Header image

Haramkah Anak Haram?

Posted by Farid Rashidi in Bicara Semasa | Fiqh Islami | Isu Semasa | Wacana Ilmiah

Boleh tak ustaz beri komen tentang kes ibu yang melahirkan anak tetapi tidak mempunyai pertalian sah dengan ‘bapa’ kepada anak itu, senang kata anak haram. Harap ustaz dapat komen tentang:

1. Apa yang harus ibu itu lakukan?
2. Peranan orang disekitar, keluarga dan kawan..
3. Bagaimana Islam menguruskan masalah ini?

Itu soalannya.

Sebelum menjawab persoalan yang diberikan, mari kita lihat dan perhatikan apa yang berlaku disekeliling masyarakat kita. Lihat jiran-jiran kita, lihat masyarakat kampung ataupun taman perumahan, lihat lebih jauh lagi. Negeri dan negara kita.

Dahulu, orang kampung akan bising riuh sekampung jika terlahir seorang anak luar nikah. Dengan istilah mereka dilabelkan sebagai ‘anak haram’. Tidak cukup dengan cemuhan dan ejekan pada si ibu, sikap kutukan ini menjadi warisan zaman berzaman. Hebatnya penangan orang berzina bukan?

Hidup si ibu itu seperti ‘cicak tersepit di dedaun pintu’. Mahu lari, sudah tersepit. Akhirnya, mati mengering tanpa dipedulikan orang. Dipandang jelek dan hina. Pandangan dari sisi masyarakat Melayu mengenai perlakuan zina suatu ketika dahulu dianggap jijik dan sensitif.

Malangnya, si anak luar nikah hasil perlakuan ibu dan bapa yang tak dikenal pasti identiti mengalami nasib yang lebih teruk. Masyarakat langsung melabelkan anak itu adalah HARAM secara qat’ei. Perlakuannya, dan sikapnya selalu menjadi buah bicara awam. Hatta si anak itu seolah-seolah bakal menjadi cicak yang akan mati tersepit juga.

Kini, dunia berlari begitu pantas ke hadapan. Bukan lagi pantasnya seperti pelari pecut, tetapi menyamai kepantasan keretapi laju tercanggih di negara bunga sakura – matahari terbit di celahan gunung fuji. Cara fikir manusia kian tenggelam dimamah usia tua dunia. Mereka sudah membudayakan kehidupan kapitalisme.

“Eh, apa yang berlaku kat jiran kita tu?” Tanya si suami pada isterinya suatu malam.

“Entahlah bang, agaknya nak kenduri kahwin kot.” Jawab si isteri sambil menekan alat kawalan TV. Siaran astro menjadi lebih menarik dari cerita jiran sebelah. Walhal bukan kenduri kahwin, tetapi anak jiran meninggal dunia akibat tercekik biji nangka.

Tidak tahu. Sudahlah tidak tahu. Segan pula bertanya khabar. Bimbang takut kalau-kalau beras rumah semakin berkurangan.

Aku adalah aku. Engkau adalah engkau. Engkau mahu mati? Silakan mati tanpa melibatkan aku!

DUNIA KINI

Jika anak luar nikah tiba-tiba muncul di kawasan bandar dan kampung kini, masing-masing mendiamkan diri dan membatu. Alasannya mudah, tanpa analogi yang berjela. Mangsa rogol. Lalu lelaki dihadapkan ke mahkamah, atas alasan merogol anaknya sehingga terlanjur melahirkan manusia lengkap anggota badan dan perasaan. Sedangkan pada asalnya adalah ‘suka sama suka‘.

Si anak itu menjadi bahan eksperimen yang paling kejam. Bayangkan bayi putih bersih, matanya bulat berbinar-binar memerhati ibunya, pipinya gebu, tangannya menggapai wajah si ibu untuk menagih simpati. Lalu ibunya membuang anak diperdu pokok pisang, di parit dan longkang, di kaki lima rumah setinggan dan digantung pula pada jeriji besi masjid. Itu eksperimen pertama.

Eksperimen kedua ialah membiarkan anak itu membesar, lalu tiada pembelaan dilakukan padanya. Sehinggalah tersisih pada pandangan masyarakat dek pecah tembelang perlakuan busuk si ibu bersama jantan murahan.

Justeru, HARAMKAH ANAK ITU?

TIDAK. Anak itu sama sekali tidak bersalah. Anak itu tidak haram. Dia tetap seperti insan-insan lain tanpa ada cacat celanya. Yang begitu bersalah adalah orang yang melahirkannya tanpa ‘bin’. Di sini ada beberapa persoalan lain perlu diselesaikan sebelum menjawab persoalan di atas.

1. Betulkah anak luar nikah itu akan mewarisi sikap dan perbuatan ibunya selama tujuh keturunan?

Jawapannya, adalah tidak. Menurut Syeikh Nuruddin al-Banjari, hadis mengatakan hal itu adalah maudu’. Ini berdasarkan kepada kitab tulisan Syeikh Ismail Uthman Zain di dalam kitabnya bertajuk Qurratul Ain yang mengatakan anak luar nikah yang akan mewarisi perlakuan ibunya selama tujuh keturunan itu adalah maudu’. Apalah salahnya hingga anak itu dihukumi sebegitu, sedangkan anak itu lahir bersama sebuah perasaan yang keliru – mengapa harus dia menanggung kejanggalan ibunya bukan?

2. Bagaimana kedudukan anak itu, adakah dia dan keturunan selepasnya boleh menjadi wali?

Boleh. Berkata Syeikh Nuruddin lagi, “Dia akan menjadi wali, tidak ada masalah, dia akan jadi wali kepada anak cucu keturunannya, jadi status dia sama seperti anak normal. Tidak ada perbezaan hukum. Yang ada perbezaan hanya dipandangan masyarakatnya sahaja mereka akan memandang sinis.”

TINDAKAN IBU

Sewajarnya ibu tidak harus berlepas tangan dalam hal ini. Ibu hendaklah berusaha membesarkannya dengan apa cara sekali pun. Adalah tersangat kejam jika menyambung dosa besar dengan pengakhiran sebuah episod pembunuhan. Sudahlah mendedahkan aurat, melakukan hubungan terlarang dan membunuh pula – bukan cara terbaik!

Carilah sesiapa yang mampu menjaganya agar dia kenal Allah Yang Esa dan tahu agamanya. Jangan biarkan dia mewarisi lahanat perbuatan silam si ibu.

Ibnu Zubair berkata: “Aku tidak mengetahui seseorang yang lebih alim dalam ilmu jururawat, fiqih dan juga syair selain daripada Ummul Mukminin Aisyah r.a.

Aturan Islam sudah menetapkan (baca pada pandangan syariat). Apabila lengkap bukti dan penyaksiaan, Allah SWT menetapkan bahawa penzina lelaki dan perempuan belum berkahwin wajib dikenakan hukuman 100 rotan dan dibuang daerah (negeri). Hikmahnya mencakupi ruang lingkup duniawi dan ukhrawi. Dosa zinanya akan diampunkan Allah SWT dan membersihkan titik noda hitam yang zulmat itu. Jika disabitkan hukuman kepada lelaki dan wanita sudah berkahwin – dikenakan rejam sehingga menemui ajal.

Kedudukan umat Islam sekarang yang tidak punya sistem dan negera keseluruhan mengamalkan peraturan syariat Allah SWT menyukarkan manusia menuju ke arah kemurniaan beragama. Lalu, bagaimana nasib si ibu itu dengan dosa-dosanya? Bertaubatlah nasuha, selebihnya Allah SWT sahaja menghakimi kelak. Wallahu a’lam.

PERANAN MASYARAKAT

Masyarakat perlu disedarkan. Jika masyarakat masih enak tidur tanpa sedikit pun rasa sakit dicubit bermakna kepekaan itu belum sampai ke kemuncak. Tanpa masyarakat yang sedar dan faham hakikat agama secara total, amat mustahil kita akan melihat suatu kehebatan bakal berlaku.

Saya menghantar kesedaran kepada kalian yang membaca, lalu tugas itu menjadi amanah untuk kalian sampaikan kepada mereka yang belum sedar. Kerana setiap bahu-bahu kita terpundak segunung amanah. Jika amanah ini tidak diletakkan pada tingkatan sewajarnya, maka jawablah dihadapan Allah SWT kelak.

Biarkan dakwah dan ilmu terus berjalan tanpa henti. Kerana ilmu adalah alat pembanteras kebodohan dan kemunduran. Bantulah agar ianya berjalan tanpa halangan. Kerana Islam tidak akan kembali terlaksana jika kita terus membenci cara hidup dan kemurnian sistem Islam itu.

Kata sebuah syair arab:

Ilmu itu membangun rumah-rumah yang tidak memiliki pondasi # Dan kebodohan itu menghancurkan bangunan yang kukuh dan mulia.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud:

“Allah akan meninggikan beberapa darjat bagi orang-orang yang beriman diantara kamu dan orang-orang yang berilmu.”

Justeru, usahlah membenci anak luar nikah, tetapi bencilah kepada perlakuan yang menyebabkannya wujud di dunia.

PERSPEKTIF AGAMA

Sebenarnya subtopik di atas sudah pun menjawab persoalan menurut pandangan Islam. Namun begitu, suka untuk saya bawakan bagaimana pula pandangan Islam tentang hak anak luar nikah menurut permasalahan dalam faraid harta dan status penjagaannya.

Mazhab yang empat iaitu Syafie’, Maliki, Hanbali dan Hanafi sepakat mengatakan bahawa anak luar nikah hukum warisan dan hubungan dengan ayahnya seperti hal mula’anah (masalah li’an). Yakni tiada hubungan apa-apa dalam perwarisan harta. Manakala bagi pihak sebelah ibu – hubungan anak luar nikah dengan ibunya adalah boleh waris mewarisi.

Allah SWT telah berfirman di dalam surah al-Maidah ayat 32 bermaksud:

“Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seseorang seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia kesemuanya.”

Manakala ayat ini pula mensyariatkan agar manusia mengambil ataupun memelihara anak yang berstatus buangan. Barangsiapa yang menjumpai anak luar nikah yang terbuang tanpa penjagaan, maka hendaklah dia mengambil anak itu lalu menjaga dan mendidiknya sebaik mungkin. Seandainya tiada siapa mengendahkan, sedangkan sudah tahu, maka keseluruhan penduduk kawasan itu dikira berdosa. (Hukumnya fardhu kifayah bagi yang menjumpai).

Diriwayatkan dari Jarir bin Abdullah r.a, Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang tidak mengasihi manusia, dia tidak akan dikasihi oleh Allah.” (Riwayat Tirmizi)

Nafkah bagi anak itu terpundak dibahu pemerintah yakni Baitul Mal. Jika si anak tersebut mempunyai harta, maka hal pengurusannya tetap saja menjadi milik pemerintah dan penjaga diberi keizinan Baitul Mal untuk mengagihkannya dengan adil.

Cukup lengkap, cukup indah aturannya.

Pokok pangkalnya, sebagai mengakhiri lampiran jawapan ini. Mari setkan minda-minda kita bahawa ANAK HARAM adalah TIDAK HARAM.

Rujukan:
Fiqh Manhaji, Bab Anak Buangan.
Fiqh Mazahibul Khamsah, Bab Faraid.
Adab-adab Islam Dalam Kehidupan Seharian Jilid 2, Mohamad Zulkifli Abd Ghani.
Rahsia kesukksesan Wanita Dalam Berumahtangga, H. Teuku Muhammad Iskandar LC.

6:34AM, 22 Mac 2010,
Siberbay, Tanta.

You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 You can leave a response, or trackback.

33 Responses

  • salam….

    aspek faraid ? ustaz tak explain ke?
    .-= Mohd Fadzli Iberahim Shah (tronx013)´s last blog ..Bunga Apa? =-.

      (Quote)

    • Wa’alaikummussalam,

      Ada, diperenggan bawahnya.

      “Mazhab yang empat iaitu Syafie’, Maliki, Hanbali dan Hanafi sepakat mengatakan bahawa anak luar nikah hukum warisan dan hubungan dengan ayahnya seperti hal mula’anah (masalah li’an). Yakni tiada hubungan apa-apa dalam perwarisan harta. Manakala bagi pihak sebelah ibu – hubungan anak luar nikah dengan ibunya adalah boleh waris mewarisi.”

      Ini termasuk hal ehwal faraid. Understand what i say?

        (Quote)

  • Huda says:

    Anak haram memang jelas tidak haram. Tapi stigma masyarakat itu bukan sesuatu yang mudah untuk dikikis. Tidak perlu berpaling jauh, tanya diri apa perasaan sendiri bila perlu mendukung apatah lagi bermain bersama.

    Tapi, betul. Mereka bukan manusia selayaknya dihukum atas dosa yang bukan mereka pinta. Mereka yang memikul beban hina hingga hujung nyawa.

    Dunia sudah ke penghujungnya kerana mereka ini semakin ramai, semakin memenuhi. Dan sakit bertambah lagi, atas perlakuan kejam. Dibunuh oleh manusia yang sepatutnya menjadi manusia mulia, IBU.
    .-= Huda´s last blog ..Babai =-.

      (Quote)

    • Aiwah, jamil keda.

      Respon kamu seolah-seolah mengerti sesuatu hakikat. Seperti menjiwai watak-watak mereka. Adakah kamu memang berada disamping mereka? (menjaga)

      Ya, saya sangat ngeri melihat angka itu. Sudah berapa juta agaknya ya?

        (Quote)

      • Huda says:

        Ya. Bukan dalam konteks menjaga, memelihara atau membesarkan. Tapi bersama dan melihat antara mereka mengenal dunia.

        Saya sukakan bayi dan saya sangat sakit hati jika mereka disakiti.

        Mungkin bilion. Kalau dikira untuk satu dunia.
        .-= Huda´s last blog ..Babai =-.

          (Quote)

        • Patutlah tahu tentang bayi. Rupanya bidang jaga bayi ini bukan bidang medic ya? Baru tahu.

          Sekarang musim orang memijak kepala budak. Oh, apakah dunia sudah dihuni oleh binatang berkepala manusia?!

          Jangankan satu dunia, 1Malaysia sudah cukup. Satu dunia itu memang nyata – Mat Saleh itu lebih dahsyat.

            (Quote)

          • Huda says:

            Kalaulah bidang jaga bayi ni untuk medic sahaja ustaz, habislah ibu ibu dalam dunia ni. Bukan semua medical side. :)

            Itulah anugerah Allah untuk manusia bernama wanita; kasih sayang pada tiny creatures ni melebihi kau lelaki.

            Entahlah. Kalau orang send video suruh tonton kisah kisah kejam macam tu, saya tak boleh tengok dan saya tak nak tonton pun. 2, 3 hari saya tak selera makan. Teringat! Manusia dah dicabut sifat kasih sayang dalam hati.

            Malaysia, dah berubah…
            .-= Huda´s last blog ..Selamat =-.

              (Quote)

            • Jangan risau, nisbah kaum ibu dalam dunia ini lebih ramai dari kaum bapa. Kaum bapa semakin pupus.

              Ah, siapa saja yang sengaja merakamkan perlakuan durjana itu? Apa dia juga berhati syaitan?

              Manusia juga menyeleweng kasih sayang.

                (Quote)

              • Huda says:

                Kalau nisbah itu sudah tidak sama timbangannya, bukankah itu salah satu tanda akhir kiamat? Wanita lebih ramai jumlahnya.

                Yang merakam jatuh bersubahat. Kalau yang menyepak berhati syaitan, yang merakam apa kurangnya!
                .-= Huda´s last blog ..Selamat =-.

                  (Quote)

            • Sudah banyak tanda-tanda akhir zaman. Terlalu banyak.

              Lihat hadis ini:

              Daripada Ibnu Omar r.a berkata: Berhadap Rasulullah SAW kepada kami (pada suatu hari) kemudian beliau bersabda: “Wahai kaum muhajirin, lima perkara kalau kamu telah dibalakan dengannya (kalau kamu telah mengerjakannya), maka tiada kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah SWT semoga kamu tidak menemui masa itu. Perkara-perkara itu ialah:

              1. Tidak terzahir (nampak) perzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani berterus terang melakukannya, kecuali mereka akan ditimpa penyakit Tha’un yang cepat merebak di kalangan mereka, dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah meninmpa umat-umat yang telah lalu. (Saya ambil satu contoh saja, ada lima semuanya)

              Sila baca dan fahami.

                (Quote)

  • insyirah says:

    Assalamu’alaikum ustaz.

    Jazakallah khairan atas entri ini! Ana juga suatu ketika dahulu pernah meminta izin dari ibubapa untuk ambil anak angkat (anak yang mahu dibuang oleh ibunya spt artikel ini) kemudian, lama-kelamaan ibunya mula terasa sayang. Alhamdulillah sekarang ni bayi tersebut dijaga sepenuhnya oleh ibu dan ‘ayahnya’. Mereka bernikah setelah habis tempoh berpantang. Peranan masyarakat juga penting dalam urusan ni. Jangan terus MENGHUKUM sebaliknya proses mendidik itu lebih awla. Contoh semasa zaman Rasulullah pun sudah ada bagaimana sahabiah begitu bersungguh tetapi Rasulullah mendidiknya…

    Kita pula, terus MENGHUKUM gedebuk gitu… Jadi, macammana nak memberi pertolongan sedangkan si polan sudahpun menerima hukuman psikologi (malu, tertekan, dsb) dari perlakuan tersebut. Bawa kembali pd Islam, taubat nasuha. Sebab di Malaysia, hukuman rejam tiada… Maka, pendidikan adalah yg terbaik pd pandangan ana. Anak-anak tidak salah, malah… bahkan mereka mungkin JAUH lebih baik dr anak-anak yang halal.

    Wallahua’lam.
    .-= insyirah´s last blog ..Senandung Aisyah r.a =-.

      (Quote)

    • Wa’alaikummusalam,

      Mahu mengambil anak angkat? Maksud ibu bapamu atau kamu sendiri?

      Hukum berkaitan anak angkat ada juga dibincangkan dalam masalah fiqh. Ada syarat-syaratnya.

      Ya, kasihan sungguh umat Islam hari ini. Seperti anak yang kehilangan ibu bapa, terkapai-kapai mencari perlindungan.

      Sebab itulah berzina dikatakan merosak keturunan. Selalu menjadi mangsa cemuhan.

        (Quote)

      • insyirah says:

        Maksudnya, ibubapa yang mengambil anak angkat. Jadi, adik angkat ana lah cumanya minta ummi menjadi ibu susuan supaya masalah AURAT tidak timbul apabila bayi sudah besar. Secara automatik jadi anak susuan kepada ummi dan abi juga adik susuan kepada kami. Wallahua’lam.
        .-= insyirah´s last blog ..Senandung Aisyah r.a =-.

          (Quote)

  • Abd Razak says:

    Salam ya sahabat…

    Kemelut ini berpunca dari kejahilan yang terbit dari input yang tidak sempurna dalam didikan agama.

    Hukuman sepatutnya adalah hanya ke atas penzina, tidak pada anak-anak yang mereka lahirkan. Anak-anak yang tidak berdosa itu sewajarnyalah tidak dizalimi dengan cercaan seperti ini…anak haram
    .-= Abd Razak´s last blog ..Ibadah dari harta… =-.

      (Quote)

  • Assalamualaikum Ustaz,
    sekadar bertanya ada yang mengatakan berkahwin dengan anak luar nikah merosakkan keturunan,apa pandangan ustaz?

    Secara peribadi,saya rasa tak salah berkahwin dengan anak luar nikah,cuma minta pandangan ustaz dari sudut agama :)
    .-= muhammad fakhruddin´s last blog ..Terasing:Manusia Yang Bukan Malaikat =-.

      (Quote)

  • maiyah says:

    yelah.. mrk x slh.. apalah yg mrk tau.. kita manusia x sempurna.. jgnlah mnghina hnya krn merasa diri dah sempurna

    makasih info
    .-= maiyah´s last blog ..Gambar yg ntah pape tp itulah saat2 aku mnghiburkan hati di atas krusi ini.. =-.

      (Quote)

  • nur_syahadah says:

    SALAM…

    betul…anak haram tidah haram kerana keharaman yang dilemparkan padanya adalah kerana perbuatan ‘org tuanya’..kasihani dia..lahir ke dunia tidak dipinta..
    (jiwa ini mudah tersentuh..)

    saya pun begitu bimbang kerana masalah anak luar nikah semakin berleluasa..selari dengan lahirnya anak halal..begitu membimbangkan!!..
    dari satu sudut sebenarnya dia bermula dr awal..kalau tgok bergaulan anak2 muda sekarang, nauzubillah..bertempuk tampar lelaki pmpuan..semua tu sebagai permulaan untuk sebuah penzinaan..percayala!..

    semoga Allah melindungi kita semua..amin..

      (Quote)

    • Wslm,

      Hati mana tak tersentuh. Hati yang keras saja tak tahu menilai.

      Tepat! Bertepuk tampar, bermesraan di taman-taman, tak kira pelajar IPT kah atau yang sudah terjun dalam pekerjaan. Perkara itu seakan biasa. Pergaulan bebas yang terlalu leluasan.

      Aduh..

      Nah lihat video ini pula. Untuk semua.

        (Quote)

  • MaizaC'Joe says:

    Assalamualaikum

    mohon bertanya ada sedikit kemusykilan… Persoalannya berhubung dengan orang yg bernikah ketika mengandung kandungan luar nikah.. adakah sah nikahnya.. Dan adakah benar.. jika janin itu belum membentuk manusia.. ianya boleh di binkan kepada bapa luar nikahnya.. yakni org yg berzina dgn ibunya sebelum nikah.. Kerana pada masa ini kita melihat statistik di Malaysia keadaan seperti ini banyak sekali berlaku begitu membimbangkan….

    sekarang kedengaran di media sana sini buang anak tanpa belas ehsan. Seperti ada musim pula… Sanggup mengandungkan 9 bulan, selepas itu sanggup pula membuang.. Ya Allah… manusia jenis apa itu boleh di labelkan.. Adakah kerna terdesak itu sebabnya di buang.. tak masuk dek akal.. kesian melihat sekujur tubuh kecil.. sepasang anak mata yg comel.. meninggal dunia hanya sempat melihat dunia beberapa jam sahaja. Allah mengambilnya kembali itu adalah lebih terbaik Wallahu’alam… berita semalam masih hidup lagi… kesian.. di lahirkan kedunia belum mengenal sesiapa… tika sepatutnya di susukan.. tapi di perlakukan sebegitu oleh IBU (angkara bapa??… entah ke mana hilangnya…)

      (Quote)

  • Md Nasir says:

    salam Ustaz..
    Janganlah dihukum anak yang tidak berdosa itu.Lahirnya ke dunia ini sebagai khalifah di bumi Allah.
    Islam agama yg suci dan adil.Setiap anak yang dilahirkan juga suci daripada dosa dan tidak mewarisi dosa ‘ibu-bapanya’.Tidak seperti Kristian yang mempercayai setiap bayi yang dilahirkan mewarisi dosa ibu-bapanya dan perlu disucikan.
    Kita sbg ahli masyarakat juga perlu mengubah persepsi ini,jgnlah dihukum anak sebegini.
    Terima kasih ustaz di atas ulasan yg diberi..
    .-= Md Nasir´s last blog ..Kisah Bumi dan Langit =-.

      (Quote)

  • Salam Farid. Betul la apa yang farid tulis, tapi masyarakat kita telah lama menelan dan mempercayai yang sebaliknya. Kesian kat anak tu. Dah la dipanggil haram… lahirnya ke dunia bukan dia yang pinta..

    Yang paling terkesan kat hati sekarang kisah buang baby.. ya Allah merata-rata kat malaysia ni. nak aje bagitau kat sapa-sapa yang nak buang tu tak payah la buang, bagi je kat sapa-sapa yang nak anak. Nak bagi kat saya pun takpe…daripada dibuang begitu…

      (Quote)

  • anak halal says:

    masyaAllah syeikh…mmg ada org bertanya pasal masalah2 di atas…Allah melorongkan utk mendapatkan jawapannya di sini…

    ana akan merujuk lagi pada rujukan yg enta sisipkan,syukran.

      (Quote)

  • starsyeea says:

    salam ustaz…sy baru di sini. sangat tersentuh dgn artikel…sy penah dgar di akhir zaman nanti leluasanya maksiat dan zina itu hingga kita terpaksa minta izin utk lalu dicelah2 mereka… astaghfirullah…semoga kita dilindungiNya…

    terima kasih ustaz jejak blog saya…salah silap harap halalkan…
    .-= starsyeea´s last blog ..empangan pecah =-.

      (Quote)

  • rhmhrz says:

    salam ustaz, tindakan si lelaki pula macam mana? dalam artikel ni ada tindakan ibu je? dalam status ustaz pun di facebook pun, ustaz kata ‘perbuatannya (wanita) menghasilkan anak itu sendiri adalah haram.’ lelaki macam mana ye? ada jugak kes2 buang bayi ni kerana si lelaki yang memaksa perempuan untuk membuang bayi tersebut.

      (Quote)

  • ummu_fatimah says:

    Assalamualaikum,ana sgt sedih dgn bencana sosial dan pembuangan bayi skrg ni.Bagi hemat ana tiada jalan penyelesaian selain penerapan agama dlm jiwa remaja skrg.Dengan agama datangnya pelita hidup.Dengan pelita dapatlah kiranya menuntun perjalanan mereka di dalam dunia yg fana ini.Ternyata kalau kena pd batang hidung sendiri barulah kita tahu betapa beratnya permasalahan ini….InsyaAllah ana dalam persediaan menanti ‘org baru’ dalam hidup ana.Ana dgn izin suami tercinta telah bersetuju mengambil ‘org baru’ itu masuk ke dalam rumahtangga kami yg Allah kurniakan.Ana akan menyusukan ‘dia’ dan menjadikan dia anak yg soleh.Serta menjadi adik kepada puteri ana.InsyAllah ana akan didik ‘dia’ dgn penerapan Islam yg kuat dan insyaAllah ana akan jadikan dia al-Hafiz sebagaimana ana dan suami…sama seperti puteri kesayangan yg ana ada sekarang…wallahua’lam….

      (Quote)

  • Pingback: Sekolah Harapan Pelajar Hamil: Seperti Orang Haus Diberi Air

  • ainun says:

    slam ustaz…saya ad sedikit kmusykilan~~ macamane plak hubungan ank luar nikah dgn adik bradik dia yang lain..mksud saya..dgn adik2 yg beribu dan bapa yang sama…adakh mereka dikira muhrim atau tidak??

      (Quote)

  • zahidah says:

    assalamualaikum…ust…nk ty, mcm ne ngan nafkah anak terbuang ni ye…

      (Quote)



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge