Tips Mendapat Anak Soleh Dan Solehah
Posted by in Akhlak | Diari Penulis | Fiqh Islami | Wacana IlmiahAnak nakal.
Anak degil tak dengar kata.
Anak yang terjebak dengan kebejatan sosial.
Anak ‘ketegaq’ atau ‘nana’ – dialek kedah.
“Ish, si fulan itu curi motor aku semalam.. tak serik-serik dengan kelakunya.” Rungut seorang lelaki sambil mencekak pinggang menahan amarah.
“Anak siapa?” Tanya rakannya.
“Anak si fulan itulah. Bapak dengan anak sama, si bapa kaki botol, main judi, kaki perempuan!” Sambutnya dengan nada yang sedikit tinggi. Marah bukan kepalang lagi.
“Patutlah, bapak borek, anak rintikkan?”
Kesemua perilaku anak-anak, samaada degil, nakal, buas, keras kepala, benak dan ‘ketegaq’ sememangnya menjadi igauan ngeri buat para ibu bapa penjaga mahu pun masyarakat sekitarnya. Amat pelik jika ada ibu bapa penjaga mengatakan bahawa mereka gembira mendapat anak-anak yang degil dan bersangatan jahatnya. Itu bererti dia mengiyakan kejahatan anaknya jika mengukir rasa gembira.
Baiklah, mari kita renung sejenak, mengapa perkara ini terjadi. Walhal pada asalnya anak-anak itu adalah putih, bersih tanpa sebarang perilaku negatif. Orang melayu dahulukala kerapkali mencipta peribahasa yang bersandarkan kepada perilaku masyarakat, misalnya peribahasa yang berkait rapat dengan masalah ini ialah “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”.
Benar, tetapi lebih benar lagi ialah bagi membentuk rebung atau buluh yang elok semaikanlah dan tanamlah dengan cara yang paling baik. Gunakan tanah subur dan penjagaan yang rapi, pasti akan terbit hasil rebung dan buluh yang menarik. Mana mungkin terhasil rebung manis daripada tanah kering kontang tanpa baja kecuali dengan izin Allah SWT.
KRITERIA PASANGAN
Sebelum pernikahan lagi Islam telah menetapkan perihal ini. Pilihlah pasangan yang mengenal siapa Allah SWT, siapa kekasihNya, dan tahu bagaimana praktikal mengabdikan diri kepada Pencipta. Itu asasnya yang paling utama. Di samping itu, sebelum menjejakkan kaki ke gerbang perkahwinan, setiap pasangan harus memiliki ilmu berumahtangga agar tak terpesong ke lembah kemungkaran. Faktor-faktor ini adalah perkara pokok yang patut diketahui setiap umat Islam.
Lihatlah bagaimana terbentuknya salasilah keturunan para sahabat, tabie’ tabie’in, ulama’ dan cendikiawan Islam antaranya Imam Syafie’ yang berketurunan Rasulullah SAW dan bersambung pada Abd Manaf. Ibunya pula menurut pendapat yang masyhur adalah seorang berketurunan Yaman dari suku Azd.
Imam Nawawi meriwayatkan tentang ibu Imam Syafie’, katanya: “Rasulullah SAW pernah bersabda: al-Azd ialah singa Allah di bumi ini, ramai dari manusia hendak menjatuhkan mereka, tetapi tidak diizinkan Allah SWT, bahkan Allah SWT meninggikan mereka, dan sesungguhnya pada suatu masa manusia akan berkata: Alangkah bertuahnya jika aku seorang Azdi dan alangkah bertuah juga jika ibuku seorang Azdiyyah.”
Mengenai Imam Syafie’, Rasulullah SAW juga pernah bersabda tentang kedatangan Imam Syafie’ r.a:
“Seorang alim daripada bangsa Quraisy akan memenuhi lapisan dunia ini dengan ilmu.”
Begitu juga yang terjadi pada silsilah keturunan Umar bin Abdul Aziz – cicit kepada Saidina Umar al-Khattab. Pernikahan cucu Saidina Umar al-Khattab dengan seorang lelaki bernama Abdul Aziz bin Marwan lalu melahirkan pula Khalifah adil dan saksama iaitu Umar bin Abdul Aziz. Kehebatannya memerintah dunia Islam ketika itu sudah diketahui umum semenjak dahulu hingga kini.
Formulanya, bagi menghasilkan keturunan anak cucu yang soleh dan solehah (ada juga segelintir keturunan baik terhasil daripada kalangan keluarga zalim, tetapi dengan izin Allah SWT mereka menjadi soleh dan solehah) – langkah pertama adalah kriteria pasangan yang dipilih adalah BERIMAN kepada Allah SWT. Gabungan sperma dan ovum manusia beriman pastinya membawa sel-sel genetik bagi menatijahkan penghasilan anak yang mempunyai akhlak, agama dan aqidah yang sebenar.
Syeikh Ali al-Khawas berkata: “Hendaklah setiap orang memperhatikan sifat anak-anaknya. Jika sifat mereka baik, maka itu adalah akhlaknya. Jika buruk, itu juga akhlaknya. Sebab sperma (mani) turun dari dirinya dengan sifat-sifat tersebut. Maka tidak ada yang boleh disalahkan selain dirinya sendiri.”
Perkara ini juga Allah SWT telah peringatkan dalam firmannya:
“Dan janganlah kamu berkahwin Dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam); dan Sesungguhnya seorang hamba perempuan Yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) Dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan Sesungguhnya seorang hamba lelaki Yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke syurga dan memberi keampunan Dengan izinNya. dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).” (al-Baqarah: 221)
MENERAPKAN SUNNAH DALAM PERSETUBUHAN (JIMA’) SUAMI ISTERI
“Apabila kamu berjima’ hendaklah ingat kepada Allah SWT, nak dapatkan anak soleh dan solehah ianya sebelum terjadinya janin.” Kata Syeikh Dr. Abdullah Syazili ketika menyampaikan kuliah tafsir mingguannya di Masjid Uthaifah, Medan Sa’ah.
“Baca Auzubillahhiminas syaitannirajjim.” Sambung Syeikh lagi.
Pengajian pada malam itu membicarakan mengenai penafsiran ayat 233 daripada surah al-Baqarah berkaitan masalah nikah, talak terhadap isteri. Dilanjutkan perbicaraan pula kepada masalah-masalah yang berhubung kait.
Kata-katanya membuatkan saya termenung sejenak, lantas cuba menulis artikel dan melestarikan berkenaan apa yang disampaikan Syeikh Dr. Abdullah Syazili.
Ya, peringatannya sangat bertepatan dengan sunnah yang dilakukan Rasulullah SAW tatlaka melakukan jima’ bersama isterinya. Bukan seperti haiwan yang tanpa segan silu melakukan aktiviti seksual di tepi-tepi jalan, bukan juga dengan jalan hubungan seksual yang diajarkan oleh tamadun barat.
Tanpa mukaddimah, tanpa doa, tanpa segala tertib. Akhirnya, lahir manusia bengis, tak berakhlak, degil dan pelbagai sifat negatif lain bersamanya.
Lakukanlah dengan niat yang ikhlas Lillahhi ta’ala, berdoa agar terjauh syaitan durjana, menjaga kehormatan, dan beristimta’ dengan mengambil cara yang terbaik. Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
Daripada Abi Dzar r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Dan pada kemaluan seseorang kamu (bersetubuh dengan isteri yang sah) adalah sedekah.”
Maka kami bertanya: “Wahai Rasulullah! Adakah salah seorang kami bersetubuh, adakah ia mendapat pahala padanya?”
Baginda bersabda: “Apakah pendapat kamu sekiranya seseorang itu bersetubuh dengan cara yang haram, adakah ia mendapat dosa? Demikian jugalah sekiranya seseorang itu meletakkannya pada perkara yang halal, adalah dia memperolehi pahala.” (Riwayat Muslim)
Berdoalah, ianya sebagai tanda kita berlindung dengan Allah SWT dari godaan syaitan dan simbolik kepada sebuah kesyukuran padaNya. Semoga dengan membaca doa sebelum mengadakan hubungan antara suami isteri memberikan sebuah keberkatan dan memperolehi anak soleh dan solehah. Rasulullah SAW bersabda:
Daripada Ibnu Abas r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya salah seorang daripada kamu ingin bersetubuh dengan isterinya, maka bacalah (doa ini):
بسم الله اللهم جنبا الشيطان وجنب الشيطان ما رزقتنا
(Wahai Tuhan kami, jauhilah kami daripada syaitan dan jauhilah syaitan daripada apa yang kamu rezekikan kepada kami (anak yang bakal lahir), sekiranya ditakdirkan kepada mereka seorang anak daripada persetubuhan tersebut, syaitan tidak dapat memudharatkannya buat selama-lamanya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Janganlah mendatangi isteri melalui dubur (liwat) dan semasa berlaku haid, ini kerana ianya adalah perlakuan golongan kafir yang bertujuan menyesatkan umat Islam.
Pernah suatu ketika Saidina Umar r.a datang berjumpa Rasulullah SAW lalu beliau bertanya:
“Wahai Rasulullah SAW, aku telah celaka (binasa). Baginda bertanya: Apakah yang menyebabkan kamu celaka? Beliau berkata: Aku telah mengubah kedudukanku semasa bersama isteri (bersetubuh) semalam. Maka tiada jawapan daripada Rasulullah SAW pada ketika itu sesuatu pun, maka turunlah firman Allah SWT yang berbunyi:
Baginda bersabda (berdasarkan firman Allah SWT): Melalui hadapan, melalui belakang (pada kemaluan), jauhilah daripada dubur dan semasa haidh.” (Riwayat Ahmad dan at-Tirmidzi)
Mahukan anak soleh dan solehah? Nah, turuti tips-tips ini. Pasti keturunan kalian bukan sahaja gah di mata manusia, bahkan seluruh alam raya jua turut mengkaguminya.
Lalu tergolong di dalam kelompok dicintai Allah dan RasulNya. Pasti!
Rujukan:
Kuliah Pengajian, Al-Fadhil Syeikh Dr. Abdullah Syazili.
Adab-Adab Islam Dalam Kehidupan Seharian Jilid 2, Mohamad Zulkifli Abdul Ghani.
Mendekati Ulama’ Dan Para Wali Allah Di Mesir, Ahmad Lutfi Bin Abdul Wahab al-Idris al-Linggi.
5:10PM, 22 Februari 2010,
Siberbay, Tanta.
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 You can leave a response, or trackback.



salam….
Perjalanan yang masih jauh sudah daapt bekalan awal.. harap tidak habis bekalan tersebut sehingga mati..
moga difahami … Ibu bapa marah atau menuduh anak itu ini,sedangkan mereka juga pernah melakukannya dulu…. ini tidak adil bukan? tapi itu semua tanggungjawab dan sebagai anak, terimalah teguran dan usaha menjadi yang terbaik sepertimana rasulullah…
.-= Mohd Fadzli Iberahim Shah (tronx013)´s last blog ..Satu Usaha =-.
Mohd Fadzli Iberahim Shah (tronx013)(Quote)
Wa’alaikumsalam,
Bekalan awal itu jika tidak dijagai dengan baik pasti kelak akan kehabisan. Tambahlah bekalan itu dari semasa ke semasa.
Semestinya tidak adil, misalnya seperti pasangan yang tak mendidik anak dengan betul tetapi niat mahu jadikan anak itu baik. Lalu dihantar anak itu ke sekolah agama. Sangkaannya kelak akan jadi baik, rupa-rupanya jadi ketua samseng pula.
Bagaimana pula jika teguran dibuat endah tak endah? Maksudnya tak makan saman.
Farid Rashidi(Quote)
salam…
ayat-ayat last ustaz tu, pertanyaan ke?
… apa maksud ustaz tu ye?.. secara umumnya, saya menjawab, teguran itu tiada kenal atau tiada mata untuk mengecam erti putus asa,tiada telinga untuk dengar kata-kata melemahkan, tiada akal untuk memahami erti kecewa… itulah teguran yang ikhlas….
teruskan usaha…
.-= Mohd Fadzli Iberahim Shah (tronx013)´s last blog ..Satu Usaha =-.
Mohd Fadzli Iberahim Shah (tronx013)(Quote)
Ya, mahu juga melihat pandangan akhi.
Alhamdulillah dah tolong jawabkan. Benar, soal nak terima tak itu terpulang, apa yang penting kita dah sampaikannya.
Sebenarnya dua step di atas hanyalah step permulaan supaya memperolehi apa yang dihajati. Step-step seterusnya ialah seperti amalan, doa, teknik mendidik itu juga adalah kesinambungan untuk mendapatkan anak soleh dan solehah.
Farid Rashidi(Quote)
salam..
benar, sumenya bermula dr rumah. sumenya dr ibu bapa, mcm mana nk bntuk anak mereka..
tp susah juga bdk zaman skrg ni, byk terpengaruh dgn bnd luar. kdg2 dh elok dh ibu bapa mereka didik mereka, tp rosak juga akhirnya.
mmg ibu bapa kena lagi pandai la manage budak2 ni, kena lg advance, lagi pantas dr pergerakan mereka.
smoga sy dpt lahirkn zuriat yg soleh & solehah. ameen..
Evi LoLyta(Quote)
Wa’alaikumsalam,
Seperti kita membina sistem pertahanan negara. Jika kuat, insya’Allah tak akan diapa-apakan oleh musuh. Namun begitu, jika ibu bapa sudah mendidik, tetapi bila besar dia tetap menjadi jahat. Itu bukan salah ibu bapa lagi. Itu adalah tanggungjawab bersama pula.
Faham?
Persekitaran memang memainkan peranan cukup besar.
Perlu dapatkan suami yang soleh.
Farid Rashidi(Quote)
Salam ustaz…
InsyaAllah ia akan dijadikan panduan sbb masih muda….Sebelum ni ana fikir kelakuan anak dibentuk setelah dilahirkan dan amalan ketika ibu mengandung..tak sangka ia bermula dari seawal memilih pasangan…sbb tu bukan mudah nak berkahwin sekarang ini..(boleh termenung panjang fikir calon yg penuhi kriteria bg melahirkan umat Muhammad yg berkualiti…)
Nurana(Quote)
Wa’alaikumsalam,
Bagus. Panduan untuk masa depan ya.
Sebenarnya rentetan amalan ibu mengandung dan didikan itu adalah selepas dilakukan tips-tips yang saya sebutkan. Kesinambungan dari itu, Insya’Allah akan diperolehi kelak.
Jangan terlalu termenung ya. Insya’Allah ada
Farid Rashidi(Quote)
Termenung bukan sebarabangan ya akh…
termenung mahu praktikal di sekolah….walaupun bukan dari awal..guru juga antara ejen terpenting dalam membentuk masyarakat….ilmu2 sebegini boleh dicurahkan sebagi panduan awal kepada remaja….selain ilmu akademik dapat juga mereka merehatkan minda dgn ilmu2 yg takkan ditanya dalam peperiksaan…
Nurana(Quote)
Sudah tentu.
Jangan termenung menerawang ke lain sudahlah ya.
Oh, masih bersekolah ya. Baguslah, belajar dari awal untuk menjadi manusia berguna kelak. Ilmu Allah sangat luas. Belajarlah dan kutiplah sebaik mungkin.
Farid Rashidi(Quote)
Ini boleh jadi tips untuk mendapat cucu solehah..hehehe..
Kak tirana minta izin nak kongsikan link entry ni di kelab ibubapa cemerlang kat facebook ye Farid.
Tirana(Quote)
Eh, cucu solehah ye. Moga hingga ke cicit ya Kak.
Dipersolakan dengan segala hormatnya. Semoga termakbullah doa kak tu.
Farid Rashidi(Quote)
terima kasih bro kerana share maklumat berguna..=)
.-= NoorAfzan´s last blog ..Preparation untuk berjalan jauh..apa perkara yang perlu disediakan? =-.
NoorAfzan(Quote)
Sama-sama.. Selamat datang ya! Ada masa jemput datang lagi.
Farid Rashidi(Quote)
Salam Farid,
Kak su selalu bebel kat anak sedara, mintak mereka betulkan diri dulu kalau nak pasangan yang baik. Ramai yang mahu mencari pasangan yang baik, soleh dan solehah, tapi seringkali terlupa memastikan diri sendiri samada dah mencapai tahap itu atau tidak.
.-= suara´s last blog ..Sembang Kedai Kopi =-.
suara(Quote)
Wa’alaikumsalam Kak Su,
Selamat kembali walau dah lama menyepi.
Tidak dapat tidak, itulah yang perlu kita lakukan. Seperti menyuruh anak-anak solat, tetapi ibu bapanya tak tahu pula bersolat. Kasihan anak-anak. Mereka amanah Allah.
Pada saya, lebih baik saja mereka tak punya anak.. berikan saja yang menginginkan. Mana tahu mereka lebih layak mendidiknyakan.
Farid Rashidi(Quote)
Salam sdraku..
Lapar pada jasad kita berikan ia makan agar membolehkan segala anggota bergerak dengan sempurna, namun tidak semua manusia ingat akan rohani mereka yang lapar hingga ianya memberontak lalu menjadi diri mereka itu hilang tanpa pedoman.
Rohani perlukan juga makanan agar ianya boleh membimbing kita kepada kebaikan.
.-= Abd Razak´s last blog ..Rindu padamu… =-.
Abd Razak(Quote)
Salam saudaraku yang budiman,
Jasad dan rohani itu selalu kelaparan. Adakalanya manusia berikan juga makanan, tetapi makanan yang tidak seperti diinginkan. Akhirnya jasad dan rohani itu kecewa dan merosak dari dalam.
Lalu manusia itu tumbang dan kecewa tak berpenghujung.
Sebelum terlambat, suapkanlah makanan berkhasiat.
Farid Rashidi(Quote)
Salam
terima kasih atas perkongsian bermanafaat juga tips berguna..
semuanya bermula dari memilih pasangan sebelum berkahwin. Pasti sesiapa pun mahukan terbaik tapi itulah.. moga kita semua beroleh yang terbaik InsyaAllah.. apabila bermula dengan cara tertib akan berakhir dengan terbaik.. mudah-mudahan..
Kadang tue, sebagai contohnya ada ibu bapa yg marahkan anak yang masih kecil/muda siap keluar kata-kata kesat bila dah bermula dengan cara ini anak-anak jadi “mangli” mula tak hormati ibu bapa. “bapa borek anak rintik” kalau nak marah pun keluarlah kata-kata lebih lembut.. seperti “anak bertuah” sedap sikit telinga mendengar. Tapi kalau tak dengar cakap jg.. itu baru ketegaq betoi.. tak makan saman……
MaizaC’Joe(Quote)
Wa’alaikumsalam ya ukhti,
“Oh mat, bodohnyalah kau ni..” Jerkah seorang ayah.
“Awatla hang ni bengong..” Bebel ibunya pula.
Nah, kedua-dua situasi ini sudah membuktikan bahawa siapa yang salah. Apa yang akan terjadi jika kanak-kanak 3 tahun mendengar makian ini dari ibu bapa sendiri?
Dan, kelak bila dewasa budak itu menjadi seorang kaki samseng. Saat itu adakah ibu bapa berhak mengatakan si anak itu derhaka pada mereka?
Farid Rashidi(Quote)
betul tu.
tips untuk mendapat anak soleh
perlu bermula sebelum ke gerbang prkahwinan
untuk mendapatkan anak yang soleh
perlu dapatkan pasangan yang soleh
puteri(Quote)
Semoga saudari mendapat suami yang soleh ya. Dah buat majlis, jangan lupa jemput pula.
Farid Rashidi(Quote)
salam Ziarah…lama x dengar khabar? my senior…
lutfihafifi(Quote)
Wa’alaikumsalam,
Ahlan ya sadiqi. Keif hal? Datang ziarah Mesir tak bagitau ye?
Alhamdulillah. Dah tahun berapa? Bila habis?
Farid Rashidi(Quote)
salam…ust..
sush je nak dpt pasangan utk membina kuarga nie..teringin jugak nak didik anak2 supaya jadi soleh solehah…erm…
nur_syahadah(Quote)
Wa’alaikumsalam,
Insya’Allah ada. Banyakkan membaca buku-buku ilmiah berkaitan ilmu rumahtangga dan mengaji ya. Nanti ianya akan membantu agar mahligai kekal hingga ke syurga.
Semoga mendapat suami yang baik, soleh, memahami dan membahagiakan walaupun sederhana.
Farid Rashidi(Quote)
Salam…
Terima kasih dengan perkongsian ini…
.-= Atikah´s last blog ..Aktiviti Di Kg… =-.
Atikah(Quote)
Wa’alaikumsalam,
Sama-sama.
Farid Rashidi(Quote)
salam saudara farid
tks atas perkongsian, sesungguhnya semua ibu bapa perlu menerima hakikat yang anak2 itu adalah cermin diri ibu bapanya. Perangai anak2 boleh dikatakan copy paste dari kita ibu bapa. So kalau nak anak2 yang soleh dan solehah, jadikan lah diri kita hambaNya yang soleh/solehah dahulu
p/s sungguh termalu sendiri bila kdg2 anak buat perangai… terdetik di hati…”ish…macam aku jer”. Ish…sungguh malu….
rosnanie(Quote)
Wa’alaikumsalam,
Jika masih punya ruang, gunakanlah cara lain pula. Biasalah, kadang-kadang manusia tak semua yang tahu. Tetapi apabila tahu, kita perlu untuk beramal dengannya.
Semoga Puan mendapat anak yang soleh dan solehah ya.
Farid Rashidi(Quote)
salam..benarkah ada sesetengah pendapat mengatakan untuk mendapat anak yang baik dan soleh,anak tersebut mestilah dilahirkan pada bulan2 tertentu dalam bulan islam.sila tolong reply keraguan saya ini.
Zur’ain(Quote)
Wa’alaikummussalam,
Wallahhu a’lam. Apapun doa dan usaha adalah lebih mujarab daripada andaian bukan-bukan.
Farid Rashidi(Quote)
assalamualaikum,
ustaz sy ingin bertanya berkenaan dgn tips melahirkan anak soleh…
sy pelajar uitm kedah dipilih utk membuat kajian mengenai tajuk ini…
dimana sy boleh dpt sumber rujukan mengenai tips melahirkan ank soleh…
wawa(Quote)
Assalamualaikum, Alhamdulillah kerana manfaat yang saya perolehi dari blog ini.Saya sebenarnya cukup susah hati dengan pengaruh-pengaruh luaran apabila anak-anak kian remaja.Dilema yang saya hadapi mungkin disebabkan masa keemasan saya yang agak terhad.. Beban kerja sering menyebabkan saya kurang bersama mereka. Contohnya, anak sulung saya sudah pandai lepak di kedai Mamak dengan rakan-rakan sedangkan saya amat payah begitu jika tiada sebab seperti isteri tidak sempat masak. Paling saya risau ialah soal solatnya yang saya sering ingatkan setiap masa walaupun ketika itu saya diluar negara.
Soalannya, apakah tips dari Tuan yang dapat berikan bagaimana anak-anak saya ini agar terhindar dari pengaruh-pengaruh yang tidak sihat seperti itu? Sekian
mohamed ali othman(Quote)
assalamualaikum ustaz saya nak tanye soalan….kalau si suami memimilih pasangan isteri yang kurang ilmu agama tapi si suami telah mengikut tips mendapatkan anak yang soleh dan solehah….Adakah si isteri akan melahirkan anak yang soleh dan solehah ataupun sebaliknya……
shahrin bin mohd(Quote)