Header image

Mukjizat Yang Tidak Bertempat

Posted by Farid Rashidi in Diari Penulis | Permata Al-Quran | Tazkirah

Bas terus bergerak melewati jejantas Ma’rad menghampiri Gama’ah. Di situ, bas akan berhenti mengambil penumpang. Ada juga yang turun.

Kedudukan saya dengan Sulaiman adalah paling belakang. Kerusinya sedikit tinggi dan mampu memandang keseluruhan bas panjang dua pintu itu. Di hadapan saya seorang wanita separuh umur bersama anaknya bertenggek.

“Ustaz perak tu dah meninggal.. dia sama umur dengan ana, cuma mai lewat sikit.” Sulaiman memandang hadapan bas.

“Dia mai 2007.” Jawab saya.

“Dia kena langgar dari tepi atau belakang?” Soal saya inginkan kepastian.

“Kena langgar dari tepi, kena langgar oleh seorang polis tapi naik kereta biasa.” Sulaiman cuba menunjukkan isyarat tangan agar gambaran kemalangan lebih jelas. Saya memerhati gelagatnya dengan tekun. Terbayang gambar yang saya lihat di dalam sebuah blog tempohari. Sebuah motosikal kemik ekzos bersama motokar kelabu. Hentamannya menyebabkan cermin kereta retak. Tampak kemik badannya.

Kami berpindah topik, tanpa menghiraukan arab yang memandang.

Sebelah saya ada bangku kosong. Lalu wanita yang berada dihadapan saya bangkit untuk duduk disebelah. Saya mengesot ke arah Sulaiman. Ke kiri bas.

“Musyhaf keda bikam?” Tanya mak cik itu.

Sulaiman terpinga-terpinga.

“Dia tanya, quran tafsir ini harganya berapa?” Sambung saya mengulangi pertanyaan mak cik itu.

“Oh, khamsin genih. (LE50)”

“Boleh saya lihat mashaf itu?” Pintanya sambil memangku anak perempuan kecil.

Sulaiman terus menghulurkan kepadanya. Dia mengambil dan mengucup mashaf itu. Saya hanya tersenyum melihat kelakuannya. Mashaf itu dibelek-belek isi, lalu mak cik itu cuba berkata sesuatu kepada anak gadisnya.

“Dia pun hafaz quran.” Mak cik itu kembali bersuara sambil menjuihkan mulut ke arah anaknya. Anaknya tersenyum tanpa suara.

“Berapa juz dia hafaz?” Saya cuba memberanikan diri menyoal.

“Hafal berapa juz?” Soal mak cik itu kepada anaknya. Anaknya bersuara perlahan. Matanya memandang ke kiri saya tanpa menoleh kepada kami berdua. Comel.

Ihda asyar (11 juz).” Jawab ibu itu menguatkan kata-kata anaknya.

Saya hampir terpelangah! Saya dan Sulaiman berpandangan sesame sendiri. Senyum kami sedikit tawar bercampur rasa malu.

“Allah, kecil begini dah hafal berbelas juzu’.” Bisik hati – ketakjuban.

“Umurnya 4 tahun.” Mak cik itu kembali bersuara. Saya bagai terasa malu untuk memandang wajah anak kecil yang berkulit itu. Sedikit debu membedaki wajahnya. Seperti jauh bermusafir merempuh waktu.

Bas berhenti di hadapan Bank Ahli Mesir yang terletak di Awal Bahr. Kami segera menuruni bas dan bergegas menuju ke Medan Sa’ah. Bimbang terlewat kelas talaqqi Syeikh Abdullah Syazili yang terletak di Masjid Uthaifah – sedangkan kami belum bersolat maghrib.

“Agaknya kalau budak umur 4 tahun di Malaysia mesti dah masuk majalah.. Di sini bercambah, dah biasa.” Sulaiman kembali membuka cerita sambil mempercepatkan hayunan kaki melangkah.

“Bukan kita nak kata,tapi memang realiti.” Saya memberi konklusi.

Sebenarnya kita juga boleh. Kita juga berupaya untuk menjadi seperti mereka. Tidak mustahil anak cucu kita sudah mampu menghafaz al-Quran sedari umur 4 atau 5 tahun. Pembudayaan al-Quran di dalam kehidupan harian wajar diterapkan, tanpa sedikit pun rasa keraguan.

Kerana al-Quran diturunkan bukan untuk disempadankan, tetapi ianya adalah untuk semua. Seluruh umat Islam berhak bersamanya.

KALAMULLAH DI SERATA PELUSUK

Bermula awal pagi lagi sudah kedengaran alunan bacaan al-Quran melalui corong-corong radio. Bacaan al-Quran yang dialunkan oleh Qari dari al-Azhar, Kaherah menerobos di celahan dedaun tingkap rumah. Tenang dan mendamaikan.

Apabila kaki melangkah masuk ke dalam pengangkutan awam – van (tramco), pasti mereka akan memasang ayat suci al-Quran jika tidak ada lagu diputarkan. Mashaf al-Quran turut diletakkan bersama di hadapan (berdekatan stereng). Meskipun di dalam pengangkutan awam seperti teksi, mashaf tidak lekang berada di sisi pemandu.

Bahkan kedai-kedai yang berjujut di sepanjang jalan tidak ketinggalan mengalunkan kalamullah. Masuk saja ke dalam kedai, pasti kedengaran ayat al-Quran di putarkan, samaada melalui siaran tv ataupun radio. Bermula sekecil-kecil gerai seperti gerai menjual buah-buahan sehinggalah ke gedung-gedung besar, senantiasa masyarakat Mesir setia bersama al-Quran yakni mendengar ataupun membacanya jika waktu terluang.

Berdekatan Masjid Muhafazah terdapat sebuah dewan besar yang boleh menempatkan ratusan orang. Dewan itu dipenuhi kerusi-kerusi yang tersusun rapi. Hadapannya pintu utamanya siap terpasang langsir bercorak tradisional arab. Neon-neon juga turut bernyala indah. Setiap kali saya melewati dewan itu, ia sentiasa penuh dengan pengunjung siap berpakaian segak – kot hitam dan tali leher. Di hadapan pentas dewan kelihatan kelibat seorang qari berkopiah merah putih (kopiah al-Azhar) mengalunkan bacaan al-Quran bertarannum.

“Enta perasan tak, ada apa ya ramai-ramai kat dewan tu. Setiap kali lalu mesti penuh orang dengar baca al-Quran.” Tanya saya kepada seorang teman sewaktu menaiki bas pulang ke Siberbay.

“Tak tahulah, tapi biasanya dia buat bacaan al-Quran untuk orang meninggal.” Jawabnya teragak-agak.

Kebiasaan masyarakat awam Mesir jika berlaku kematian mereka akan mengadakan suatu majlis. Ianya seakan-akan majlis bertahlil seperti di tanah air. Cuma yang membezakannya ialah, mereka tidak menjamu dengan hidangan dan tiada bacaan tahlil sebagaimana yang diamalkan penduduk nusantara. Mereka hanya duduk di atas kerusi yang diatur seperti sedang bertafakur sambil mendengar bacaan al-Quran. Bergantung kepada kemampuan pihak penganjur, jika punya kewangan lebih – maka lebih ramai hadirin di jemput dan lebih luas khemah yang didirikan.

Timbul rasa kagum bila mengelih beberapa pengawal keselamatan lengkap beruniform duduk sambil tangannya memegang mushaf. Bibirnya terlihat bergetar dan khusyuk membaca al-Quran tanpa menghiraukan manusia yang lalu lalang di hadapannya. Fenomena ini lebih terserlah apabila tiba Ramadhan setiap tahun.

Konklusinya, setiap tempat samaada di dalam pengangkutan awam, bas, teksi, kereta, keretapi metro, kedai, tepi jalan atau di mana-mana saja pasti kedengaran kalamullah dialunkan. Allahu Rabi.. Sungguh luar biasa mukjizat-MU kepada Rasulullah SAW ini!

PETUNJUK SEPANJANG ZAMAN

“Setiap kisah di dalam al-Quran ada pengajaran dan ada bukti.” Jelas Syeikh Abdullah Syazili. Malam itu beliau membaca dan menafsirkan ayat 248 daripada surah al-Baqarah.

“Al-Quran mengandungi suruhan, hiburan dan khabar..” Sambung Syeikh lagi sambil menunjukkan isyarat tangan. Sebelah tangannya pula memegang al-Quran tanpa tafsir.

Benarlah, al-Quran itu adalah lembaran ayat-ayat Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW lengkap dan sempurna. Kesyumulannya mencakupi segenap lapangan manusia. Bertautlah dengan al-Quran selama-lamanya. Tidak rugi dan merugikan kita.

“Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu: Bukti dari Tuhan kamu, dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu (Al-Quran sebagai) Nur (cahaya) Yang menerangi (segala apa jua Yang membawa kejayaan di dunia ini dan kebahagiaan Yang kekal di akhirat kelak).” (An-Nisa’: 174)

Al-Quran adalah cahaya (نور). Cahaya yang diturunkan Allah buat keseluruhan umatnya. Lengkap membatasi antara perkara halal dan haram.

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (Al-Quran) Yang jelas nyata keterangannya.” (Al-Maidah: 15)

Al-Quran mengandungi penjelasan (مبين). Iaitu penjelasan yang menzahirkan kebenaran dan kebathilan.

“Dan Kami turunkan Dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat suci Yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang Yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang Yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” (Isra’: 82)

Al-Quran ialah penawar (شفاء). Penawar yang mengubati keseluruhan samaada letaknya pada hati ataupun pada tubuh badan manusia.

“Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang Yang (hendak) bertaqwa;” (Al-Baqarah: 2)

Al-Quran merupakan petunjuk (هدى). Sesungguhnya petunjuk ini merupakan dalil kepada sebuah kebenaran.

Dan Demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) – Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah kami; (Asy-Syura’: 52)

Al-Quran juga adalah roh (روح). Roh yang letaknya di dalam hati dan pada diri manusia itu sendiri. Sesungguhnya, kesemua nama-nama atau sifat yang disebutkan adalah disandarkan pada makna daripada makna-makna al-Quran itu.

IA SEMAKIN MENJAUH

Kesibukkan hidup seharian terkadang melekakan kita dari terus bersama dan menyintai al-Quran. Hatta para huffaz sendiri pun andai ghaflah pada al-Quran beberapa ketika, tentu saja ianya lari menjauh. Menjauh hingga tiada berbekas di dada, kecuali ianya digenggam dan dipengangi kembali sekuat mungkin.

Teringat saya pada khutbah terakhir Rasulullah SAW. Khutbah yang mampu menitiskan airmata, biarpun berkali-kali ianya dibaca. Baginda SAW dengan jelas mengingatkan kita sekalian umatnya (ketika itu sehingga kiamat) bahawa jika al-Quran dan as-Sunnah itu ditinggalkan, nescaya mudahlah untuk terjerumus ke lembah kesesatan. Kesesatan yang mengundang duka dan nestapa selama-lamanya. Nauzubillahhi minzalik.

Ya, saudara-saudaraku, tidak akan ada Nabi atau Rasul sesudahku dan tidak akan ada agama lain yang lahir. Oleh itu dengarlah baik-baik ya Saudaraku, dan pahamilah kata-kata yang kusampaikan kepadamu, bahwa aku meninggalkan dua pusaka, Al-Qur’an dan contoh-contohku sebagai As-Sunnah dan bila kalian mengikutinya tidak mungkin akan tersesat. (Khutbah Wida’)

Ya Allah, Ya Rabbi. Engkau berilah kehormatan tertinggi padanya – kekasih-MU. Kerana kelak, dialah penghulu kami. Bersamanya juga ada syafaat yang menghindarkan kami daripada api neraka-MU Ya Allah. Allahumma solli ala Saidina Muhammad, wa’ala alihi wasohbihi ajmain.

Justeru, tebarkanlah al-Quran ke serata alam sebelum hari pengakhiran menjelma kelak. Maka bacalah, tadabburlah, hayatilah dan beramallah. Tidak memadai hafalan tiga puluh juzu’ tanpa amalan. Amalan itu pula biarlah selari dengan apa yang diajarkan, yakni ilmu yang sahih lagi benar.

Kerana al-Quran selain dijadikan bacaan dan hafalan, ianya diturunkan untuk menunjuki jalan. Selama-lamanya. Berbahagialah bagi mereka yang mengetahuinya.

01:35AM, 10 April 2010,
Siberbay, Tanta.


You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 You can leave a response, or trackback.

26 Responses

  • argh says:

    hmm..
    jauh
    jauh

      (Quote)

  • MaizaC'Joe says:

    Assalamualaikum

    hafal 11 juz..? malu kat anak kecil tue.. 4 tahun.. emm.. ada orang nie umur 11 tahun baru khatam Quran… jauh sekali hafaz.. beberapa kali khatam tue ada.. iya.. kadang-kadang kesibukan itu buat terlalu jauh.. kadang terlupa.. Tapi InsyaAllah.. sentiasa ingat pesan ayah & mak.. lepas solat baca la quran walau hanya 2m/s… Alhamdulillah sentiasa amalkan…

    budak2 kat sini kalau umur 4 tahun.. masuk bintang kecil jadi artis tak pun bersama dengan Nabil :-) maaf ya… tak semua mcm tue ada juga yang hebat-hebat, bijak-bijak, pandai… InsyaAllah….. rancangan kat TV9 ada juga kanak-kanak yg pandai mengaji.. hafaz quran.. pandai arab.. Bangga!! seronok ja tengok.. sejuk perut ibu… bukannya apa.. sebab orang nie tak la pandai mcm kanak-kanak tue…

      (Quote)

    • Wa’alaikummussalam,

      Ya, hafaz. Bukan baca atau khatam. Baguslah jika selalu amalkannya. Semoga beroleh pahala.

      Bila dunia menjadi ukuran semata-mata, lebih ramai berbangga mengangkat hedonisme sebagai kiblat.

      Boleh bilang jari dalam sebuah sekolah hanya berapa kerat yang khatam quran, bukan hafaz.

      Rancangan apa ya dekat tv9? Mari mengajikah?

        (Quote)

  • Abd Razak says:

    Assalamualaikum..

    Sesungguhnya al-Quran adalah sumber asli lautan ilmu, sumber hidayah kepada kita semua. Bacalah al-Quran, kelak ia memberi syafaat. Sentiasalah membaca, menghafal dan cuba hayati apa yang terkandung di dalamnya dan amalkan dalam kehidupan kita..

    Syukran ya akhi.. :)
    .-= Abd Razak´s last blog ..Sifat malu wanita =-.

      (Quote)

  • SubhanaAllah… 4 tahun dah 11 juzuk…

    Suasana dan pembudayaan di sana…alhamdulillah…

    tapi di sini, kat kedai2 sini mana ada yang pasang alunan ayat2 suci? yang saya perasan ada, kedai yang jual kitab-kitab suci al-quran je la. Kedai lain, kalau tak dangdut,tangkap jiwang…dalam tv pun sama..dan satu lagi,tak tau la apa kene dengan masyarakat kita skrang, ramai benor nak jadi penyanyi…penat sangat tengok.

      (Quote)

    • Saya jarang jumpa kedai kita pasang al-Quran. Radio panas berapi adalah.

      Satu lagi, gerai di tapak pasarmalam yang jual kaset al-Quran. Selebihnya hanya jumpa setahun sekali di Majlis Tadarus al-Quran ataupun khatam. Itupun kalau ada masjid yang sudi anjurkan.

      Saya pelik juga, agaknya lepas ni separuh rakyat Malaysia jadi penyanyi. Siapa mahu mendengar dan membeli album pula? Minta maafla, saya tak sudi.

        (Quote)

  • insyirah says:

    Salam’alayk.

    subhanallah, bicara soal al-Quran. Iya, barangkali faktor suasana yang hidup dengan al-Quran telah menjinakkan anak-anak arab cepat hafaz Quran, bahkan genetik mereka juga mudah menghafaz. Wallahua’lam.

    Bicara soal al-Quran, seseorang pernah menasihatkan ana untuk istiqamah membaca al-Quran… nasihatnya juga dari sudut tawasuf setiap patah perkataan dalam al-Quran adalah as-syifa’ yang bisa menggetarkan bahagian-bahagian tertentu pada tubuh yang membacanya, jadi kalau khatam 1 Quran, insya Allah getaran-getaran tertentu itu sudah menggetarkan pada setiap sudut tubuh. Wallahua’lam.

    Sebab itu, kalau sakit mahupun berpenyakit… Selalulah istiqamah dengan al-Quran supaya menjadi lebih tenang kerana orang sakit ni cepat marah dan beremosi.

    Wallahua’lam.
    .-= insyirah´s last blog ..Malaysia Kaya Rasuah =-.

      (Quote)

    • Wa’alaikummussalam,

      Genetik, makanan dan persekitaran. Walaupun ada anak-anak kecil yang masih telo membaca, tapi mereka tetap menghafaznya.

      Amalkan al-Fatihah selalu, sudah mampu menyembuhkan pelbagai penyakit Insha’Allah. Tetapi perlu istiqamahlah.

      Saya faham, jangankan sakit berat-berat. Sakit gigi juga sudah meraung bagai nak runtuh bumbung rumah. :)

        (Quote)

  • mujahidah says:

    Assalamua’laikum.. subhanallah.. moga ALLAH permudahkan segala urusan. nak bentuk generasi soleh solehah, hafiz hafizah.. aminn
    .-= mujahidah´s last blog ..hati-hati dengan lidah =-.

      (Quote)

  • Abu Aiman says:

    salaam,
    Quran itu mukjizat. Sedih bila ada anak2 melayu kita yang fatihah pun dok sangkut lagi. tak tau la kedepan besok mcmn…
    .-= Abu Aiman´s last blog ..Que Sera Sera =-.

      (Quote)

  • nahmy says:

    assalamualaikum. mmg kita kena membudayakan kehidupan kita dgn Al-Quran. inilah…sebenar-benar mukjizat. membaca, memahami, mentadabbur & mengamalkannya. cuma apa yg terjadi kat sini…kita berhenti kat mentadabbur….kita tidak ‘mengamalkannya’. kita lebih sukakan…benda-benda buatan manusia dari anugerah/kurniaan Allah. jgn esok di alam satu lagi Al-Quran itu melaknat kita kembali….wallahualam

      (Quote)

  • nur_syahadah says:

    salam…indah sekali bila dapat membudayakan al-quran..di sekolah menengah sekarang masih ramai yang tidak terdedah pada budaya mulia ini..sampaikan ada sesetengah masih tidak tahu membaca al-fatihah.. masalah besar…

      (Quote)

  • ummu bari says:

    Assalamualaikum…

    Salam ukhwah dialam maya semuga Allah memberkati.
    Beruntunglah orang-2 yang menjadikan Al-Quran sebagai kitab bacaan dan rujukkan utama dalam kehidupan serta menjadikan Al-Quran sebagai benteng kepada godaan dan cubaan di dunia ini.

      (Quote)

  • Huda says:

    Insyallah. Azam baru!
    .-= Huda´s last blog ..Lega =-.

      (Quote)

  • Huda says:

    Erk! Tak. Bukan. (Hebat benar otak nak train tua tua ni menghafal. Hee).

    Azam nak selalu bawa Quran. Insyallah. :D
    .-= Huda´s last blog ..Lega =-.

      (Quote)

  • “Bacalah Al Quran ..Maka sesungguhnya ia akan datang kepada pembacanya sebgai syafaat di hari kiamat nanti”
    .-= Bintu Cumil´s last blog ..~Takde tajuk~ =-.

      (Quote)



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge