Antara Sikap, Adab dan Berkat Dalam Pencarian Ilmu
Posted by in Diari Penulis | Tazkirah | Wacana Ilmiah
Doktor Mahmud Husni az-Zini tenang menyampaikan pengajaran di hadapan. Beliau menerangkan mengenai bab perompak jalanan melalui kitab Hasyiah Qalyubi Wa Umairah karangan Syeikh Shihabuddin al-Qalyubi dan Syiekh Umairah – syarahan daripada kitab Minhajut Thalibin tulisan Syeikh Mahyuddin an-Nawawi.
Beliau berkaca mata hitam, tanpa memandang pada helaian kitab, beliau tidak lelah menerangkan perihal bab permasalahan Fiqh itu kepada kami. Apa yang menakjubkan, pensyarah mata pelajaran Fiqh Syafie’ itu adalah seorang yang buta. Namun, mata hatinya terang benderang penuh dengan limpahan cahaya ilmu yang mengagumkan!
“Enta indonezi wala malezi?” (Kamu Indonesia atau Malaysia) Tiba-tiba seorang pemuda arab yang duduk sebaris dengan saya menyoal.
“Ana melezi.” Jawab saya sambil mata setia menembak tepat ke depan.
Beberapa ketika kemudian, pemuda arab yang juga seperkuliahan dengan saya itu kembali menyoal. Dia duduk bersebelahan dengan saya di sebelah kanan. Saya mencuri sedikit ruang sebelahnya memandangkan kerusi panjang kuliah sudah dipenuhi mahasiswa Syariah Islamiyyah tahun akhir.
“Di Malaysia telefon bimbit ini harganya berapa?”
“Murah saja… Beratus-ratus.”
Dia kelihatan sedikit terkesima. Wajahnya timbul tanda tanya.
“Kasut ini pula berapa harganya?” Pemuda itu menunjukkan sepasang kasut putih berjenamanya kepada saya.
“Ini kalau di United Kingdom, harganya satu atau dua Euro.” Jawab saya berdasarkan pengalaman seorang kawan yang pernah menetap di sana. Kata beliau, harga sepasang kasut second-hand agak murah walaupun berjenama.
Dia terkejut. Barangkali agak teruja mendengar harga yang saya sebutkan. Beberapa kali dia berpaling pada rakan di sebelah sambil menceritakan kembali perbualan saya.
Saya diam kembali, dan terus memaling wajah menghadap Doktor Mahmud. Terasa sedikit rimas bila konsentrasi terganggu. Wajah saya bertukar serius tidak semena-mena.
“Ana musy fahim ayyu hagah!” (Aku tak faham apa-apa pun) Bentak pemuda itu separuh jerit.
“Kalau tak faham, kena baca ulang-ulang banyak kali.” Balas saya perlahan di hujung telinganya. Dia terdiam. Lalu memalingkan wajah menghadap saya.
“Kamu faham?” Dia tersengih mengerling, dan menyoal saya kembali. Ada riak tawa dihujung kata.
Saya diam, tetapi badan tergigil menahan tawa. Kelakar melihat gelagatnya.
Kuliah hampir selesai, sejurus kemudian pemuda bergaya kasual dengan rambut tersisir rapi berkilat itu kembali menyoal dengan nada perlahan pula. Barangkali terkesan setelah lama saya tidak melayan pertanyaannya.
“Kamu marah?”
“Apa?” Soal saya kembali.
“Kamu marah?” Sampuk kawannya di sebelah.
“Kamu seperti marah padaku sebab mengacau belajar?”
“Di Malaysia, kalau guru sedang mengajar di hadapan, dan pelajar berbual-bual seperti ini ianya kurang beradab (tidak berakhlaq).”
Dia mengangguk faham dan diam sejeda.
SIKAP BERADAB AGAR BERKAT
Terdapat sebuah hadis Rasulullah Sollallahhu Alaihi Wassallam yang diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Hakim bahawa Baginda Sollallahhu Alaihi Wassallam bersabda:
“Tidak termasuk dalam golongan umatku, mereka yang tidak menghormati orang tua, tidak merahmati (kasihan belas terhadap) kanak-kanak dan tidak mengetahui (kemuliaan) hak-hak para ulama’ kami.”
Mempamerkan adab-adab yang baik terhadap guru dengan menghormati dan memuliakannya adalah akhlaq mulia yang dituntut oleh agama Islam. Ini berdasarkan nas-nas hadis, antaranya ialah hadis seperti di atas.
Hasan r.a berkata kepada anaknya: “Wahai anakku, apabila kamu berada bersama ulama’, maka hendaklah kamu mendengar dengan baik dan dalam keadaan yang penuh beradab terhadap apa yang telah diperkatakan oleh gurumu.”
Apakah anak murid berbeza pandangan dengan guru dianggap tidak beradab dan menghilangkan berkat?
Tidak ada salahnya jika berselisih pendapat mengenai perkara kecil yang tidak menjejaskan aqidah, namun diingat, ia juga mempunyai tatacara dan adabnya. Bukan dengan rasa semberono atau menzahirkan ketidakpuasan hati bersama keegoan meninggi!
Jadi, penuntut ilmu yang benar-benar menyelami akhlaq islam, nescaya dia akan sedaya-upaya menjauhi pertengkaran agar tidak pecah terbelah berciciran. Bahkan dengan pertengkaran kecil itu mampu menerbitkan bibit-bibit kebencian, kedengkian dan keegoan tidak bertempat. Hati menjadi keras dek terhijab dengan pertengkaran menumbuh perpecahan. Berlapang dadalah wahai sahabat.
Hukama’ pernah berkata: “Perbezaan pendapat tidak menghancurkan hubungan kasih sayang.”
Sesungguhnya perbezaan pendapat yang bersamanya ada kasih sayang bukanlah disertai cercaan, makian, penghinaan atau merendah-rendahkan pandangan orang lain. Menonjolkan sikap seperti itu, tidak lain tidak bukan hanyalah dikalangan mereka yang JAHIL dan berlagak pandai sahaja, walhal di kalangan bijak pandai, ulama’ dan para cendikiawan Islam dahulukala berbeza pandangan adalah berlandaskan lingkungan ilmu.
Imam Ahmad bin Hanbal berkata: “Kami diperintahkan supaya tawadhu’ kepada sesiapa yang kami pelajari ilmu daripadanya (guru atau ulama’)
MENCARI BERKAT
Mempertikaikan soal berkat di dalam menuntut ilmu seolah-olah menafikan rahmat dan kebaikan yang dikurniakan Allah SWT buat hamba-Nya. Dalam memahami pengertian kalimah berkat itu sendiri, ia membawa maksud ‘khair’ yakni baik. Firman Allah Subhanahu Wata’ala di dalam surah Ali-Imran ayat 96:
“Sesungguhnya Rumah Ibadat Yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah Yang di Makkah Yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.”
Makna kata ‘Mubarakan’ menurut huraian Tafsir Munir susunan Doktor Wahbah Zuhaili ialah berkah – kebaikan yang banyak.[1]
Maka di sini, dapat kita simpulkan bahawa mencari keberkatan di dalam menuntut ilmu itu adalah penting agar ‘kebaikan yang banyak’ itu tersebar dan menembusi hati serta menerangi dengan cahaya ilmu yang tidak terhitungkan. Antara jalan-jalan memperolehi keberkatan dalam menuntut ilmu itu salah satunya ialah menghormati para ulama’ dan guru-guru yang mencurahkan mutiara-mutiara ilmu berharga kepada kita.
Teringat saya pada ucapan doa yang selalu terpacul di bibir para guru dan warga awam Mesir. “Barakallahu fik, barakallahu fik..” (Semoga Allah memberkati kamu)
Justeru, apakah terlalu sukar untuk merasa tawadhuk dan berendah diri pada guru dihadapanmu? Sangat pekat hitamkah hatimu hingga bebal menilai antara kaca dan permata, antara putih dan hitam? Usah biarkan keeogoan memenuhi setiap inci tubuh, kerana ia bakal memberi jalan pada syaitan-syaitan yang pantas bergerak di dalam salur darah – tanpa henti!
Salah seorang Imam besar bernama Imam Fakhruddin ar-Razi yang pakar dalam bidang ilmu kalam juga ilmu-ilmu lain, dan terkenal sebagai seorang ahli tafsir besar begitu mashyur sekitar abadnya. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 606. Suatu ketika, beliau tiba di suatu tempat bernama Marwa. Sebagaimana biasa, apabila hadirnya Imam Fakhruddin ar-Razi di satu-satu tempat, nescaya berkerumunlah manusia yang dahagakan ilmu mengunjunginya.
Ketika tiba di Marwa, ramai penuntut ilmu datang mendapatkan beliau. Salah seorang daripadanya ialah penuntut yang bijak pandai dalam ilmu nasab. Lantas beliau bertemu penuntut itu dan meminta agar mengajarkan ilmu nasab tersebut. Imam Fakhruddin menyuruh penuntut itu duduk ditempat mengajar, sedangkan beliau bersimpuh di hadapannya mengharapkan pengajaran. Beliau sama sekali tidak merasa bangga diri dengan status yang termiliki, bahkan sama sekali tidak merendah-rendahkan gurunya walaupun kehebatan ilmu beliau mengatasi penuntut itu.
Rasa kerendahan diri itu menyerlah, tanpa setitis pun bergelumang dengan kebongkakan.[2] Allah, Allah, Allah!
Lalu, sudah bersikap beradabkah kita dalam misi mencari berkat ilmu?
2.55AM, 25 Jun 2010.
Siberbay, Tanta.
[1] Tasir Munir, Juz 4 Surah Ali Imran ayat 96, muka surat 332.
[2] Mu’jam al-Udaba – Biografi Azizuddin Ismail bin al-Hasan al-Marwazi al-Husaini, Yaqut al-Hamawi. Juga diceritakan secara ringkas di dalam kitab Keperibadian Seorang Muslim, Muhammad Ali al-Hashimi, muka surat 62.
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 You can leave a response, or trackback.




salam..betul ust..beradab tu penting sangat utk mendapat ilmu dan mendapat keberkatan.. disekolah selalu ingatkan pelajar..tapi ada yang masuk telinga kanan xsampai sesaat dah keluar telinga kiri..sedih betul..
nur_syahadah(Quote)
Wa’alaikummussalam,
Sebab dari kecil memang dididik begitu. Ibu bapa harus memainkan peranan penting untuk menentukan hala tuju anaknya. Ibu bapa yang sedar, harus menekankan juga aspek akhlaq terhadap anaknya sebelum menginjak kaki ke sekolah.
Farid Rashidi(Quote)
salam…
Terima kasih atas perkongsian ya ustaz.
Semua adab dan akhlak dengan guru memang penting dalam kejayaan seseorang. Tapi, pengajaran di dean kuliah yang besar menyebabkan saya sendiri kurang hormat dengan guru. Sebabnya,pengaruh rakan sekitar macam ustaz ceritakan di atas,malah diri juga yang lemah membuatkan keberkatan makin kurang dirasai. InshaAllah, masih boleh dibaiki dengan memikirkan cara menjauhi perkara yang membuat masalah.
p/s: gambar kedua itu diambil curi-curi ke ustaz? heheh..
Mohd Fadzli Iberahim Shah (tronx013)´s last [type] ..Tugas Kami
Mohd Fadzli Iberahim Shah (tronx013)(Quote)
Wa’alaikummussalam,
Sama-sama.
Kenapa kamu tidak merasa hormat pada guru? Apakah ada rakan-rakan nakal yang membaling gumpalan kertas? Atau mencuit bahu? Atau menggeletek?
Oh, gambar kedua itu saya ambil ketika dalam dewan utama kuliah, waktu itu sedang berlangsung majlis antara mahasiswa Malaysia dengan Doktor.
Farid Rashidi(Quote)
salam..
bukannya seganas yang ustaz bagi contoh.. saya cuma berbual bila suara lecturer sayu2 dalam lect hall, mengusik member sebelah.hehe.. kalau tak pun tidur masa lecture bila terlalu penat ditambah sokongan lecturer yang bersuara lemak manis mendodoikan kami yang ngantuk..hihih..
Tapi dah masuk tahun 4 dan Julai ni tahun akhir, inshaAllah, tiada masa mahu lakukan seperti budak2 tu. Fokus dan memaksimumkan masa.
Ustaz sudah tahun berapa? lagi berapa lama?
Mohd Fadzli Iberahim Shah (tronx013)´s last [type] ..Tugas Kami
Mohd Fadzli Iberahim Shah (tronx013)(Quote)
Komitmen dan fokus untuk berjaya itu mesti ada. Orang yang tidak ada matlamat, amat susah nak berjaya. Dia seperti layang-layang terputus tali.
Jawapan tu perlu saya jawab di tempat lain. Boleh?
Farid Rashidi(Quote)
salam..
Ya ustaz, inshaAllah..
p/s: maaf tanya soalan yang not related to your entry.
Mohd Fadzli Iberahim Shah (tronx013)(Quote)
asalamualaikum ustaz,
adakah ini yg di namakan ‘adabul i’tilaf’? selagi ia tidak dlm perkara yg merosakkan aqidah…macamana tu ustaz?
nahmy(Quote)
Wa’alaikummussalam,
Ya, adab-adab ikhtilaf. Itu antara salah satunya. Apabila berlainan pendapat, ada juga adab yang harus dijaga, bukan hanya berlandaskan hawa nafsu semata-mata dalam berkata.
Yang tak merosakkan aqidah, sebagaimana membincangkan isu-isu khilafiyyah contohnya dalam masalah fiqh. Jika menyentuh isu ketauhidan, aqidah maka boleh mengundang bahaya.
Farid Rashidi(Quote)
Pingback: Tweets that mention Antara Sikap, Adab dan Berkat Dalam Pencarian Ilmu - Faridrashidi.Com -- Topsy.com
Salam Ustaz,
Bercerita pasal keberkatan ilmu nih ustaz, mak cik perhatikan student (sekolah menengah) skrg kebanyakkan bersifat rebellious. Lebih minat nak jadi samseng dari mencari ilmu di sekolah.
Jika perasaan begini terus menguasai diri maka ilmu yang dicari tidak mampu diperolehi dengan sebaiknya kerana sentiasa diganggu oleh perasaan. Guru takutkan murid. Macamana ilmu nak berkat.
Rasa mak cik sikap rendah diri dan menghormati guru serta membuang segala keistimewaan yang ada pada diri mesti ada pada sesiapa yang menuntut ilmu.
hjhzae(Quote)
Wa’alaikummussalam,
Kadang-kadang saya tengok cikgu juga ada yang samseng. Apa cerita?
Benar, setiap orang perlu bersikap begitu.
Farid Rashidi(Quote)
Setuju dengan pandangan makcik dan Ustaz.Mungkin juga kena lihat didikan di rumah pula
muhammad fakhruddin´s last [type] ..Arabic 101-How To Introduce Yourself
muhammad fakhruddin(Quote)
Assalamualaikum
Mahu berjaya kena beradab, hormati guru baru berkat mencari ilmu. Teringat ketika study dulu. Bila tiba kuliah programmng (object orientd progrmmng, java, c++ dll.. subjek yg memeningkan kepala) 30 minit berlalu ok lagi lepas itu mulalah terdengar “bisik-bisik” mujur tak terkandas study.. ada seorang lacturer bila masuk lab ja mula la tension dia.. sbb group bisik2 bila di tanya asyik blur ja.. kesian betul.. tapi Alhamdulillah group bisik2 walaupun asyik blur ja masa kuliah masih tahu hormati, hargai beradab dalam mencari ilmu..
bila di adakan perjumpaan semula bekas-bekas pelajar “reunion” jadi berjumpa kembali bekas-bekas pensyarah juga pelajar, masing-masing tersengih.. yang membanggakan group blur Alhamdulillah berjaya juga, bekerjaya mantap.. syukur.. keberkatan ilmu.
Tapi budak-budak sekarang ini tidak kira sekolah menengah atau rendah, pantang di tegur cikgu di tolaknya, kereta cikgu di calarkan ada kes ustazah siap di “warning” kalau macam itu sampai ke sudah la payah nak berjaya. Tapi ada juga cikgu yang mulakan buat hal yg tak munasabah.. kiranya sekarang ini macam-macam hal…
MaizaC’Joe(Quote)
Salam alaik ya akhi..
Seorang yang berilmu bijak membentengi dirinya daripada hasutan syaitan dan hawa nafsunya. Ia bagaikan memiliki indera keenam yang mampu mengesan setiap gerakan zahir dan batinnya.
Abd Razak´s last [type] ..Awasi perkataan kita
Abd Razak(Quote)
dah tinggal jejak mudah nak ikuti perkembangan
cemomoi(Quote)
Salam ustaz.
Bukan mahu memenangkan mana-mana pihak, tetapi semua ini seolah lumrah atau fitrah..Tidak menghormati guru,rasanya bukan guru ganti sahaja yang terkena..Guru yang sekian lama mengajar turut tidak dihormati..Duduk di posisi pelajar, mahu ke saya hormat pada guru yang ajarnya entah ke mana..garangnya sahaja yang lebih…Masuk ke kasut guru pula, lantak kamu le pelajar..nak pandai dengar..tak nak sudah..tiada langsung usaha nak diri dihormati..eh…tak tahu la saya ni pelajar ke cikgu…
Nurana(Quote)
Assalamua’laikum, alhamdulillah,post yg bagus. keberkatan dalam belajar amat penting. nak jawab exam, kalau guru redha, insya’ALLAH, agak mudah nak jawab disamping keredhaan ibu bapa n redha ALLAH. rasanya di peringkat sekolah rendah xada masalah antara pelajar dgn guru.cuma, pelajar2 mula tunjuk hebat bila dah melangkah ke skolah menengah. lebih2 lagi kalau ada campurtangan mak ayah, pelajar akan bertambah rasa HEBAT! seorang guru displin d skolah ana, disekat oleh plajarnya, geng2 org kg dan bapanya sewaktu melalui jalan kampung dlm pjalanan pulang dari skolah. hanya kerana merotan pelajar tersebut yg memg NAKAL. kalau dulu, kita takut nak cakap kat mak ayah bila kena rotan, sebab kalau ngadu, mesti ayah marah kita n cakap;”memg dah patut dah cikgu rotan.ada la yg salah tu”. tapi skrg, hmm, ibu bapa yg lebih2 bila anak kena rotan kat skolah. smoga ALLAH jaga kita semua dan generasi masa depan dari sikap2 sebegini. wallahua’lam
muslimah´s last [type] ..KATAKAN TIDAK KEPADA JUDI BOLA-
muslimah(Quote)
Zaman sekarang adab kepada guru dah semakin kurang. Lihat sahaja kes-kes anak murid menendang gurunya hanya kerana dimarahi sebab tak siap kerja sekolah..
Saya teringat seorang pensyarah saya pernah berkata kepada saya dan rakan-rakan, “Hari ni kamu boleh lulus periksa dan berjaya dapat ijazah, tapi jarang harap kamu berjaya dalam hidup kalau kamu tak hormati guru”.. Cerita ni pernah saya tulis di blog saya, http://jamalrafaie.com/2010/04/apabila-pensyarah-sudah-berkata.html..
Terima kasih untuk sudi menulis sesuatu yang best!! Insya-Allah, hasil penulisan ini menjadi satu jariah kepada ustaz..
Jamal Rafaie´s last [type] ..KEMBARA UNIQUE UTARA SELATAN
Jamal Rafaie(Quote)
Terima kasih atas linknya wahai saudara. Semoga penulisan anda juga dikurniakan ganjaran setimpal oleh Allah Ta’ala. Teruskan menulis demi Islam!
Farid Rashidi(Quote)
“Ini kalau di United Kingdom, harganya satu atau dua Euro.”
UK currency ialah pound sterling (GBP)
zzz(Quote)