Header image

Warisan Cinta Rasulullah SAW

Posted by Farid Rashidi in Diari Penulis | Fakta Umum | Jejak Kembara | Suhuf Sejarah

“Haza dua’?” Tanya seorang Syeikh Arab berpakai jubah rasmi Arab Saudi.

“Na’am.”

“Baca doa mengadap Qiblat.” Dia mengarahkan saya memaling wajah ke arah qiblat membelakangi Maqam Rasullullah SAW.

Saya diam sejeda. Lalu memutarkan tubuh ke arah qiblat tanpa berkata sepatah perkataan. Laluan daripada kawasan Raudhah Syarifah menuju ke Maqam Rasulullah SAW sentiasa sesak dengan manusia. Ada yang berhenti untuk berdoa, melambai tangan serta memberi salam dan ada juga yang menitiskan airmata keharuan.

Sebenarnya niat saya bukanlah membaca doa itu untuk memohon kepada Maqam Rasulullah SAW, tetapi diniatkan semoga doa itu tertuju kepada Baginda SAW. Bahkan turut terselit beberapa selawat ke atas Baginda Nabi Muhammad SAW.

Antara intipati selawatnya ialah:

اللهم صل على سيدنا محمد عدد ما في علم الله صلاة دائمة بدوام ملك الله، يا الله يا خالق البشر من العدم إلى الوجود، ثم العدم وإلى الوجود

“Ya Allah selawat ke atas Muhammad SAW sebanyak bilangan ilmu Allah SWT dengan selawat yang berkekalan sebagaimana kekalnya kerajaan Allah SWT. Wahai Allah pencipta manusia dari tiada kepada ada kemudian dari tiada kepada ada.” Dikarang oleh Syeikhah Sobriah r.anha.

Setelah Syeikh itu beredar, saya kembali memutarkan badan dan muwajahah ke arah maqam Saidina Muhammad SAW.

Dikeluarkan oleh al-Baihaqi r.a di dalam kitab Sya’bul Iman dan al-Asbahani di dalam kita at-Targhib, daripada Abi Hurairah r.a berkata: “Sabda Rasulullah SAW: Sesiapa yang berselawat ke atasku di sisi kuburku maka aku mendengar selawatnya dan sesiapa yang berselawat ke atasku dari jauh disampaikan juga kepadaku.

Saya pernah menulis perihal doa di kuburan.

MAQAM RASULULLAH SAW

Tanggal hari Isnin di bulan Rabi’ul Awal, Habibil Mustafa Muhamad Rasulullah SAW memejamkan mata buat selama-lamanya. Setelah roh Nabi Muhammad SAW terbang mengadap Ilahi, umat Islam saat itu bagai dilanda garuda dan seolah-olah dunia telah berlaku Qiamat. Belasungkawa berlarutan hingga beberapa hari. Dan saat itulah tampil Abu Bakr as-Siddiq menenangkan keadaan.

Lalu jasad Baginda SAW dimandikan oleh Saidina Ali bin Abu Talib r.a, al-Fadl dan al-Abbas. Kemudian, Baginda SAW disolatkan oleh malaikat Jibrail a.s bersama para malaikat lainnya. Bertepatan hari Rabu, jenazah Baginda SAW disemadikan di ruang kamar rumah isterinya tercinta – Saidatina Aisyah r.anha.

“Sesiapa yang menziarahiku wajib baginya mendapat syafaatku.” (Riwayat al-Baihaqi)

Sabda Baginda Rasulullah SAW: “Pada hari Qiamat kuburku akan dibuka dahulu dan daku akan melangkah keluar, kemudian Abu Bakr r.a, dan kemudian diikuti oleh Umar r.a. Kemudian daku terus ke Baqi’(kawasan perkuburan di Madinah)

Agak mendukacita, apabila sekitar kawasan Raudhah dan Maqam Rasulullah SAW dicemari suara-suara sumbang. Terjerit-jerit di sana sini akibat tolak menolak berlaku. Walhal adalah dilarang untuk kita meninggikan suara di maqam Rasulullah SAW.

HAMPIR DICURI

Mengikut lembaran sejarah, beberapa kali jasad Baginda Rasulullah SAW hampir dicuri oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Namun berjaya diselamatkan kembali. Sungguh, maqam Baginda SAW sentiasa dipelihara oleh Allah Ta’ala sehingga kiamat biiznillah.

Antara percubaan jahat yang hampir-hampir berjaya mendapatkan jasad Rasulullah ialah berlaku pada tahun 557H (1164M). Dua orang lelaki Kristian berasal dari Sepanyol cuba menyamar menjadi muslim untuk memasuki Kota Madinah. Pelbagai helah dan tipu daya dirancang bagi mengaburi mata penduduk setempat.

Mereka menggali terowong menuju ke Maqam Rasulullah SAW. Namun kuasa Allah SWT mengatasi segala-galanya. Wamakaru, wamakarallah, Wallahhu Khairul Makirin. Percubaan mereka gagal setelah Sultan Nuruddin Mahmud bin Zinkidari r.a telah diilhamkan melalui mimpi bertemu Rasulullah SAW.

“Wahai Mahmud selamatkanlah aku daripada mereka!” Sultan Nuruddin bangkit dari tidurnya dalam keadaan panik. Mimpi itu tetap berulang sebanyak tiga kali. Akhirnya  tindakan susulan dilakukan hingga dua pencuri berambut perang itu berjaya ditangkap.

Semoga jasad Baginda Rasulullah SAW terus terpelihara dengan pemeliharaan dari kekasihnya – Allah Azza Wajalla.

KEMBALI MENJAUH

Sebelum beredar meninggalkan Masjid Nabawi pada hari terakhir berada di Madinah. Saya duduk termenung sambil memandang Kubah hijau. Perasaan semakin sayu bila kaki langkah menjauh dari maqamnya. Jiwa diselimuti rasa sedih yang datang secara tiba-tiba. Syahdu.

“Oh, sekejap benar masa berlalu. Dan selepas ini aku akan terbang menjauh darimu Ya Rasulullah. Kurniakanlah syafaat itu. Buat kami seluruhnya.” Tanpa disedari, manik mutiara menakung jernih di muara mata.

Sesungguhnya, biarpun Baginda SAW sudah pergi. Jangan sesekali lupa akan wasiatnya. Al-Quran dan as-Sunnah peninggalan teragung yang tak terbanding walau selonggok emas dan mutiara di hadapanmu. Allahumma Solli Ala Saidina Muhammad Wa ‘ala Alihi Muhammad.

Dan kelak, akan ada seorang lelaki bakal disemadikan bersebelahan maqam Rasulullah SAW. Siapakah?

1:42AM,  Ogos 2010,
Siberbay, Tanta.

Faridrashidi.Com|Transisi Fikrah@2011

_______________________________________________________________________

Hakcipta artikel adalah tidak terpelihara. Segala artikel yang tersiar boleh disebar-luaskan dengan SYARAT disertakan link ke sini. Mengambil gambar perlu mendapat keizinan penulis.

_______________________________________________________________________

You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 You can leave a response, or trackback.

35 Responses



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge