Header image

Di Sebalik Firakh Masywi

Posted by Farid Rashidi in Uncategorized

“Jom beli Firakh seekor!” Pelawa Ibrahim usai mentelaah matapelajaran secara berkumpulan di rumah saya.

Saya lantas mengiyakan.

Biasanya pada waktu malam jarang saya memasak nasi beserta lauk-pauk. Tambahan pula apabila menghampiri saat-saat imtihan (peperiksaan). Cukuplah sepinggan nasi bersama sambal tumis ikan tuna beserta ulam-ulaman seperti timun, tomato dan gargir buat mengalas perut yang berkeroncong.

Sebelah malam, andai kelaparan saya bersama ahli bait (rakan serumah) pasti akan memasak makorana, ataupun indomie sebagai juadah makan malam. Jika punya sedikit masa, tentu sekali restoran-restoran Pizza, Fatiroh , Kuftah ataupun Firakh Masywi menjadi hala tuju kami.

Bagi pelajar Malaysia adalah susah untuk melupakan makan ruji seharian iaitu nasi. Acapkali bertandang mana-mana restoran Firakh Masywi, Aruz (nasi) tidak akan terkeluar dari menu permintaan kami. Firakh Masywi biasanya disediakan mengikut hidangan tertentu, saamada nus firakh (separuh ayam bakar), rubu’ firakh (satu perempat ayam bakar) ataupun seekor Firakh. Turut tersedia Shalatoh , Makholil , Thohinah dan Khudor . Harga keseluruhan hidangan tersebut di sekitar Bandar Tanta sekitar LE10-LE30, harganya bergantung kepada juga sesetengah kawasan.

Namun begitu, amalan memakan beras arab secara tidak seimbang boleh menyebabkan berat badan meningkat mendadak beberapa kilogram!

MAKANLAH YANG HALAL LAGI BAIK

Pada hemat saya selain faktor baka keturunan, makanan juga memainkan peranan penting dalam tumbesaran masyarakat arab Mesir. Mereka mempunyai saiz tubuh badan yang agak besar, tinggi serta kuat. Jauh berbeza jika hendak dibandingkan dengan masyarakat Asia tenggara yang kebanyakannya tubuh bersaiz kecil dan rendah.

Firman Allah SWT:

يأيها الذين ءامنوا كلوا من طيبت مارزقنـكم واشكروا لله إن كنتم إياه تعبدون

“Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah.” (Al-Baqarah: 172)

Makanan yang berkhasiat itu bukan sahaja halal, tetapi mempunyai kebaikan di dalamnya. Khasiat itulah yang menyumbang pelbagai vitamin untuk kekuatan tubuh badan. Allah SWT menyuruh manusia agar berusaha untuk mengusahakan makanan yang halal dan baik, nescaya kita tidak akan kekurangan makanan. Malah makanan yang berkhasiat itu juga mampu memberikan kekuatan untuk terus beribadah kepada Azza wajalla, lantas bersyukur dengan sebenar-benar syukur.

“Makcik arab berusia 50-an mampu memikul tong gas berisi penuh sendirian menaiki tangga ke rumah kami..” Cerita saya kepada masyarakat kampung sewaktu pulang bercuti ke tanahair.

Memerhati cara pemakanan mereka, tidaklah terlalu cerewet sebenarnya. Sarapan pagi mereka hanya beberapa keping roti e’ish, kacang ful, Tokmiyyah dan beberapa helai daun bawang ataupun gargir sudah memadai. Begitu juga menu makanan tengahari mereka, bagi golongan miskin dan sederhana beberapa keping roti e’ish cukup buat mereka bekerja sehingga ke petang, malah sehingga larut malam. Bagi kasta yang agak berada, masakan daging kambing bersos tomato, daging kebab panggang dan Firakh Masywi menjadi pilihan makanan seharian.

Selain itu, kaum arab kebiasaannya suka meminum susu sebagai makanan tambahan mereka. Pernah saya bertanya seorang rakan arab bernama Ahmad. Beliau menjawab, semenjak kecil lagi masyarakat arab sudah terbiasa minum susu kerbau segar. Jadi tidak mustahil berat badan beliau mencecah 100kg lebih. Masya’Allah! Hampir dua kali ganda berat badan saya.

Setelah tahu khasiatnya, saya juga pernah mencuba untuk minum susu kerbau segar yang dibeli rakan di Suq (pasar) Siberbay, namun tidak berupaya untuk menghabiskan segelas tanpa merebus terlebih dahulu. Terasa melekit di kerongkong dan sedikit berbau hamis.

KISAH FIRAKH MASYWI

Berbicara soal Firakh Masywi, teringat saya kisah ketika bersama seorang sahabat. Waktu itu kami baru sahaja selesai kuliah mingguan pengajian tafsir oleh Dr. Abdullah Syazili di Masjid Uthaifah, Medan Sa’ah, Tanta.

Sejurus kemudian, kami berdua terus menuju ke restoran Firakh Masywi berdekatan. Memandangkan sebelum ini saya pernah ke restoran tersebut,ternyata rasanya berbaloi walaupun harga sedikit mahal berbanding restoran yang lain.

“Ana aiz itnin rubu’ Firakh Masywi..” Pinta saya kepada pelayan restoran.

Pesanan dibuat tanpa melihat harga sebenar, 2 rubu’ Firakh Masywi dipesan bersama satu Makarona bil lahmi dan beberapa keeping Roti Ei’sh. Tanpa berlengah kami terus menjamah makanan yang tersedia. Selesai makan, saya bersama Mahyuddin bertanyakan harga di kaunter untuk membayar hidangan makanan.

“Kam kullu?” Soal saya.

“Kullu wahid wa asyrin wa nush geneh…” Saya mengeluarkan wang sebanyak LE20 lalu memandang ke arah Mahyuddin.

“Tak cukup duit.. ada duit tak?” Tanya saya kepada Mahyuddin.

“Ada LE1 ja nak buat tambang balik ni..” Jawabnya. Kami saling berpandangan. Kepala ligat memikirkan bagaimana untuk membayar harga makanan. Melihat pada papan menu dan harga makanan, jumlahnya tidak sampai LE19.

“Mungkin caj perkhidmatan atau harga makanan naik.. aduh, macammana ni.. moga-moga Allah SWT membantu kami.” Hati kecil saya berbicara sendiri.

Sedang dalam kebuntuan, kebetulan dua orang sahabat saya, Fairuz dan Hadiyuddin melalui jalan berhampiran restoran itu. Mereka ingin ke kedai menjual peluru senapang untuk berburu burung yang terletak di tengah-tengah lorong. Mereka menghulurkan beberapa keping wang untuk kami selesaikan baki bayaran.

Akhirnya kami pulang bersama memori yang mampu mengukir senyuman tatkala terkenang!

______________________________________________________________________________________________________

Gargir: Daun yang dibuat ulam-ulaman.
Fatiroh: Sejenis roti seperti roti canai tetapi cara masakannya melalui pembakaran dalam ketuhar.
Kuftah: Ketulan daging lembu atau kambing yang dibentuk bulat dan dibakar.
Shalatoh: Sayuran campuran mengandungi cuka, tomato, daun sup, timun, bawang dan cili besar. Seperti acar timun Malaysia.
Makholil: Jeruk masam mengandungi lobak merah, lada dan buah zaitun.
Thohinah: Kuah kacang berwarna putih ditabur serbuk lada hitam.
Khudor: Kuah sup bercampur ketulan kentang dan daging.
Rubu’ Firakh: Satu perempat daripada seekor ayam.
Makarona bil lahmi: Makaroni bakar bersama ketulan daging.

You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 You can leave a response, or trackback.

26 Responses



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge