Header image

Berlari Melihat Pelangi Senja

Posted by Farid Rashidi in Diari Penulis | Pemberitahuan

Sewaktu kecil, saya selalu mendongak ke langit tinggi memerhati luasnya alam. Bahkan, teramat kagum pada lukisan tujuh warna sang pelangi.

Ianya merentangi bukit-bukau tatkala bumi menerima rintik gerimis. Indah sekali di kaki bukit menghijau.

Pernah juga suatu ketika guru mengajarkan matapelajaran sains UPSR, menerangkan bagaimana terjadinya pelangi. Prisma berbentuk piramid diberikan kepada kami buat eksperimen sains. Saya takjub. Saya suka.

Memasuki makmal untuk sessi uji kaji amat saya gemari ketika itu.

“M,J,K,H,B,I dan U.. warna pelangi ada tujuh. Merah, jingga, kuning, hijau, biru, indigo dan ungu.” Itulah yang dihafal berkaitan warna-warni pelangi. Permulaan huruf diambil untuk dijadikan rumus bagi memudahkan hafalan.

MENGEJAR PELANGI

Menyentuh pelangi senja itu bagai angan-angan Mat Jenin yang tidak kesampaian, apatah lagi mendakapnya erat. Namun, cuba berlari mengejarnya itu suatu nikmat. Walau keletihan, rasa puas tetap saja terlakar bersama kerana lukisan tujuh warna itu mampu mengukirkan sebuah senyuman kepada pengejarnya.

Cukuplah menjadi tatapan deria penglihatan, agar jiwa tenang dan damai. Setenang warna-warna pelangi indah ciptaan Ilahi. Subhanallah.

Izinkan saya untuk berlari mengejar pelangi itu kali ini. Bukan untuk memilikinya, tetapi sekadar ingin merasai nikmat melihat. Bimbang pelangi nan indah itu hilang ditelan kabus memutih.

Andaikan saja pelangi itu sebuah matlamat dan cita-cita. Ya, matlamat dan cita-cita manusia.

Terlepas berlari mengejar demi melihat pelangi sehingga ianya hilang di celahan gemawan, ibarat mensia-siakan waktu menggapai matlamat dan cita-cita. Membiarkan haluan tanpa matlamat dan cita-cita, ia seakan-akan layang-layang putus teraju tiga. Hilang begitu saja dihembus pawana.

Izinkan juga saya menyepi seketika dari dunia penulisan maya, agar tercapai hajat melihat pelangi indah kelak. Usaha hari ini penentu kejayaan masa hadapan. Percayalah, Allah SWT pasti menghadirkan kejayaan jika kita terus berusaha dan berusaha.

Saya ingin menjiwai 23 bait-bait syair Hasan bin Tsabit buat Rasulullah SAW tercinta, cuba mengingati risalah Baginda al-Mustofa kepada Najashi pembesar Habsyah, ingin menghadami empat perkara pokok Fiqhiyyah, mahu merungkai gugusan kalam agung Jalla Wa’ala dalam penafsirannya.

Tidak lama, dalam lingkungan sepulah hari bermula tarikh dan saat ini – 13 Januari 2010 sehingga 23 Januari 2010, Insya’Allah.

Doakan saya, dan semoga bersua kembali!

7:15AM, 13 Januari 2010,
Siberbay, Tanta.

You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 You can leave a response, or trackback.

55 Responses



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge