Di suatu sudut puncak Jabal Nur, saya duduk melepaskan lelah. Sambil mata mengitari panorama malam Makkah al-Mukarramah, dua telinga menangkap bunyi alunan suara ayat-ayat suci al-Quran yang jelas kedengaran daripada salah sebuah masjid sekitar kota suci itu. Bacaan yang dibaca imam itu adalah dari permulaan surah al-Baqarah.
Sangat mengasyikkan dan syahdu, walau terkadang suaranya perlahan dibuai semilir yang menderu-deru dan bercampur-aduk pula dengan suara imam daripada masjid-masjid lain. Ia tetap menusuk di kalbu.
Nun jauh di sana, cahaya putih bersilau terang, menerangi menara-menara yang berceracak. Itulah Masjidil Haram as-Syariff.
Takjub. Lebih menggetar jiwa bila sirah nabawi yang diceritakan sebentar tadi oleh Ustaz Farhan sama-sama bermain di minda. Kalbu bagai mengakrabi sirah Baginda SAW apabila Gua Hira’ yang selama ini hanya dibaca pada suhuf-suhuf sejarah berada di depan mata.
Betapa peritnya Rasulullah SAW – ketika itu belum diangkat menjadi Rasul Allah mendaki berulang-alik ke Gua Hira’ untuk bermunajat kepada Azza Wajalla. Baginda SAW hanya seorang diri. Tiada neon yang menyuluh, dan tiada manusia yang menemani.
Saat itu juga terlakar sirah baru, apabila pertama kali al-Quran di turunkan pada 17 Ramadhan tahun ke 41 Nabi Muhammad diputerakan. Surah al-‘Alaq ayat satu di turunkan melalui perantaraan Jibril a.s secara realiti.
“Bacalah, bacalah dengan nama Tuhanmu Yang Menciptakan.”
“Aku tak tahu membaca.” Balas Nabi Muhammad SAW kembali. Baginda ketakutan yang amat. Sejurus selepas peristiwa itu, Baginda segera pulang ke rumah isteri pertamanya – Saidatina Khadijah r.anha. Bahkan Saidatina Khadijah r.anhalah yang menenangkan hati Baginda serta menyelimutinya.
Kerana dorongan emosi seorang isteri yang solehah, maka Baginda SAW tidak lekas berputus asa. Begitulah pengorbanan dan kasih sayang seorang isteri yang solehah ditunjukkan oleh Saidatina Khadijah r.anha. Kerana kehebatan kasih sayang yang mekar mewangi itu, Baginda SAW selalu mengingatinya walaupun saat itu isterinya telah pergi buat selama-lamanya. Baginda Rasulullah SAW menitiskan airmata saat kematian Saidatina Khadijah r.anha.
Allahhumma Solli ‘Ala Saidina Muhammad.
YANG PERIT ITU MANIS
Sekitar kota Makkah seolah-olah berubah menjadi warna oren pada waktu malam apabila dilihat dari sisi pandang puncak Jabal Nur. Setiap lorong-lorong bangunan yang tersusun disimbahi neon jingga bersilauan.
Saya masih setia duduk di atas susunan tangga itu, dan bersandar pada besi penghadang yang melingkungi kemuncak gunung. Pengalaman mendaki bermula petang tadi, dan selesai saat azan maghrib berkumandang membuatkan saya terfikir sesuatu.
Ya, itulah erti perjuangan dan pengorbanan.
Betapa seorang lelaki bernama Muhammad SAW yang lahir di tengah-tengah kebejatan sosial masyarakat jahiliyyah, dikelilingi pula gurun gersang berbatu dan panas mampu menggegar dunia. Seluruh dunia sebermula kiraan taqwim hijrah dihitung; manusia sudah mengenali Baginda SAW hatta kini. Tak putus-putus umat Islam mengunjungi, mengkaji bahkan selalu merindu dengan sepenuh kasih sayang pada kekasih Allah SWT yang agung ini.
Sedangkan detik ketika sebelum Islam dikenali dan dianuti pelusuk dunia, beliau hanya seorang diri ke sana ke mari menyebarkan dakwah. Permulaannya Islam hanya dianuti golongan miskin yang tak punya apa-apa harta, pangkat dan keturunan.
Musuhnya pula adalah pakatan golongan pembesar Quraisy yang selalu merencanakan agar sebaran dakwahnya terhalang. Namun, ia tidak luntur dan tidak terhenti walaupun mendapat tentangan hebat dari mereka. Kerana cabaran itulah, Baginda SAW lebih utuh meneruskan perjuangan menegakkan agama suci – Islam.
Cukuplah hanya dengan mendaki Jabal Nur, kalian pasti terkesan dengan pengorbanan Baginda SAW mengemudi bahtera Islam. Jarak pendakian itu saja sudah meletihkan insan-insan lemah seperti kami, inikan pula jarak perjalanan yang dilalui Baginda SAW dahulu. Tanpa kenderaan berhawa dingin, tanpa air mineral, tanpa lampu picit dan tanpa tangga-tangga yang siap tersedia.
Saya bingkas bangun menuju ke khemah di atas puncak gunung itu. Rakan-rakan yang lain sedang khusyuk bersolat isya’. Pengalaman mendaki dan menyusup masuk ke celahan Gua Hira’ yang sempit dan dipenuhi batu-batu bercokol dilipat kemas – buat dijadikan motivasi untuk meneruskan perjuangan yang masih panjang.
Semoga panjang perjuangan itu hanya semata-mata kerana Allah SWT. Dan pastinya perjuangan itu hendaknya mengikut acuan Kitabullah dan Sunnah Rasulullah SAW.
Allahumma Solli Wasallim ‘Ala Saidina Muhammad…
12:36AM, 2 Ogos 2010,
Hotel Manazil al-Waleed, Makkah al-Mukarramah.
Faridrashidi.Com|Transisi Fikrah@2011
_______________________________________________________________________
Hakcipta artikel adalah tidak terpelihara. Segala artikel yang tersiar boleh disebar-luaskan dengan SYARAT disertakan link ke sini. Mengambil gambar perlu mendapat keizinan penulis.
_______________________________________________________________________
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 You can leave a response, or trackback.





Alhamdulillah .. inilah permulaannya suatu sejarah yang penuh keagungan dan kehebatan.
Wahyu Pertama
Hira’ menjadi saksi, turunnya
wahyu suci kepadamu,
Nabi
Jibril datang memeluk — kuat
Dari belakang, menyuruhmu baca
berulang-ulang
Dalam gentar, kau menjawab
Ma ana bi qari ”
saya tidak tahu
membaca
Lantas, guru agung pun mula mengajar,
pelajaran pertama yang terpahat
dalam peradaban, manusia dan
segala apa yang berada
di bawah kolong
langit-Nya
Iqra’ bismirabbikalazii
khalaq”
Dalam resah, kau pulang ke rumah
diselimut Khadijah yang setia,
bijak dan cinta
Sewaktu-waktu, kau tenang dalam
pujukannya, jantung kembali
berdegup seperti sekala, kering
sebentar keringat dan apa
yang gementar
Khadijah menyusul saudara pendita,
bertanya makna peristiwa,khabar
yang dibawa, khabar gembira
buat umat manusia
Muhammad, adalah nabi lagi rasul
Dia yang akhir lagi agung, dia
adalah khatimul
anbia’
abuyon´s last [type] ..Wahyu Pertama II
abuyon(Quote)
@abuyon: Alfu syukran,
Wah, menarik puisinya. Baru karangke Syeikh Abuyon?
Farid Rashidi(Quote)
Tahun lepas punya ya syeikh. Tahun ini, ilhamnya ngak berapa ada. Moga-moga Allah tambahkan ilham, Insya-Allah.
abuyon´s last [type] ..Wahyu Pertama II
abuyon(Quote)
@abuyon: Ameen. Ilham itu ada, cuma mungkin beberapa perkara menghalangnya. Barangkali.
Farid Rashidi(Quote)
Barangkali ya syeikh
Tahun dukacita. Sungguh, tak ada daya dan upaya saya melainkan Dia. Dan Dialah yang memberikan kekuatan dan Dia jugalah yang menariknya kembali.
abuyon´s last [type] ..Sebuah Hari
abuyon(Quote)
Assalamualaikum
InsyaAllah.. mudah-mudahan dugaan dan ujian yang di tentukan tidak melemahkan kita. Teruskan langkah ke hadapan perjalanan yang tiada penghujungnya.. Kalau nak di bandingkan dengan pengorbanan Baginda SAW lagi perit.. tetapi Baginda SAW berjaya mengemudi Bahtera Islam.. Alhamdulillah.. Semoga kita semua kuat meneruskan perjalanan yang telah di tentukan Amen. Jangan sekali-kali berputus asa..
MaizaC’Joe(Quote)
@MaizaC’Joe: Wa’alaikummussalam,
Kerana itu, kisah Rasulullah SAW adalah cukup baik untuk dijadikan motivasi dalam meneruskan perjuangan. Terima kasih.
Farid Rashidi(Quote)
salam ustaz,
Alhamdulilah
satu rentetan sejarah yang telah dilalui bertepatan ngn sejarahnya. Subhanallah betapa bahagianya ustz, merasai dan mengalami suasana ini disna..Quran tetap jadi panduan ummah..doakan kami jua ..
ainhany´s last [type] ..Kiwi yang berkhasiat
ainhany(Quote)
@ainhany: Wa’alaikummussalam,
Semoga kita semua diberi kesejahteraan dunia dan akhirat.
Farid Rashidi(Quote)
salam..semoga semangat juang kekasih Allah dapat kita rasai walaupun secebis…
Allahumma Solli Wasallim ‘Ala Saidina Muhammad…
nur_syahadah(Quote)
@nur_syahadah: Wa’alaikummussalam,
Moga-moga akhir nanti kita dapat bertemu dengannya dan mendapat syafaat darinya. Ameen.
Farid Rashidi(Quote)
salam.. sudi le kiranya terima kad raya dr sy.. makasih
maiyah´s last [type] ..Kad utk sahabat dan kod bagai heheh
maiyah(Quote)