Mereka Bijak Tetapi Dipijak
Posted by in Diari Penulis | Fakta Umum | Jejak Kembara | Kasus Politik | TazkirahBerhampiran rumah sewa saya di Siberbay terdapat beberapa buah sekolah. Sekilas pandang melihat, seakan-akan sekolah menengah. Tetapi sebenarnya ia adalah sebuah sekolah rendah biasa.
Saya seringkali akan melalui lorong berbatu berhampiran sekolah berkenaan untuk menuju ke kuliah al-Azhar, Tanta. Bila memandang logo sekolah itu, mengingatkan saya akan Sekolah Kebangsaan Taman Bersatu, Sungai Petani, Sekolah Kebangsaan Darau, Menggatal, Sabah dan Sekolah Kebangsaan Syed Sheh, Baling Kedah. Ketiga-tiga buah sekolah itu pernah melakarkan sejarah hidup tersendiri, dan saya pernah melalui zaman kanak-kanak bersama guru-guru di sana.
Simbol api obor mewarnai lakaran logo. Hanya mereka yang mereka cipta tahu makna logo itu.
Sekolah rendah yang tersergam di tengah-tengah perkampungan Siberbay itu tarafnya biasa-biasa saja. Ada pintu besi setinggi penjara di Malaysia, ada bangunan bertempekan debu, ada bangunan kelas-kelas dan sudah tentu ada pelajar-pelajarnya.
“Meliziii!! Bongga, bongga!” Jerit budak-budak di jeriji tingkap besi memanggil kami. Istilah yang menyakitkan hati itu seolah-olah sudah menjadi nasi basi buat telinga mendengarnya. Entah apa yang dimaksudkan dengan panggilan ‘Bongga-bongga’ itu.
Berdesing juga telinga mendengar perkataan itu, tetapi akan beransur tawar apabila kalimat sabar menjengah kekotak minda. Jikalau mahu diikutkan amarah hati, mahu saja mengutip batu-batu kerikil bersalut debu itu untuk dilemparkan kepada mereka. Tetapi itu bukan caranya yang terbaik, berkelakuan begitu seolah-olah minda kita juga seperti budak-budak nakal yang mengejek.
Ada juga rakan-rakan yang hilang sabar, lalu kepala budak-budak arab nakal itu menjadi mangsa ketukan ‘nusantara’. Tak serik-serik.
“Apa maksud bonga-bonga?” Tanya saya kepada seorang lelaki arab.
“Itu perkataan budak-budak tak tahu apa.” Jawab mereka.
Fikir punya fikir, kita tak punya beza dengan mereka sebenarnya. Pernahkah kita mendengar perkataan ‘Benggali karpet’? ‘Mat Bangla’? Kita juga pernah mengejek dengan istilah itu kepada mereka. Nasib tersebut mengenai kepala-kepala kami pula. Baru tahu sakitnya hati bila dikeji dan diejek.
ANTARA MENTAL DAN FIZIKAL
Dari zahir pandangan tanpa bersoal, benak pasti menebak sangka mereka adalah seorang remaja yang menuntut di peringkat sekolah menengah. Bentuk fizikal yang tinggi dan bertubuh besar tidak kira lelaki mahupun perempuan menyukarkan untuk meneka umur.
Hanya pakaian uniform sekolah berwarna coklat dan berwarna kelabu bagi penuntut sekolah rendah membezakannya. Selain itu, perangai dan kematangan juga antara faktor yang mampu dikenal pasti kedudukan umur mereka. Kebiasaannya kanak-kanak dan remaja liar yang tak bersekolahlah yang seringkali mengejek dan mengutuk mahasiswa melayu.
Namun begitu, disebalik kenakalan itu terselit suatu kehebatan pada anak-anak mereka.
“Sumayyah dah hafaz berbelas juzu’, masuk pertandingan hafaz quran menang.” Kata seorang teman memberitahu. Si kecil anak tuan rumah Imarah saya itu bolehlah terkategorikan sebagai salah seorang kanak-kanak yang masih bermain dangau, atau pondok-pondok sebagaimana anak kecil di Malaysia.
“Ismak eh? (Siapa namamu)” Tanya saya kepada seorang anak kecil bertubuh sederhana dan comel.
“Enta ta’mil eh? (Kamu buat apa – di Mesir)” Dibalasnya kembali dengan soalan yang tak tersangka untuk difikirkan. Biasanya pertanyaan begitu disoal oleh remaja atau masyarakat arab dewasa.
Umur 1-3 tahun sudah bijak berkata-kata dan mempunyai lagak bicara persis orang dewasa. Kagum.
Menginjak ke alam Universiti pula. Fizikal pelajar-pelajarnya sudah tidak ada beza lagi antara Pensyarah dan Pelajar. Kelihatan sama, yang membezakannya antaranya adalah tahap keilmuan mereka.
Berhampiran dengan Mahattah Siberbay, terdapat sebuah Universiti Awam. Di sana diajar subjek selain pengajian Islam secara khusus misalnya kesukanan dan perniagaan. Pernah sekali saya masuk ke dalam kampus Universiti itu, di sana terdapat infrastruktur lebih lengkap berbanding Universiti al-Azhar. Terdapat Stadium, kolam renang, bangunan asrama Mahasiswa dan Mahasiswi, padang, rumah-rumah sewa, kompleks pengajian dan taman yang bersih tersusun.
Tetapi kelengkapan infrastruktur itu pada hemat saya hanyalah bertaraf kolej di Malaysia. Sukar menjumpai Universiti yang betul-betul menyamai piawaian yang kita fikirkan sebagaimana negara-negara membangun, walhal peradaban tamadun mereka melangkaui ribuan dan jutaan tahun lamanya.
MASIH DITAKUK LAMA
Kelibat teksi hitam putih (bagi ibu kota Kaherah dan Muhafazah Tanta warna teksi ialah hitam putih) berusia puluhan tahun masih lincah menyelit di sekitar bandar Tanta. Lori-lori era P.Ramlee membawa muatan lebihan berat masih merangkak perlahan di jalan raya utama.
Motorsikal lampu bulat ala-ala filem hindustan lama galak meluncur ke sana sini. Tidak sunyi, kerana motorsikal mereka dilengkapi pembesar suara yang bergema mendendangkan muzik padang pasir dan berentak statik walaupun si penunggangnya lagak gaya seperti bintang filem hollywood. Tak kalah bergaya. Geli hati melihatnya.
Kalau mahu dibandingkan motorsikal mereka, mungkin lebih sesuai saya letakkan taraf motorsikal malaysia versi RXS keluaran 70an-80an dahulu menyamai motorsikal Mesir jenama Halawah, Dasun buatan cina itu.
Binaan bangunan tinggalan British dan Perancis masih kekal utuh. Bas berjalur biru tua dan muda membawa muatan padat seperti ‘tin sardin’ juga tetapi berfungsi sebagai pengangkutan utama. Adakalanya bas itu kelihatan senget sebelah, bukan kerana tayarnya besar sebelah, tetapi disebabkan ramainya penumpang bergayut di dua pintu kanan. Saya tidak terlepas dari merasainya. Sambil bergayut, bibir mengukir senyum lucu.
Perit, tetapi manis untuk dikenangkan hingga ke anak cucu!
Kenderaan-kenderaan yang saya tuliskan di atas, masih terkategori moden pada firasat mereka. Bahkan terdapat lagi kenderaan yang lebih kuno dan digunakan berabad lamanya. Kereta keldai dan kereta kuda yang ditarik empat tayar pacuan empat roda. Kasihan melihat tunggangan keldai dan kuda terjelir lidah letih menarik bebanan menggunung tinggi.
Roda besi bersalut getah itu saja mencecah berkilogram. Tetapi itulah mereka, masih senang dengan tradisi lama.
Menyelinap masuk ke ruangan kamar pejabat pentadbiran kerajaan mahupun swasta Mesir. Kelihatannya seperti pejabat yang kosong tanpa sebarang perabot mewah ataupun aksesori lengkap. Hanya terdapat almari besi lama yang mempunyai timbunan fail besar, kelengkapan menulis, meja, tempat menjerang air teh dan penyapu sampah.
Segala maklumat dilakukan secara manual. Semuanya dihimpunkan di dalam timbunan fail besar persis transkrip sejarah dan kitab turath lama. Tiada komputer untuk menyimpan data maklumat. Tetapi menggunakan kekuatan ingatan dan buku-buku itu. Sedangkan kantor pejabat itu urusannya adalah melibatkan visa dan passpord!
Pejabat pelajar di Universiti al-Azhar juga hakikatnya begitu.
BIJAK TETAPI DIPENJARA
Pemikiran kanak-kanak, murid-murid sekolah rendah dan menengah mereka terpenjara disebalik benteng-benteng batu dan tingkap berjeriji besi. Terperangkap!
Mahasiswa dan mahasiswi mereka terikat kepada ikrar dan dasar memekup dengan pemikiran minda yang terkatup. Melemaskan!
Para ilmuan dan doktor-doktor mereka dibelenggu dasar darurat semenjak tahun 1981 dan tak pernah tamat sehingga kini. Ditekan!
Walhal mahasiswa dan mahasiswi mereka bukanlah tidak cerdik, malah dikurniakan akal dan kepantasan menerima maklumat lebih cepat berbanding kami mahasiswa nusantara. Bijak belajar. Tetapi sayang seribu kali sayang, dasar tertutup yang diwarisi penjajah menyebabkan mereka masih bertanya soalan yang tidak munasabah kepada kami.
“Kamu ambil duit macammana dari Malaysia?” Tanya seorang penuntut Universiti al-Azhar.
“Di Malaysia ada buah-buahan tak?” Soal rakannya pula.
“Kamu ini orang Cinakah?” Rakan-rakannya yang lain mencelah.
“Mereka itu orang cina.” Seorang ayah memberitahu anaknya yang kecil apabila terpandang kami melintasi letak duduknya mereka. Saya mengerut pelik dan penuh kehairanan. Tertanya-tanya, apakah mereka ini tidak pernah belajar georgrafi dan peta dunia sehinggakan masyarakat Malaysia dan Cina tidak lagi mampu dibezakan? Rupa-rupanya 48% di kalangan mereka masih buta huruf.
Penangan ‘kawah neraka’ sungguh hebat. Itulah istilah yang pernah digunakan oleh kami pelajar-pelajar Malaysia terhadap piring satelit TV besar di atas sutuh-sutuh bangunan seluruh Mesir. Tusukan propaganda, hiburan berlebihan, maklumat yang sekelumit dan ditapis menyebabkan minda masyarakatnya dihenyak ke bumi.
Sementalahan saluran siaran tv juga diperolehi daripada negera jiran. Israel!
Persatuan Radio dan Televisyen Mesir (Ittihad al-Idza’ah wa al-Teliviziyun) dan state information service turut memainkan peranan penting dalam penyebaran maklumat di Mesir. Manakala radio nasional menjalankan operasinya pada Mei 1934 oleh syarikat asing (Markoni) dan menjadi radio nasional pada tahun 1947.
Begitu juga stesen televisyen nasionalnya yang dibangunkan pada tahun 1952 serta memulakan operasi pada tahun 1960 dengan bantuan dana Amerika Syarikat!
Di Mesir terdapat siaran televisyen satelit yang menyiarkan saluran Internasional ESC (Egyptian Satellite Channel) – menggunakan satelit Eropa Eurostel dan saluran ESC II yang dinamakan Qanat al-Nile al-Dauliyah atau Nile TV ditayangkan dalam bahasa Perancis, Inggeris dan Ibrani ke seluruh wilayah Mesir.
Tidak kurang juga hebatnya para ulama’, ilmuan dan doktor-doktor yang mendiami bumi ardul kinanah ini. Doktor-doktor perubatan mereka bukan calang-calang ilmunya. Bagi yang lebih cerdik, mereka memilih negara luar sebagai tempat menadah rezeki. Atas dasar itu, mereka pasti akan terbuka mata hati dan mata sebenar melihat dunia luar yang jauh melangkah meninggalkan mereka.
Sedangkan negara sendiri masih menggunapakai undang-undang darurat dan mengamalkan karenah birokrasi memenatkan. Menurut sumber laporan Amnesti (Pengampunan) Internasional 2007, hampir 20 ribu tahanan tanpa bicara dan pertuduhan yang jelas masih terpenjara. Kebanyakkannya ialah terdiri dari kalangan gerakan parti politik Ikhwanul Muslimin dan orang-orang yang mengingkari pemerintahan!
Akhirnya, Mesir tetap menjadi Mesir era 70an-90an. Masyarakatnya masih terpenjara. Terbelenggu. Entah bila minda mereka akan terbebas mengikut acuan sebenar. Mengeluh panjang diakhir bicara.
Pokok pangkalnya, kita (seluruh umat Islam) masih terjajah!
Rujukan:
Panduan ke Mesir dan al-Azhar, diterbitkan oleh Keluarga Mahasiswa Aceh-Mesir (KIMA).
2:39AM, 5 Mac 2010,
Siberbay, Tanta.
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 You can leave a response, or trackback.




Assalamu’alaikum
Bumi Kinanah, penuh barakah… Wadi ilm, juga tempat paling memenatkan jiwa dan jasad andai terus terperuk tidak berfikir luar dari kotak. Berfikir, merenung dan muhasabah… (Sedang berfikir lebih keras).
insyirah(Quote)
Wa’alaikummussalamah ya ukhti karemah,
Tab, ardil kinanah yang penuh dengan debu-debu jejak para anbiya’. Khazanah berharga.
Dan, bukan kerana saya ke sini atas sebab untuk mengambil sesuatu yang buruk. Tetapi menginginkan sesuatu yang berharga di sebalik semua itu.
Selamat berfikir!
Farid Rashidi(Quote)
Salam ya ustaz..
Pokok pangkalnya, kita (seluruh umat Islam) masih terjajah!…iyer betul, lihat sahaja keadaan kenderaan kita tempat supirnya di sebelah kanan. Kadangkali saya berfikir bila melangkah masuk ke dalam kereta tidak boleh tidak kaki kiri dulu kena melangkah masuk, padahal Nabi berpesan utamakan kanan dulu.
Dan pastinya shift gear kereta di sebelah kiri juga.
.-= Abd Razak´s last blog ..Menahan marah… =-.
Abd Razak(Quote)
Wa’alaikummussalam Ya Sahabat,
Jika diperhatikan betul-betul, sebenarnya tamadun barat sengaja mencipta sesuatu yang berlainan dengan syariat dan sunnah Islam. Lihat saja pada tandas, sunnah Nabi tidak membuang air besar menggunakan tandas jenis duduk. Ia menyukarkan untuk membuang air besar.
Itu salah satu contoh dari ribuan contoh. Begitu juga seperti yang saudara sebutkan di atas.
Mari berfikir!
Farid Rashidi(Quote)
salam ustaz~
menarik sekali entri kali ini. ketika membaca, seolah-olah diri sendiri berada di sana. terbayang pula suasana di India yang berpaut pada bas.
saya berfikiran begini,
ramai juga orang di Malaysia yang mengamalkan kehidupan susah di kawasan pedalaman dengan alasan mereka itu memenuhi syariat Islam dengan mengamalkan kehidupan bersederhana.
mereka berdakwah dari satu tempat ke satu tempat itu adalah baik. tetapi, saya masih ingat tabiat mereka yang berambut panjang hingga ke paras dada [lelaki], tidur di kawasan masjid dan menyidai pakaian di atas pagar masjid.
usaha mereka itu tidak salah. tetapi cara mereka itu yang tak kena. samalah dengan kes teater Adam dan Hawa yang melakonkan watak Rasul dan Saidatina Khadijah.
bila pintu kebebasan dibuka, rakyat salah guna sehingga meningkatnya pelbagai gejala [maksiat, rogol, video lucah dll].
bila pintu kebebasan disekat, rakyat seolah-olah diberi makan tetapi tak diberi vitamin.
kompleks sungguh jadi pemimpin [hehehe]
Iliana(Quote)
Wa’alaikummussalam,
Adakah entri sebelum-sebelum ini kurang menarik berbanding yang ini?
Sebab itu kita jangan salah faham dengan sesuatu. Islam tidaklah terlalu membebankan umatnya sehingga sanggup tinggalkan anak isteri dari memberi nafkah semata-mata mahu tinggal di masjid.
Islam itu syumul. Kita perlu kerja, belajar, solat berjemaah, berpolitik, bernegaraan, berdikari dan lain-lain lagi. Bukan membuang satu dan guna satu. Salah!
Teater Adam dan Hawa? Maafkan saya kerana tak tahu. Boleh terangkan apa yang berlaku?
Jadi pemimpin tidak begitu kompleks jika rakyatnya tidak membebankan. Pokok pangkalnya, masing-masing tahu kedudukan dan tanggungjawab.
Farid Rashidi(Quote)
menarik, tapi yang ini lagi menarik hehe =p
owh~ mengenai teater itu, ada yang mahu menteaterkan kisah Adam dan Hawa [tajuknya] mengenai Rasul. saya tak pasti bagaimana jalan ceritanya. tetapi, kebanyakan mufti Malaysia melarang dan minta teater itu tidak diteruskan. bimbang, watak sebenar yang melakonkan watak itu akan membuatkan persepsi masyarakat yang berfikiran, begitulah Rasul kita~
Iliana(Quote)
Ya, sememangnya tidak boleh menyerupai atau melakonkan watak Nabi.
Saya agak ketinggalan mengenai isu ini. Terima kasih atas pemberitahuan.
Farid Rashidi(Quote)
Salam ya ustaz,,
islam dijajah dan terus dijajah..freemason menerobos ke akal umat2 islam..hinggakan islam sekadar nama..hmm..cuba nak bergayut jugak la kat pintu bas..(berangan)..kat tonto memg budak2 suka ejek ea??kat sini budak2 baik..sebab sy baik kot..(imzah faqoth)..artikel yg menarik..keep blogging~:)
.-= Bintu Cumil´s last blog ..~Don disteb Me~ =-.
Bintu Cumil(Quote)
Wa’alaikummussalam ya ustazah,
Freemanson takkan menghentikan usaha mereka selagi mana dajjal belum tiba sepenuhnya. Mereka sengaja membuka pintu-pintu untuk menjemput dajjal.
Bergayut sambil hirup angin. Angin itu menampar muka seolah-olah tersenyum bersama saya. Jangan lakukan, ia amat berbahaya!
Ya, sebabnya di sini adalah kawasan perkampungan. Kaherah pula ialah ibu kota negara. Lain cara fikirnya.
Tak begitu?
Farid Rashidi(Quote)
Kalau bijak tapi terpijak adakah tiada ruang untuk menolak?
Adakah ‘penjara’ itu akan membantutkan mereka yang bijak?
Beginikah keadaaannya di keseluruhan Mesir?
Yuana(Quote)
Ruang itu selalu ada, tetapi kita sering terleka untuk menerobosnya. Hingga ruang itu tertutup kembali. Lalu kita menyesali.
Bila sebut penjara, tiada siapa yang mahu memasukinya kecuali atas sebab-sebab tertentu. Dan tentunya penjara boleh menyebabkan pergerakan tergendala.
Ini yang saya lihat terutamanya di Tanta, Kaherah dan beberapa bandar berdekatan. Selebihnya saya tidak tahu. Tetapi ramai yang berpendapat ianya sama.
Kenapa pula wujud 3 soalan itu?
Farid Rashidi(Quote)
Suka bertanya utk merungkai persoalan yang menerjah minda.
Takut, melihat suasana masyarakat di bumi anbiya.
trm ksh utk penjelasan Ust.
.-= Yuana´s last blog ..Pembedahan dan Anak Yatim =-.
Yuana(Quote)
Bagus jika begitu.
Sama-sama.
Farid Rashidi(Quote)
Sememangnya mereka tidak tahu nak hormat bangsa luar. Kalau ke Jeddah, kalau tidak bermata biru dan berambut blonde, jangan harap mereka nak hormat. Kalau mat saleh, cium kaki pun sanggup.
Sebenarnya Islam diturunkan di dalam kaum Arab itu ada maksudnya. Masyarakat Arab ini perangai ya rabbi, teruk. Tapi dengan Islam, mereka menawan dunia, menawan ilmu dan sampailah sekarang mereka jadi teruk balik.
Ego, membazir, bercakap sombong, anggap pekerja bangla itu hamba bila lepas makan buang aje sampah itu katanya buat apa buang dalam tong kita ada hamba untuk mengutipnya, makan tak payah cakap la diorang ni nak makan sepinggan ambik dua pinggang, satu pinggan khas untuk dibuang. kalau makan licin nnti dianggap lapar.
Amat berbeza moral antara masyarakat europe dan masyarakat islam timur tengah. tempat lain saya tak tau. Bagi saya, orang europe lebih ‘islamik’ daripada orang arab itu sendiri.
.-= Khairi´s last blog ..5 Pemenang utama kontes ‘Siapa Baca Novel Naik Atas’… atas apa? =-.
Khairi(Quote)
Sukar untuk membalas komentar ini. Tidak dinafikan lagi, sememangnya inilah yang berlaku dalam masyarakat arab. Realiti.
Kenapa mereka menghormati orang-orang barat? Kerana orang-orang barat berjaya menjajah pemikiran mereka sehingga segalanya berkiblatkan kepada barat. Kita pula bagaimana?
Saya rasa tidak ada bezanya.
Orang eropah sebenarnya telah menceduk segala ilmu, peradaban dan perangai orang Islam dahulu kala. Kini, kita tiada apa lagi..
Farid Rashidi(Quote)
Assalamualaikum…
benteng batu, tingkap bergeriji, bas senget sebelah.. dapat membayangkan keadaan di sana..
Dunia Islam masih menjadi objek penjajahan. Di tindas dan sentiasa di jajah. Dapat di lihat, Penjajahan dan intervensi asing di Irak, Palestina, Afganistan, Pakistan dan Sudan telah menimbulkan penderitaan kaum Muslim yang tak terperi. Tangis dan darah kaum Muslim masih mengucur di Dunia Islam akibat kebengisan penjajahan negara-negara kolonial. Di jajahnya kita dari segi pemikiran, pemesongan budaya macam-macam lagi.
entah la.. ini betul ka dak.. tp.. logik jg.. tengok lah..
http://myjmti.findtalk.net/perkongsian-cerita-f16/kita-masih-dijajah-t171.htm
teringat di india.. susah betul kehidupan mereka.. di bangalore.. mysore.. keadaan spt di ceritakan.. cuma bezanya.. india.. mesir..
MaizaC’Joe(Quote)
Wa’alaikummussalam,
Hebatlah jika kamu mampu membayangkan keadaan di sini. Mungkin jika merasainya lebih mengerti.
Memang. Dijajah minda, dan segalanya.
India dan Mesir suasananya hampir sama sebenarnya. Ayah saya pernah menuntut di India suatu ketika dahulu.
Farid Rashidi(Quote)
salam…
Ya, orang yang hebat bukanlah hebat dari segi mengutuk orang tetapi bagaimana mereka menghadapi tekanan.. walaupun kita memiliki kelebihan tetapi kita akan dipandang rendah atau lemah jika tidak tahu memaksimumkannya..berbanding mereka yang lemah tetapi berjaya menonjolkan kekuatannya…
mmmm…. perjalanan dunia memang sebegitu.. ada yang kuat dan lemah… semuanya ada pasangannya dan lawannya…
p/s- cantik gambar kat atas tu… guna kamera digital pun dah cantik, xperlu beli DSLR..heehhe
.-= Mohd Fadzli Iberahim Shah (tronx013)´s last blog ..Aku =-.
Mohd Fadzli Iberahim Shah (tronx013)(Quote)
Wa’alaikummussalam,
Ahsanta! Setuju.
Sebenarnya gambar atas guna DSLR, yang bawah guna kamera digital biasa. Kemudian guna teknik edit adobe. Dengar khabarnya, harga lensa DSLR lebih mahal daripada kamera DSLR itu sendiri. Betulkah?
Farid Rashidi(Quote)
salam…menarik entri ust..begitulah pengalaman hidup..sebab tu pepatah da sebut ‘jauh perjalanan luas pemandangan’…. bila baca keadaaan yang ust tulis tu seolah2 berada di sana..apapun begitu hakikatnya kan..bila tengok kat tv pun (contoh jejak rasul) yang da paparkan keadaan di mesir pun sama seperti ust tulis..namapaknya negara islam jauh ketinggalan lagi…erm… (berfikir…)
nur_syahadah(Quote)
Wa’alaikummussalam ya ukhti,
Maaf kerana terlewat balas, disebabkan oleh ketiadaan internet selama dua hari sehingga saat ini. Terpaksa ke rumah teman untuk membalas komentar semua.
Jejak rasul pernah ceritakan tentang hal Mesir secara detail ya?
Memang jauh.
Farid Rashidi(Quote)
sudahlah mereka yg menjajah itu dah mmg tabiatnya suka menjajah tapi kita dok biar diri sendiri dijajah..satu hal lain pulak. apapun ustaz….syukran berkongsi pengalaman disana. membaca & melihatkannya menjadikan kita di sini mmg sepatutnya bersyukur byk-byk. ‘nikmat Allah mana lagi yg hendak kita nafikan?’…kan?
nahmy(Quote)
Selagi mana umat Islam tiada benteng dan kekuatan, selagi itu kita masih di sini. Percayalah.
Ya, kerapkali ucapan syukur seharusnya menjadi keutamaan. Saat susah mahupun senang. Afwan.
Farid Rashidi(Quote)
Salam, baru tahu tentang ni, saya ingatkan Mesir orangnya kaya-kaya, hidup mewah sebab mereka negara pengeluar minyak
kalau kadar buta huruf tu tinggi, menggambarkan tahap pendidikan yang perlu diperbaiki,
betullah datangnya Islam menjadikan sesuatu bangsa itu dimuliakan, Sepanyol yang pernah didatangi Islam juga pernah mengalami zaman ketinggian tamadun, contohnya Cordova,
penjajahan minda berlaku dimana-mana, Ustaz sendiri mengetahuinya, melihat Malaysia sekarang, cuma gambaran yang Ustaz berikan menunjukkan Malaysia lebih baik dari segi dasar tutup pintu tu,
Malaysia menghantar rakyatnya belajar di seluruh dunia, di Eropah, Asia Timur, Asia Barat, Australia dan kawasan Asia Tenggara sendiri selain tahap pendidikan negara kita semakin baik dengan kesedaran yang dimiliki ibu bapa,
saya percaya, jika kita bijak memilih untuk menjadi lebih baik, walaupun setinggi mana tirai besi disediakan untuk kita, kita berhak berusaha untuk mengatasinya,
Mesir benar-benar mencabar rakyatnya selama 30 tahun pemerintahan HM.
Wallahua’lam.
syahidah(Quote)