Header image

Berdepan Makanan Syubhah Di Republik Czech

Posted by Farid Rashidi in Fiqh Islami | Isu Semasa

Dunia ini sangat unik. Allah SWT ciptakan dunia disertai pelbagai ciptaan mengagumkan mata memandang. Realiti yang tak mampu disangkal lagi. Permukaan bumi tidak diciptakan khali saja, bahkan ada makhluk manusia melata dan haiwan-haiwan merata-rata.

Diciptakan-Nya asal sesuatu kejadian itu tidaklah sia-sia. Bila wujud makhluk manusia dan haiwan, lantas Allah SWT menjadikan sumber makanan buat mereka hidup. Hatta cacing di dalam lubang gelita juga punya rezeki sendiri. Inikan manusia yang mampu berbicara, yang bijak berfikir tentang alam semesta serta mampu bertindak menggunakan anggota dan pancaindera.

Kata bijak pandai usul fiqh mazhab Syafie’ dalam menginstinbatkan hukum bahawa ‘Asal sesuatu perkara memberi manfaat itu adalah harus’. Selama mana tidak ada dalil atau nas yang didatang menyatakan perkara harus itu adalah haram, maka selama itulah ia dianggap harus.

Umum mengetahui, misalnya keharaman arak, memakan khinzir dan bangkai serta darah adalah haram kerana bersamanya ada tegahan nas qat’ei mengatakan ianya haram. Jadi ianya jelas. Tidak boleh dipertikaikan lagi mengapa dan kenapa ianya haram.

Al-Imam Baidhowi dalam membawa kaedah ‘Asal sesuatu perkara memberi manfaat itu adalah harus, beliau turut mengemukakan dalil ayat al-Quran surah al-Baqarah ayat 29 bermaksud:

“Dialah (Allah) yang menciptakan segala apa yang ada di bumi untukmu.”

Kemudian Imam Asnawi menghuraikan matan tulisan Imam Baidhowi itu kepada kefahaman makna wajhu dilalahnya; Al-Bari yakni Allah SWT mengkhabarkan bahawa seluruh penciptaan-Nya di bumi sebagai hamba-Nya. Begitu juga ayat 4 dalam surah al-Maidah menyatakan bahawa:

“Yang dihalalkan bagimu (adalah makanan) yang baik-baik.”

Justeru, Allah SWT berserta Rasul-Nya memerintahkan umat Islam agar mengisi kelaparan dengan makanan dan minuman yang halal lagi baik. Ia amat penting bagi kekuatan fizikal dan jasmani sehari-hari. Kerana yang baik-baik itu tentu saja membawa manfaat berguna. Berguna untuk pengabdian kepada Allah Ta’ala. Tidaklah yang dinamakan baik itu jika terisi kemudharatan.

“Dan menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.” (Al-A’raf: 157)

MAKANAN HALAL LAGI BAIK

Sebelum menyuapkan makanan ke mulut, fikirkan dahulu sejenak. Di mana makanan itu diperolehi, dari mana sumbernya dan siapa yang mengeluarkannya. Konsep halalan thoyyiba ini takkan terlaksana jika umat Islam tidak peka dengan isu asas ini.

Soal makanan dan minuman bukan perkara remeh. Ia akan menjadi darah daging manusia, ia melibatkan segumpal darah di dalam dada. Nur tidak akan menerjah ke rongga hati jika diselaputi zulmat dosa dan karat syubhah. Hindarkan syubhah, kerana syubhah menghampiri haram.

Apa maksud makanan yang baik-baik?

Ianya memberi makna bahawa apa saja makanan yang diterima dan diingini oleh jiwa manusia yang bersih.

“Oleh itu, makanlah (wahai orang-orang yang beriman) daripada apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu daripada benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata.” (Surah an-Nahl: 114)

Bahkan makanan dan minuman baik-baik itu adalah manifestasi peribadatan sempurna. Allah Ta’ala menyarankan kepada orang-orang beriman di dalam surah al-Baqarah: 172 bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu.”

TINGGALKAN YANG SYUBHAH

“Kalau kita makan daging yang bukan disembelih cara sah atau lembu yang mati ditepi jalan macammana? Misalnya kita tak tahu, kita beli daging itu walhal ianya bangkai.” Seorang pemilik kafé bertanyakan saya perihal makanan syubhah.

“Memakan daging begitu tidak boleh, ia akan menjadi darah daging kita.”

Baru-baru ini ada seorang pelajar yang menuntut di Republik Czech mengutuskan emel kepada saya bertanyakan hal ehwal makanan syubhat. Berikut emelnya:

Saya merupakan seorang pelajar di Republik Czech. Untuk pengetahuan ustaz, komuniti orang Islam di sini sangat minoriti. Tidak seperti negara-negara Eropah lain seperti UK, Ireland, Perancis dll, bekalan makanan halal sangat sukar untuk didapati di sini. Rakan-rakan saya yang berada di UK lazimnya mengambil makanan yang disahkan “suitable for vegetarian”. Tetapi bagi kami yang berada di Republik Czech ni, makanan yang “suitable for vegetarian” terlalu sukar untuk ditemui. Jadi sebagai langkah alternatif, kami di sini bergantung kepada senarai E (senarai pewarna, perasa sintetik) dalam memilih makanan harian samada kandungan tersebut diklasifikasikan sebagai haram, syubhah atau halal. Di awal kedatangan kami ke sini, kakak-kakak senior ada memperkenalkan makanan-makanan yang boleh dimakan. Namun setelah beberapa bulan, kami menyedari bahawa terdapat di antara makanan yang diperkenalkan itu mengandungi kandungan yang diklasifikasikan sebagai syubhah. Saya ingin bertanya;
Apakah hukumnya kita memakan makanan yang kandungannya tidak dipastikan samada halal atau haram (syubhah)?
Adakah salah sekiranya saya menyatakan pendirian untuk menjauhi makanan yang syubhah di hadapan rakan-rakan yang meyakini bahawa ‘makanan yang syubhah itu boleh dimakan (atas alasan makanan itu tidak diketahui jelas haramnya)’? Rakan-rakan saya berpendapat lebih baik saya diamkan pendirian ini bagi mengelakkan orang lain berasa was-was.
Harap ustaz dapat membantu kami di sini.

Memakan makanan yang kita yakini bahawa ianya suci, bersih dan halal adalah harus. Selagi mana tidak ada dalil mengatakan ianya haram, maka kita berhak untuk menikmati kelazatannya. Namun jika sekiranya kita dibelenggu rasa bahawa makanan itu terkategori syubhah, yakni terdapat sumber-sumber menyatakan ianya syubhah atau haram, maka tinggalkanlah.

Sebagaimana hadis yang telah disabdakan oleh Baginda SAW berbunyi:

“Maka siapa yang selamat daripada perkara syubhah, maka sesungguhnya ada dan maruahnya telah selamat. Siapa yang melakukan perkara syubhah, maka ia telah melakukan perkara haram.”

Begitu juga di dalam hadis lain bermaksud:

Daripada Ka’ab bin Ujrah r.a, sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “Setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka nerakalah yang paling utama baginya.” (Riwayat at-Tirmizi)

Justeru, berhati-hatilah dengan perkara syubhah. Kerana syubhah itu menghampiri yang haram sebagaimana saya perjelaskan di awal artikel. Tidak ada salahnya jika kita mengkhabarkan kepada teman-teman jika perkara itu ternyata syubhah, bahkan mampu menyelamatkan diri dari tergelincir kepada yang haram.

Pun begitu, sekiranya kita meyakini bahawa ianya jelas suci, selamat dan halal. Makan dipersilakan membaca Bismillahhir Rahmannir Rahim lalu menjamahnya. Menurut kaedah lain di dalam Qawaid Fiqhiyyah ‘Al-Yakin La yuzalu bisyyak’ yakni ‘Perkara yang yakin tidak dihilangkan oleh keraguan (syak)’.

Maka pertimbangkanlah sebaik mungkin. Sesungguhnya yang Haram itu jelas dan Halal itu juga jelas. Wallahhu a’lam.

Rujukan:
Nihayatul Sul fi Syarah Minhaj al-Usul Ila Ilm Usul, Qodhi Nasiruddin al-Baidhowi.
Qawaid Fiqhiyyah.
Al-Fiqhu Manhaji, Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa al-Bugho dan Ali Asy-Syarbaji.
Adab-adab Islam dalam kehidupan Harian, Mohamad Zulkifli Abdul Ghani.

8:04PM, 13 Jun 2010.
Siberbay, Tanta.

You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 You can leave a response, or trackback.

26 Responses

  • nur_syahadah says:

    salam..terima kasih perkongsian artikel..

      (Quote)

  • Syafrizal says:

    memang masalah tersebut sangat rumit untuk umat Islam lalui..
    .-= Syafrizal´s last blog ..Bebola babi campur makanan halal dirampas =-.

      (Quote)

    • Ya, begitu rumit.

      Baru-baru ini di Iskandariah, kecoh isu guna daging anjing dan bangkai lembu kisar. Kes ini berlaku kerana kenaikan harga daging mendadak di sini.

      Kemudian isi bebola babi campur di Malaysia, sebagaimana yang Tuan tulis artikel tentang itu.

      Pokok pangkalnya isu ini tidak pernah selesai. Kenapa? Kerana memang ia adalah salah satu senjata utama musuh melemahkan umat Islam.

        (Quote)

  • Khairi says:

    Salam syeikh,

    Bermanfaat sekali. Moga dapat jadi panduan untuk pelajar2 kita kat merata pelusuk dunia.
    .-= Khairi´s last blog ..Aksara Pencorak Hidupku =-.

      (Quote)

    • Wa’alaikummussalam,

      Ya, semoga begitulah hendaknya. Terfikir juga saya, kenapalah mereka dihantar ke wilayah non-muslim.

        (Quote)

      • Khairi says:

        Kelemahan ummat kita sendiri syeikh. Kalau kita kuat ekonomi dan teknologi, Israel tak akan senang-senang nak pedajal Palestin.

        Kalau kita mampu menguasai semua cabang ilmu dunia, muda mudi kita tak perlu ke negara ‘sulit agama’ untuk belajar komputer, sains, kedoktoran atau falsafah.

        Dalam kita duk bantai Israel, sepatutnya 80% bantaian itu harus kita tuju untuk diri sendiri. Sebab kelemahan kitalah, Islam yg hebat memundurkan ummat.

        Sungguh aku tak punya kuasa untuk beritahu mereka, kalau kita membenci Israel, kita sebenarnya sama dengan Israel yang membenci Islam. Kita mesti membenci kezaliman yang dibuat sesiapa saja mahupun Israel, mahupun Arab, mahupun Melayu.
        .-= Khairi´s last blog ..Peribahasa “Jangan Jaga Tepi kain orang” dan kesan-kesannya terhadap masyarakat… =-.

          (Quote)

        • Ya benar, saya setuju dengan alasan kita lemah. Tetapi apa yang saya maksudkan begini, misalnya kita sudah tahu tempat sebegitu tidak mempunyai makanan halal, apakah tidak ada alternatif lain?

          Saya kira ada. Misalnya jika mahu belajar medic, boleh saja ke Ukrine, Mesir, India dan tempat-tempat yang mudah mendapat makanan halal. Itu padangan saya secara kasar, mungkin ada alasan menafikannya. Dipersilakan, saya memang mahu tahu mengapa dan kenapa.

          Dalam ayat al-Quran Allah SWT dah sebut:

          Famanlam yahkum bima anzalallah, faula ikahumul kafirun.

          Famanlam yahkum bima anzalallah, faula ikahumul dzolimun.

          Famanlam yahkum bima anzalallah, faula ikahumul fasiqun.

          Makna kata, selepas kafir, orang zalim dan fasiq. Mudah saja kira-kira matematiknya. Musuh Islam ialah orang kafir, zalim dan fasiq.

          Soal bangsa tidak dikira, jika mereka terkelompak dalam kategori di atas maka Islam tidak pernah selamat walau dimana-mana saja.

            (Quote)

          • Khairi says:

            Sepatutnya alternatif itu ada, cuma kita sedia maklum urusan di belakang itu banyak simpang siurnya.

            Apa pun, sepatutnya Feqah tidak membataskan kita hidup di mana saja, kan? Alangkah cantik kalau para pelajar kita menjadi contoh di negara kafir itu. :)
            .-= Khairi´s last blog ..Aksara Pencorak Hidupku =-.

              (Quote)

            • Simpang siur yang memeningkan. :)

              Ya, fiqh bersifat global. Tetapi kenalah tahu caranya baru fleksibel. Alangkah cantiknya jika mereka yang mahu jadi contoh itu adalah sebenar-benar contoh.

              Sebab itu terhasil subjek Qodoya Muasarah. Khusus untuk membincangkan masalah baru.

                (Quote)

  • Abd Razak says:

    Salam ya akhi..

    Di tempat saya ni pun kena berhati-hati dalam bab makan, terutamanya ayam. KFC, McD dan tempat makan fast food memang saya tak berani nak masuk.
    .-= Abd Razak´s last blog ..Cahaya keyakinan… =-.

      (Quote)

  • kak zu says:

    Kebelakangan ni mmg ade pendedahan makanan yg tak halal disebarkan…ayam tak disembelih oleh org Islam lah..bebola ikan dicampur bahan yg haram…sosej dr usus khinzir …macam2…mmg amat menakutkan…cara yg baik adalah elakkan makan makanan2 yg kita sendiri was was akn kehalalannya…terimakasih Farid ats perkongsian ilmu ni..

      (Quote)

    • Sama-sama.

      Saya sebenarnya agak pelik juga dengan masyarakat sekarang, kenapa?

      Isu makanan semuanya mahu pastikan halal. Tetapi soal haram arak, judi, zina, membunuh, rompak dipandang enteng dan bersahaja. Tak begitu?

        (Quote)

  • hjhzae says:

    Salam ustaz,

    Satu kupasan yang bagus ustaz. Makcik nak share kat fb (notes).

    Seperti ustaz cakap lah, kengkadang memang nampak jugak kepelikan org2 Melayu nih. Sebabnya kalau tentang babi pandai pulak haram, tapi kalau kencing setan tu, selamba je teguk especially artis2 yg ada kat Malaya nih lah.

    Macam baru2 nih kes wanita melayu yg bersetuju untuk hukuman dijalankan keatasnya kerana tertangkap angkara kencing setan nih tapi gara2 backing dari org besar yg kununnya “prihatin dan kesian terhadap rakyat”, wanita itu terlepas. Macamana blh hukum Allah diperkotak-katikkan begitu..

      (Quote)

    • Wa’alaikummussalam,

      Silakan. Lampu hijau untuk sebaran senantiasa bernyala.

      Agaknya nak kena tunggu ada zat babi dalam arak dulu kot baru jadi haram? :)

      Dalam kes baru-baru ini, sebatan itu masih tidak dikira mengikut standart syariah Islam. Kerana dalam kehakiman Islam, bagi hukuman minum arak adalah sebanyak 40 sebatan.

        (Quote)

  • Salam ustaz farid..

    Teringat waktu training di India, dulu-dulu. Ada sesetangah tempat, kami terpaksa periksa senarai kandungan bahan yang terdapat di dalam makanan. Tapi kebanyakannya kami akan memilih yang vege. Cuma Alhamdulillah, di bandar Mysore yang kami tinggal tu, kebanyakan penduduknya beragama Islam. Jadi tidak sukar untuk kami merasa keenakan beriyani ayam berkuahkan kuah yogurt….sedapnyer..

      (Quote)

    • Wa’alaikummussalam,

      Oh, merata-rata dah jelajah ye. Lama menetap di sana?

      Bila sebut pasal India, teringat cerita ayah saya sewaktu beliau muda-muda dulu. Beliau juga adalah graduan dari India, tak silap saya Bombay.

      Katanya nasi beriani ni biasanya makanan orang atasan. Kasta bawah jarang makan – mungkin masalah kesempitan hidup.

        (Quote)

      • Takde la merata-rata pun Ustaz..setakat India..erkk. Tak lama pun, 4 bulan je. Tu pun sebab training. Yang saya pergi ni daerah Bangalore.

        Ooooo… kat India,memang ramai orang susah. Merempat di jalanan. Takde rumah. Ada yang buat rumah dengan kain… aduhaii… dan yang kaya, kaya sangat-sangat..rumah macam istana..

        Pergi jalan ke mana-mana kat India tu, tak sah kalau tak de budak-budak tarik baju, sebab nak minta sedekah. Kadang-kadang sorang dua boleh diberi, tapi yang haru..kejap lagi pasti kita diserbu oleh kawan-kawan dia. Sampai tak leh nak gerak ke mana-mana pun ada. Selepas dari tu, dah tak kasi. Buat tak tahu je kalau diaorang minta sedekah. Kesian..tapi terpaksa..

        Nasi beriyani diaorang memang sedap Ustaz..tatau la mana nak cari kat Malaysia ni. Berkuah yogurt. Sampai sekarang, teringat-ingat rasa dia…huhu

          (Quote)

        • Oh, walaupun 4 bulan jika dikutip betul-betul pasti dapat dibukukan memori itu.

          Kata ayah, ada juga rumah yang diperbuat dari tahi lembu. Sadis!

          Saya rasa suasana India nak semacam Mesir. Barangkali ada persamaan. Dan fakta memberitahu bahawa India adalah negara yang paling kotor. Benarkah?

          Ya, sedap. Rempah juga memainkan peranan penting dalam pembikinan.

            (Quote)

  • nohas says:

    Mungkin mentaliti orang Melayu Islam melihat industri makanan/pertanian ini sesuatu yg remeh, bukan sesuatu yg ke tahap fardu kifayah, hingga ada bidalan2 negatif seperti “balik kampung, tanam jagung”…

    Masalah baru dlm industri makanan spt genetically-engineered food, genetically-manufactured food, menambah permasalahan umat Islam..walaupun sekarang ada IMP, GMP tapi kalau sumbernya tidak halal, boleh mengelirukan umat Islam seperti spirulina, kapsul bovine gelatin, dll
    .-= nohas´s last blog ..Recycle – Sekadar Peringatan =-.

      (Quote)

    • Agaknya menanam jangung itu sudah dikira pekerjaan bawahan barangkali. Mentaliti inilah yang menyebabkan ramai anak-anak muda tidak gemar mengusahakan produk makanan dan pertanian.

      Sekarang ada bidalan baru, “Dok tanam anggur” :)

      Kadang-kadang orang awam dikelirukan dengan istilah. Andaikan dalam makanan itu ada unsur babi sekalipun, jika dikaburi istilah gelatin mereka tetap saja tidak tahu. Melainkan ada yang memberitahu.

        (Quote)

  • Pingback: Tweets that mention Faridrashidi.Com » Blog Archive » Berdepan Makanan Syubhah Di Republik Czech -- Topsy.com

  • Nazim Misbah says:

    @Afida Anuar: saya tinggal di mumbai.sejak saya tahu yang kod E deviaratif lemak babi,saya semak ingredien – label vegetarian pun ada kod E ini.lantas saya mengambil tindakan memeriksa kod E terlebih dahulu.Malangnya dalan 360 rancangan tv Malasysia menyiasat perkara ini dan memutuskan bahawa makanan tersebut yang berkod lingkungan E400 sahaja yang tidak halal .contohnya E471.sedangkan kod E110 dan seterusnya dianggap halal.Jawapan Jakim ialah ini berkaitan dengan mazhab pula, jika mazab shafie,pengilang mengistiharkan tiada lemak babi, maka makanan tersebut adalah Halal.Saya tidak ambil kerana menganggap shubhah.Tetapi bagaimana jika saya makan di rumah sahabat yang buat tidak peka terhadap isu ini.Sebagai contoh, di India ,santan yang dijual bentuk cecair dalam kotak dan ada emulsifier E lemak babi yang kodnya shubhah.Aduh..bagaimana..Begitu juga bread.kalau ada tertulis pure vegetarian-memang tidak ada E.Kalau vegetarian , semaklah kod E471 pasti tertera.

      (Quote)

  • farah2anim says:

    Salam..

    Terima kasih di atas pengisian yang sedikit sebanyak dapat membantu persoalan saya.
    Saya sekarang berada di Jepun, pelajar Electric Engineering.

    Bagi saya, pengalaman di bumi bukan orang Islam ini banyak mengajar saya. Menjadi duta kecil untuk Malaysia dan Islam.
    Dengan hanya memakai tudung, kita sudah berdakwah.
    Ramai yang tidak tahu cuba bertanya dan sedikit sebanyak membuka mata mereka terhadap Islam; satu2nya agama yang benar. Seperti yang sedia maklum, orang Jepun kebanyakannya tidak serius tentang agama.
    Ada juga yang tak tahu agama apa yang sedang dianuti mereka.
    Banyak juga perkara baik yang boleh dicontohi seperti kebersihan dan juga sistematiknya mereka. Layanan mereka terhadap pelanggan juga baik. Payah ditemui di Malaysia yang adakalanya pelanggan diremeh temehkan.
    Yang baik kita ambil, yang jahat kita jauhkan.

    Di sini memang susah untuk menemui makanan yang ditulis halal sebagaimana bila berada di Malaysia. Memang kami akan membaca ingredient sebelum membeli makanan dan alhamdulillah bahan2 ditulis secara jelas.

    Persoalan saya sebelum ini adalah bila makan di luar. Ada masanya travel dan terpaksa makan di luar. Bilamana ada dessert yang meragukan samada diletakkan arak atau tidak. Apabila saya terasa ad kelainan dan meragukan, saya jauhi darinya. Hadis yang disebut pernah didengari. jadi bila saya rasa tak yakin saya jauhi. Tapi ada pula sahabat saya mengatakan syubhah itu datang dari syaitan. Betulkah kenyataan ini? Dan ada juga katanya kita tak perlu bertanya hingga ke dapur, kalau di depan mata rasa yakin makanlah dan dimulakan dengan bismillah.

    Tapi saya yakin,Islam itu agama yang mudah, hanya bahayanya jangan pula terlalu memudahkan Islam.

    Yang buntu,
    farah2anim´s last [type] ..brains

      (Quote)

  • nurul says:

    assalamualaikum ustaz..sy de 1 soalan..berkenaan dgn makanan..tempoh hari sy ade t’bce mngenai kod bagi makanan y dikatakan mengandungi unsur babi ..kod itu adalah ” E471 is derive from pig” ..adakah benar kod itu adalah kod y berkaitan babi y digunakan dlm penghasilan produk2 tertentu oleh pengilang???
    sy risau n agk runsing.. sy ada beli 1 jenis choclate..umum dpasaran..mmg top bran tu..smua org tahu.. sdg asyik mkn..tbe2 tpandang kod makanan di bhgn blakang.. E471 pengemulsi,,,+ lesitin soya E476…sy tbe2 tringat akn artikel y dibce tmpoh hari…
    dek krana tkejut,,cpat2 sy luahkn sisa choclate y msh berbaki di dlm mulut…

    ustaz..klo kite tmkn bnde y kite baru tau akn kndungan nye y mragukan…ape patot kite buat????

    b’kumuh shj cukup ke??? bdosa ke kite??? sy risau…. adakh ia akn mnjejaskn amalan seharian??? bersih ke kite??

    harap ustz dpt mbantu…….

    drp: pelajar skolah…

      (Quote)



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge