Header image

Filem: Antara Tersurat Dan Tersirat

Posted by Farid Rashidi in Bicara Semasa

Jarang sekali saya berbicara dan mengupas isu berdasarkan filem. Andainya mahu menjadi pengkritik filem secara konsisten, pasti sudah muncul deretan artikel mengenainya. Tetapi itu bukan hadafnya.

Tak bermakna juga dengan menulis artikel mengenai filem, kita adalah penggemar filem sejati. Sila betulkan minda sebegitu.

Pernah suatu ketika saya menulis satu artikel berdasarkan kepada sebuah filem. Tajuknya Unsur Feminisme Dalam Filem ‘Perempuan Berkalung Sorban’. Tidak juga saya sangkakan, bahawa artikel itu akan terus dibicarakan oleh pengunjung (FRC) sehingga kini. Sehingga wujud sedikit khilaf.

Lazim berlaku ke atas sesuatu pendapat, ada pro dan kontranya. Begitu juga yang terjadi pada entri tersebut. Walaubagaimanapun, saya menghormati perbezaan pendapat yang diutarakan. Bahkan harapannya tidaklah sehingga menjejaskan persepsi kita sehingga merobohkan binaan ukhuwwah itu sendiri.

Saya tertarik pada suatu komentar yang bernada begini:

Filem dan sastera selamanya adalah selamanya hasil seni. Sesiapa yang menjadikan filem atau novel sebagai dalil agama adalah sejahil-jahil orang. Filem dan sastera kerjanya menggugah pemikiran. Lanjutan untuk hukum mesti merujuk terus pada Quran dan Sunnah dengan bantuan kitab dan guru. Masyarakat harus dididik supaya ‘pandai’ melihat filem dan menikmati sastera.

Dan ini pula adalah status yang saya tulis di FB dan ianya juga menghasilkan beberapa komentar tersendiri:

Filem adalah bukan dalil, tetapi dengan filem (condong kepada negatif) ramai yang terpesong.

Mahu menjawab letak duduknya persoalan ini, menghadirkan rasa untuk saya menulis sebuah entri menjelaskan lagi apa yang dibicarakan. Lanjutan penerangan ini diharapkan menguntum rasa faham agar lebih tahu kondisi niat saya menulis ketika itu.

FILEM ADALAH FILEM

Di sini, saya bukan mahu mengutarakan soal hukum-hakam berlakon menurut Fiqh Islami ataupun Qodoya Muasarah. Jika mahu memperkatakan tentang itu, ia memerlukan sekolum ruang lagi penjelasan lain.

Ya, saya mengakuinya. Filem semestinya bukan dalil. Adalah bersalahan besar meletakkan filem sebagai sumber utama untuk mengistinbatkan hukum. Salah!

Ilmu usul fiqh meletakkan sumber hukum dengan jelas dan terang tanpa berselindung lagi. Utamanya adalah al-Quran, al-Hadis, Ijma’ ulama’, Qias dan beberapa sumber lain lagi. Jelas.

Bicara tentang apa sekalipun, rujuknya adalah pada sumber itu.

Justeru, kenapa saya menulis dan menganalisis filem itu? Sedangkan wujud berjuta-juta filem lagi. Seperti yang saya katakan, saya bukan penggemar filem secara ‘totok’. Cukuplah hanya menonton apabila perlu.

Sebelum menulis artikel tersebut, saya melihat ramai anak-anak gadis terutamanya di blog-blog mereka seakan kepeningan dan kekeliruan setelah menonton filem tersebut. Malah ada juga memberi respon yang agak bersalahan. Kebimbangan ini menatijahkan untuk saya mencari dan menontonnya. Bukan sekadar berhibur. Tetapi menginginkan kepastian.

MANUSIA TIDAK SAMA

Mengapa Hadis baginda Rasulullah SAW adakalanya apabila diriwayatkan oleh sahabat terkadang wujud sedikit  perbezaan?

“Sebab kadang-kadang ada sahabat dia jumpa Rasulullah SAW, kemudian Baginda SWT ajarkan begini.. lantas sahabat itu pulang ke tempatnya mengajarkan apa  yang diperolehinya dari Baginda SWT.. sebut itu kadangkala ada sahabat tak dengar kesemua hadis Rasulullah SAW..” Terang saudara Hisyam berkenaan dengan perbezaan Qiraat yang tujuh. Saya mengangguk tanda setuju.

Itu dalam masalah perbezaan qiraat. Bacaan ketujuh-tujuh Qiraat itu ada sedikit berbeza disebabkan beberapa faktor. Antaranya seperti yang saya sebutkan di atas.

Maksud yang ingin saya sampaikan ialah, manusia itu berbeza-beza jenisnya.

Ada sesetengah individu mahupun kelompok meminati bidang sastera, ada juga cenderung kepada sains, kimia, matematik, seni lukisan. Dan ada yang begitu tekun mempelajari selok-belok agama. Malahan, ada yang langsung tidak tahu apa-apa. Hanya menerima apa sahaja yang diberikan.

Buruk atau baik – kata mereka sama sahaja. Melihat kepada perkara ini, saya bimbang sekiranya masyarakat awam cenderung berfikir dan mengamalkan daya fikir begitu. Yakni menerima apa sahaja budaya Hedonisme tanpa berfikir panjang.

Kelompok begini jika dihidangkan dengan sesebuah filem yang mempunyai agenda terselindung, apakah ianya sesuatu yang biasa atau membahayakan? Apakah mereka tahu membezakan antara nilai sastera serta ayat melankolik sebuah karya sastera?

Mungkin bagi yang dikatakan ‘cerdik sastera’ akan menganggap ini adalah perkara biasa. Ada maksud tersirat dan sebagainya. Itu pada pandangan mereka.

“Alah, kita kena fahamlah, mungkin dia nak beritahu apa yang berlaku dalam masyarakat.. kita perlu husnul zhon. Jangan terlalu sinikal pada filem itu.”

Harus diamati, medium dakwah kita adalah kepada masyarakat umum seluruhnya. Mahu menyampaikan dakwah, semestinya menjiwai siapakah yang kita mahu dakwahkan. Medium apakah yang wajar digunakan. Terkadang tahap pemikiran yang dikatakan ‘cerdik’ dan ‘bijak’ itu juga wajar direndahkan level semata-mata mahu menjiwai watak mereka.

Boleh saja ingin saya tuliskan bahawa filem ini begini bagusnya, begini baiknya, harus dilihat dari sudut berbeza, bukan tipikal dan biasa-biasa. Tetapi bagaimana pula dengan masyarakat awam yang menerima bulat-bulat kefahaman dan terikut-ikut cara penyampaian filem itu secara membabi buta?

Siapa mahu bertanggungjawab? Siapa pula mahu menjelaskan kekeliruan?

Lihatlah! Kuffar dan para pemikir barat sangat banyak menyuntik ideologi, kefahaman mereka untuk menyesatkan umat secara halus dan mulus. Kita terbuai dengan keasyikkan tangan lembut yang membelai. Bahkan tidak lagi memandang kemaslahatan umum menjadi agenda, tetapi kefahaman diri yang diutamakan.

Saya menulis atas rasa sedar dan bimbang perkara itu. Dengan niat agar masyarakat yang menontonnya tidak terlalu terpengaruh dan terikut-ikut. Maslahat dan mudharat lebih diutamakan dari kepuasan diri sendiri ketika menulis.

Bagaimana sekiranya sebuah filem itu memaparkan kisah ‘Mat rempit’ dengan aksi-aksinya, lalu minum arak dan berzina pula. Konon-kononnya mahu menceritakan aksi sebenar, walhal yang menontonnya tidak berfikir begitu. Segala aksi HARAM ditiru dan mengundang pelbagai implikasi buruk. Padah yang diterima. Mudharat yang berleluasa.

MENDIDIK DENGAN SASTERA

Tidak ada salahnya mahu mendidik sesiapa sahaja dengan menggunakan apa jua metode asalkan selari dan tak bercanggah dengan syariat Islam.

Bahkan saya turut gemar untuk memasukkan sedikit unsur-unsur sastera dalam penulisan di blog.

Metode sastera berwasilahkan cerpen, novel, puisi, sajak dan filem adalah medan popular dalam menyampaikan sesuatu mesej kini. Metode ini juga turut dipelopori kebanyakkan para ilmuan Malaysia dan Indonesia. Menghasilkan cereka filem dan drama berunsurkan islamik. Ia merupakan alternatif yang bijak.

Namun begitu, serasa sedikit sukar jika mahu menghasilkan masyarakat yang mengerti nilai sastera secara keseluruhan dalam masa terdekat. Dibimbangi unsur negatif lebih dahulu menembus masuk sebelum masyarakat umum faham menilai sesebuah karya sastera.

Oleh itu, dengan adanya penerangan dan penjelasan diharap sedikit sebanyak mampu menangkis sebarang unsur yang memudharatkan akal untuk mentafsir kebenaran. Biarkan dakwah terus berjalan walau diuji dugaan dan cabaran.

Ingat, jangan sampai ‘Mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan’.

2:07PM, 1 Mac 2010,
Siberbay, Tanta.

You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 You can leave a response, or trackback.

22 Responses



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge