus di merata-rata.

Hakikatnya, di sini bulan Ramadhan adalah lebih meriah berbanding Syawal.

LAILATUL QADR DAN PELITA

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (Al-Qadr: 1-5)

Benar, pada malam Lailatul Qadr itu para malaikat akan turun ke bumi membawa rahmat dengan izin Allah SWT.

Bahkan malam itu juga ia diselubungi rasa tenang dan damai melewati waktu fajar terbit.

Mitos mengatakan bahawa perlu memasang pelita dengan NIAT MENYAMBUT MALAIKAT TURUN sebenarnya adalah bukan dituntut oleh Islam. Itu hanyalah sekadar adat. Maksud di sini, bukanlah dilarang untuk memasang pelita raya, tetapi perlu diperbetulkan niat. Jangan sesekali niatkan bahawa pelita itu dipasang atas sebab-sebab tuntutan agama. Kerana persepsi sebegitu akan menerbitkan kefahaman BID’AH terhadap agama.

Tersilap langkah, bakal terjun ke lembah khurafat pula.

Begitu juga halnya mengenai pemasangan fanus di bulan Ramadhan. Jika niat kita pasakkan hingga terdorong kepada wajib, maka ia adalah bersalahan sama sekali. Jangan kerana mahu memeriahkan suasana, kita terlalu leka dan kehabisan wang ringgit semata-mata komitmen yang tinggi terhadap projek pemasangan fanus dan pelita hingga menyebabkan terbabas solat Maghrib, Isya’ dan Terawih. Amat malanglah jika kerana pelita, ibadat kita tercicir begitu saja.

“Sebaik-baik malam ialah Malam Al-Qadr, kerana baginda s.a.w bersabda :’Barangsiapa yang berqiyam pada Malam Al-Qadr (berjaya mendapatkannya) dengan keimanan dan pengharapan, telah diampunkan dosa-dosa yang telah lalu” (Hadith riwayat kedua Sheikh dari hadith Abu Hurairah, Ahmad 5/318)

Oleh itu, hindarkan daripada terlalu MEWAJIBKAN ADAT!

5:18PM, 7 September 2010,
Siberbay, Tanta.

Faridrashidi.Com|Transisi Fikrah@2011

_______________________________________________________________________

Hakcipta artikel adalah tidak terpelihara. Segala artikel yang tersiar boleh disebar-luaskan dengan SYARAT disertakan link ke sini. Mengambil gambar perlu mendapat keizinan penulis.

_______________________________________________________________________

You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 You can leave a response, or trackback.

10 Responses

  • yer…memang betol…kalau di malaysia biasa disebut malam 7 likur..tiap kali malam 7 likur orang2 tua akan menyuruh anak2 memasang pelita mahupun lampu lip lap,,,ataupun lilin untuk menerangi rumah2 mereka…hmm…niat perlu diperbetulkan…betul3~
    bintu sgt comel´s last [type] ..Merindu

      (Quote)

  • Abd Razak says:

    Salam ya akhi.. :)

    Jika di tempat saya ini beberapa hari sebelum syawal, rumah-rumah orang Islam sudah dipasang dengan lampu warna-warni kerana mahu menyambut hari lebaran. Keadaannya berlarutan hingga 7 Syawal. Namun yang mewarnai masjid di hari-hari terakhir Ramadhan semakin berkurangan. Hebatnya orang di tempat saya ketika hendak menyambut raya. Alangkah baiknya kehebatan itu ada dalam diri setiap muslim ketika beribadah…
    Abd Razak´s last [type] ..Salam Eidul Fitri

      (Quote)

  • MatBURN says:

    assalamualaikum,

    pada pendapat saya, masyarakat hari ni memasang pelita tak lebih sekadar menghias laman rumah diwaktu malam menjelang raya.
    MatBURN´s last [type] ..Tiada pasukan ke-13

      (Quote)

  • Ust Mizul says:

    Salam ustaz, artikel yang baik. Andai kita memasang pelita untuk tujuan memeriahkan kedatangan Syawal, maka di sana kita mungkin dianggap terlalu berlebih-lebihan dalam menyambut Syawal. Sedangkan Ramadan masih berbaki dan ia lebih patut diutamakan, apatah lagi ia dalam lingkungan 10 malam terakhir yang dijanjikan malam al-Qadar padanya.

    Bagi saya, niat hendaklah diperbetulkan. Apabila memasang pelita, jangan kerana ia dikaitkan dengan ibadah, misalnya memudahkan malaikat turun pada malam al-Qadar dan kita pun mudah meraih al-Qadar. Ia sudah pasti bercanggahan dengan kehendak syarak. Setiap ibadah yang khusus wajib ada sandaran dalilnya. Maka, tanpa dalil ia menjadi khurafat dan bida’h.

    Niatkanlah memasangnya sebagai suatu tanda menzahirkan kegembiraan semata-mata. Dalam Islam, suatu pekerjaan yang tidak bercanggahan dengan hukumnya dianggap harus. Maka, niatkanlah dengan memasang pelita itu adalah ekspressi keceriaan semata-mata.

    Banyak perkara yang boleh dikaitkan dengan kegembiraan ini, misalnya memasang lampu lip-lap dan lampu warna-warni di masjid dan surau. Ia sesuai dengan fitrah manusia itu sendiri yang suka kepada kemeriahan, khususnya di aidilfitri.

    Bahkan, semasa berhari raya kita mengenakan pakaian yang berwarna-warni. Kita juga menghidangkan juadah beraneka corak, jenis dan rasa kepada tamu. Malah kita mendengar lagu ata nasyid hari raya yang menzahirkan rasa gembira. Maka, ia juga adalah ekspressi rasa gembira kita.

    Kesimpulannya, perbetulkan niat semasa memasang pelita. Tiada salahnya jika ia bukan mengada-ada dalam bab ibadah, melainkan suatu budaya yang unik lagi tersendiri. Samalah uniknya kita meniru budaya orang Cina menyambut raya dengan memberikan wang dalam angpau atau budaya Melayu bila bertunang mesti ada tepak sirehnya.

    Wallahua’lam!

      (Quote)

  • @bintu sgt comel: http://mysaffiyah.wordpress.com/2010/08/24/tazkirah-lailatul-qadar/

    Dari blog ini,katanya likur adalah perkataan Jawa yg bermaksu 20.Wallahua’lam
    muhammad fakhruddin´s last [type] ..In The Spirit of Laylatul Qadr

      (Quote)

  • Di rumah saya masih memasang lampu 7 likur.. Tapi bukan niatnya untuk malaikat datang ke rumah kita, cuma memeriahkan suasana sahaja..

    Niat wajib diperbetulkan!!
    Jamal Rafaie´s last [type] ..AMALAN SUNAT DI AIDILFITRI

      (Quote)



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge