Header image

Jelajah Sinai: Menjejaki Uyun Musa a.s Dan Hamam Firaun Di Pesisir Laut Merah

Posted by Farid Rashidi in Diari Penulis | Jejak Kembara

Bas menyusur ke laluan berpasir. Sedikit berbukit-bukit. Kata penunjuk jalan, kami sedang dalam perjalanan menuju ke destinasi bernama Uyun Musa a.s. Jarak antara bekas Kubu Israel dengan Uyun Musa a.s tidaklah begitu jauh. Hanya memakan masa beberapa detik.

Ketika hampir mendekati destinasi, bas melewati beberapa buah kawasan yang pada gambaran kasarnya kelihatan seperti perkampungan arab badawi. Fakta itu dikuatkan lagi dengan kewujudan beberapa kelompok pengembala kambing dan khemah-khemah tempat berteduh daripada sinaran matahari yang menyengat.

UYUN MUSA A.S YANG SUAM

Jam menunjukkan pukul 9 pagi. Bas berhenti tepat pada kedudukan letak duduk Uyun Musa a.s. Beberapa rakan bergegas turun untuk memerhati khazanah silam dan merakamkan detik itu. Saya menuruti mereka. Turun dengan membawa sebuah kamera digital. Sentiasa setia ditangan.

Kaki melijit menuju ke sebuah kolam yang bernama Uyun Musa a.s. Kolam itu airnya sedikit kekuningan. Terdapat besi seakan pam air ditengahnya. Keluasan kolam tidaklah terlalu besar. Cukup untuk menampung air yang mengalir perlahan. Takungan air dinaungi oleh pepohon kering tetapi hijau daunnya tetap kelihatan. Hadaf saya sebelum menyentuh air itu adalah bergambar.

Beberapa keping gambar berjaya dirakamkan bersama Akmal dan Ibrahim. Berlatar belakangkan sebuah pondok usang yang bertiangkan batang kering tamar dan berdinding pelepah tamar tua. Cukup memberikan gambaran suasana kampung minoriti badawi. Juga dilatari Uyun Musa a.s dan sehampar laut merah yang tak pernah sunyi. Sesak dengan laluan bahtera-bahtera asing.

“Nak ambil wudhuklah.” Kata beberapa orang teman.

Usai bergambar, saya merapati tubir takungan. Merenung jauh ke dasar kolam yang sedikit berlumut. Entah berapa ribu wisata sudah melakukan perkara yang sama seperti saya. Tetapi berapa ramai yang menghargai dan menceduk ibrahnya?

“Mahu membasuh muka dan mengalirkan air itu ke kedua belah mata. Mana tahu ianya dapat menyembuhkan penyakit rabun jauh yang dialami.” Cadang diri.

Air yang mengalir perlahan itu dicebuk berkali-kali menggunakan tangan. Lalu saya ratakan pada seluruh wajah dan sapu pada kedua kelopak mata. Segar dan menyegarkan tetapi suam. Hilang letih pada wajah selepas mengharungi perjalanan jauh.

“Air itu sesuai digunakan untuk merawat penyakit kulit.” Terang orang lama. Ibrahim sempat mengisi air ke dalam botol untuk dibawa bekal bersama.

Itulah Uyun Musa a.s. Menurut buku hijau yang dibekalkan pihak penganjur, fakta sejarah menyatakan bahawa pada asalnya wujud 12 takungan mata air kesemuanya. Ia mengisyaratkan kepada 12 kelompok puak yang menjadi pengikut Nabi Musa a.s. Namun kini para pengkaji hanya menemui 8 buah takungan mata air sahaja. Bilangan berbaki mungkin sudah dimamah bumi.

IBRAH LAUT MERAH

Setentang letaknya mata air Musa a.s, kelihatan mata air lebih besar berwarna biru tua. Ia dinamakan Laut Merah, dan terhubung dengan belahan Terusan Suez. Pandangan dilemparkan jauh bermeter-meter pada kapal-kapal yang asyik berlayar. Tanpa mengerti penat dan lelah. Adakah kapal-kapal itu tahu berzikir seperti hamamah yang berterbangan di udara? Atau ikan-ikan dilautan dalam?

Saya tiada jawapan untuk itu.

32. .. Dan Dia Yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut Dengan perintahNya, juga Yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya).

Lihat pula lembaran ayat Allah SWT yang mengisahkan tentang perjalanan Nabi Musa a.s bersama kaum Bani Israel cuba diingati. Subhanallah! Mukjizat kebenaran al-Quran ada di depan mata. Kagum.

23. Lalu (diperintahkan kepadanya): “Bawalah hamba-hambaKu (pengikut-pengikutmu) keluar pada waktu malam, kerana Sesungguhnya kamu akan dikejar (oleh Firaun dan orang-orangnya).
24. “Dan tinggalkanlah laut itu Dalam keadaan tenang – terbelah, kerana Sesungguhnya mereka (yang mengejarmu itu) ialah tentera Yang akan ditenggelamkan (sehingga binasa)”.

Terbenamnya Laut Merah bersama sebuah keangkuhan dan kekuasaan milik Firaun dan rakyat jelatanya. Hilang ditelan tsunami ombak mengganas tanpa rasa belas kasihan lagi. Malah langit dan bumi langsung tidak menangisi pemergiaan mereka. Agar manusia-manusia selepasnya sering beringat bahawa kekuasaan bukan milik mereka selama-lamanya.

50. Dan (kenangkanlah) ketika Kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri dari angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.

Rasa keinsafan itu dilipat kemas, lalu dibungkuskan pada tangkai jiwa agar menjadi peringatan diri selama-lamanya. Maha Suci Allah SWT, Tuhan pemilik semesta. Tuhan yang mampu menterbalikkan kerajaan manusia, yang mampu menghilangkan kuasa – sekelip mata dan yang mampu mencabut nyawa tanpa nota.

Bas kembali bergerak selepas setengah jam bertenggek di pinggir mata air Musa a.s. Saya terus melelapkan mata bersama cerita insaf dahulukala.

HAMAM FIRAUN

Sebelum tiba ke destinasi ketiga. Pergerakan kami melewati beberapa pos keselamatan polis Mesir. Namun, ia tidaklah membantutkan permusafiran kami walau wajah mereka bengis dan menakutkan!

Hangat mentari berjaya mengalahkan sejuk angin yang berdesir tenang. Saya kepanasan. Jaket kulit hitam ditanggalkan. Hanya tinggal baju sejuk nipis terlekat di tubuh. Sebelum memasuki terowong gua panas di tengah batuan gunung, sempat saya merakamkan temu ramah bersama teman, Ridhuan Othman.

“Ia merupakan tempat istirehat Firaun selepas ia mandi, iaitu berupa sebuah gua. Udara di dalam gua ini boleh mengubati orang berpenyakit Rheumatisam. Air yang keluar dari guan ini amat panas sehingga boleh masak telur yang direndam.” Sedikit info yang terpapar di bahagian pengenalan lokasi – buku hijau.

Untuk membenarkan fakta yang tertulis. Saya cuba merasai pengalamannya. Ternyata gua yang kelam itu menerbitkan wap dan hawa panas. Lebih panas daripada udara di luar. Peluh di dahi lebat memercik. Sangat baik untuk merawat dan membuka liang roma yang tersekat.

Di hadapan gua berwap panas ini, terdapat lautan luas tanpa bahtera besar sebagaimana yang dilihat berdekatan Uyun Musa a.s. Pesisir pantai laut ini kelihatan terbit kepulan kecil asap-asap panas. Di sinilah tempat Firaun bermandi-manda ketika musim Saifi memekup angkasa Misr. Bahkan, air yang berombak tenang itu juga agak suam. Mahu dikatakan ada api yang memanaskan, mustahil!

Allah, Allah, Allah. Sekali lagi ketakjuban menyelinap ke rongga-rongga rasa. Tak terkata.

11:57PM, 22 Mac 2010.
Siberbay, Tanta.


You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 You can leave a response, or trackback.

17 Responses



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge