Header image

Sinar Mentari Selepas Pelangi

Posted by Farid Rashidi in Diari Penulis | Pemberitahuan

“Alhamdulillah, selesai.” Tertulis status yang saya pamerkan di Facebook.

“Syukur alhamdulillah… Sakit dah ok ke farid?”

“Apa yang selesai, makan kot” Komen ini membuatkan saya tersenyum sendiri.

“Salam… Mesti lega hati selepas berjuang… Yang lain itu diserahkan pada Yang Maha Esa…”

Kelihatan beberapa balas komen dari para komentator selepas beberapa ketika. Saya berterima kasih atas perhatian yang diberikan.

Sebelum ini saya telah menulis entri Berlari Melihat Pelangi Senja sebagai pemberitahuan bahawa blog FRC dibekukan selama 10 hari. Selama 10 hari saya tidak menulis sesuatu di sini, bukanlah bererti saya terus menyepi diri. Bahkan ada ketika saya turut membalas komentar yang tersenarai di kekotak halaman bawah.

JAWAPAN BISU

Menjawab persoalan yang dilontarkan, pertama sekali ingin saya sebutkan bahawa ‘selesai’ yang dimaksudkan bukanlah keseluruhannya. Kerana misi menggapai matlamat dan cita-cita bukan secepat 10 hari, tetapi mungkin lebih dari itu. Adakalanya mencecah tahun. Kesabaran sangat diperlukan saat itu.

Letakkan di sanubari kemas-kemas. Usah leraikan. Pasti kalimah putus asa tak terpacul di bibir-bibir kita.

Apa yang boleh saya katakan, ianya baru selesai sebahagian untuk saat ini dan untuk tahun ini.

SUATU UJIAN

Sedang sibuk membelek helaian syair-syair puitis, bait-bait khutbah, maka saat itu jugalah Allah SWT hadirkan sedikit ujian. Ujian yang datang mengejut untuk menguji. Bahagian belakang badan saya seolah-seolah dirantai sesuatu sehinggakan ianya sukar untuk digerakkan hatta untuk beribadat.

Kejang otot dan sengal-sengal sakit badan. Duduk salah, baring lagilah salah. Susah hati bukan kepalang. Keesokannya ada perkara besar yang perlu diselesaikan. Saat itu saya teruskan menekuni, lantas tidak putus-putus berdoa agar dimudahkan segalanya.

Saya harus tabah dan sabar walau fokus sedikit terganggu. Oh, hanya Allah SWT Maha Tahu betapa tertekannya jiwa dikala nikmat sihat sedikit ditarik.

Akur. Redha.

Selepas menyelesaikan misi, sebelah malamnya saya segera ke rumah saudara Imran – rakan kepada adik kembar saya yang menuntut di tahun satu pengajian Syariah Islamiyyah al-Azhar Tanta. Saya tahu dia boleh mengurut memandangkan sebelum ini saya pernah urut pergelangan tangan akibat dilanggar vespa seorang lelaki arab di persimpangan bawah jambatan Ma’arad.

Tangan yang terseliuh dan membengkak akhirnya surut dengan izin Allah Ta’ala selepas diurut oleh saudara Imran. Syukran ya akhi kareem.

Sejurus selepas bahagian belakang saya diurut olehnya, barulah tahu apakah sebab ianya serasa begitu memeritkan. Rupanya ia diakibatkan oleh angin dalam badan yang berkumpul. Apabila diurut, angin itu seolah-olah bercempara lari ke serata sudut badan. Malam itu saya kunyah seketul halia yang dibekalkan oleh mak tempohari.

Keesokannya, pergerakkan saya semakin lancar. Tunduk membongkok juga sudah boleh seperti sediakala. Allah, sedikit ujian sudah seakan batu menghempap. Apatah lagi jika ia memang sebenarnya batu menghempap seperti Bilal bin Rabah r.a yang disiksa. Pasti berjuta kali keperitan bakal dirasa. Itulah manusia yang berasal dari segumpal tanah. Lemah, hina tanpa Jalla Wa’ala.

77. Tidakkah manusia itu melihat dan Mengetahui, Bahawa Kami telah menciptakan Dia dari (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka Dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang pembantah Yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang Yang mati),

Benarlah, perjalanan pasti lebih manis jika turut bersama secangkir ujian. Walaubagaimanapun, selamat bersua kembali saya ucapkan!

11:34PM, 24 Januari 2010,
Siberbay, Tanta.


You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 You can leave a response, or trackback.

49 Responses



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge