Fenomena Sejadah Berdiri Sendiri
Category : Bicara Semasa, Tazkirah
“Ada sejadah berdiri dalam berita sekejap lagi..” Kata emak mengajak kami menonton berita setelah tersiar intisari berita.
Saya bersila dan menonton bersama.
Sememangnya telah tersiar berita di sebuah stesen televisyen tempatan mengenai fenomena sejadah berdiri sendiri, malah ada yang menyerupai seperti orang sujud, tahiyyat dan lain-lain pergerakan di dalam solat.
Lokasi pertama berlaku peristiwa itu ialah di Pulau Pinang, kemudian beberapa ketika selepas itu ianya turut berlaku di Kelantan dan Kedah. Kesemuanya melibatkan fenomena sejadah ‘aneh’ itu berdiri.
Bagi sesetengah pihak ia menganggap perkara itu ajaib, dan mungkin bagi pihak yang lain ianya adalah perkara biasa dan sering berlaku. Iya, sememangnya peristiwa ‘aneh’ melibatkan kekuasaan Allah Azza wajalla ke atas permukaan bumi dan langit sudah lama berlaku.. andainya kita manusia yang berfikir dan mendalami al-Quran untuk terjemahan kehidupan harian.
Ayuh kita selusuri kisah-kisah ajaib lagi menakjubkan!
Mukjizat Nabi Sulaiman AS
Dan Sulaiman telah mewarisi Daud dan dia pernah berkata: ”Wahai manusia! Telah diajarkan kepada kami percakapan burung dan telah dianugerahkan kepada kami dari segala sesuatu. Sesungguhnya ini adalah benar-benar suatu kurnia yang nyata.” (An-Naml: 16)
Sungguh, Maha Suci Allah SWT yang mengurniakan kehebatan kepada manusia, kepada para rasul-rasul dan wali-walinya. Baik berupa mukjizat mahupun karamah. Dalam ayat di atas, Allah menerangkan berkenaan kisah Nabi Allah Sulaiman AS dengan kurniaan mukjizat terbesarnya iaitu mampu mengetahui dan memahami percakapan burung-burung.
Kelebihan ilmu anugerah Allah SWT kepada Nabi Sulaiman AS tidaklah dikufuri, malah beliau menzahirkan rasa syukurnya dengan mengkhabarkan kepada manusia-manusia ketika itu. Ini berbeza dengan ilmu sihir, para penyihir akan berusaha menyembunyikan ilmu kesesatan yang mereka pelajari.
Manakala di dalam ayat seterusnya Allah SWT berfirman:
Dan telah dikumpulkan untuk Sulaiman bala tenteranya dari Jin dan manusia dan burung-burung, dan semua mereka diatur. (An-Naml: 17)
Menurut Tafsir al-Azhar karangan Prof.Dr Hamka, beliau menyatakan bahawa pangkal ayat 17 ini adalah berkait rapat dengan ayat 16 sebelumnya.
Iaitu segala kelengkapan bala tentera dan perajurit adalah sangat diperlukan, maka Allah SWT mengurniakan kelengkapan tersebut bagi kerajaan Nabi Sulaiman AS. Bala tentera itu termasuklah tentera ghaib, tentera udara dan tentera biasa.
Tentera ghaib terdiri daripada golongan Jin, manakala tentera udara ialah burung dan tentera biasa pula ialah burung.
Ahli Tafsir Mujahid berkata: “Tiap-tiap kelompok itu mempunyai pengatur sendiri, sehingga tidak diganggu antara satu kelompok dengan kelompok yang lain.”
Maksudnya yang boleh kita fahami dari penafsiran di atas ialah barisan bala tentera Nabi Sulaiman AS itu mempunyai ketumbukan yang sistematik, ianya diketuai oleh panglima perang dalam sesuatu kelompok. Susunan strategik inilah memberi impak kemenangan yang besar dalam peperangan, baik dahulu mahupun kini.
Inilah kehebatan mukjizat kurniaan Allah SWT kepada Nabi Sulaiman AS, setelah mampu memahami komunikasi beburung, diberikan pula kelebihan menyusun bala tentera dari kalangan Jin, burung-burung dan manusia.
Hingga apabila mereka telah sampai di lembah semut, berkatalah seekor semut: “Hai sekalian semut-semut! Masuklah kamu sekalian ke dalam sarang-sarangmu, supaya kamu jangan dihancur leburkan oleh Sulaiman dan bala tenteranya, sedang mereka tidak merasakan. (An-Naml: 18)
Seekor semut lantas berteriak mengkhabarkan kepada kelompok semut bahawa mereka perlu berwaspada dengan kehadiran gerombolan angkatan tentera Nabi Sulaiman AS, jika tidak pasti akan diinjak kaki-kaki mereka. Sesungguhnya mereka tidak sedar akan adanya kelompok semut diperlembahan itu.
Tafsiran ayat yang ketiga ini pula menunjukkan kepada kita bahawa Nabi Sulaiman AS turut memahami komunikasi bahasa semut walaupun ianya bersaiz kecil. Namun begitu, baginda tetap sahaja menyatakan syukur ke hadrat Ilahi atas kurniaan yang berlipat kali ganda hebatnya.
Fenomena Sejadah Berdiri
Sengaja saya selitkan kisah-kisah Nabi Sulaiman AS di atas bertujuan agar kita mengambil ibrah dan iktibar bahawa setiap kejadian pelik yang berlaku dahulu, mahupun kini adalah TIDAK MUSTAHIL bagi Allah Ta’ala.
Berbalik kepada kisah sejadah berdiri yang disiarkan media tempohari, ia juga adalah tidak mustahil bagi Azza Wajalla. Namun, suka untuk saya nasihatkan kepada para penonton dan pembaca sekalian, perkara pertama apabila menerima sesuatu berita harus diselidiki kesahihan berita tersebut. Tambahan pula dewasa ini begitu banyak khabaran fitnah melata di muka bumi tanpa mampu dibendung lagi.
Perlu diingat, fenomena sejadah berdiri seperti itu murid sekolah rendah juga mampu lakukan!
Dan mungkin juga ianya bertujuan menyedarkan umat Islam yang kerap lalai menunaikan kewajipan solat fardhu lima waktu.
Boleh Terpesong Akidah
Ya, akidah boleh terpesong seandainya kita beriktikad sesuatu itu ada hubungkait dengan perkara mistik (syaitan) dan terlampau mengagung-agungkannya. Mungkin kita pernah melihat manusia yang memuja busut, kuburan, pokok dan sebagainya semata-mata kerana mempercayai objek itu mampu membawa tuah kepada kehidupan seharian bukan?
Jelasnya, kesemua itu boleh mengundang kecelaruan akidah dan dibimbangi terjatuh ke lembah kesyirikkan yang dimurkai Allah SWT.
Cukuplah sekadar kita melihat sesuatu keajaiban itu dengan lafaz Subhanallah tanpa sedikit pun menyandarkan selain Allah SWT.
Usah biarkan hidup anda diselubungi TAKLID BUTA!
1:06 PM, 26 Oktober 2009,
Simpang 3, Kupang.




Salam,
Kalau sejadah terbang tu baru betul2 ajaib. Zam zam ala kazam tu hehe.
Taklid buta betul2 celaru.
Khairi´s last blog ..QC
(Quote)
Like or Dislike:
0
0
Salam,
Kalau ada sejadah terbang, tak payahlah saya beli tiket terbang ke Mesir ye..
(Quote)
Like or Dislike:
0
0
salam ustaz…pelik juga bebenda camni dpt liputan meluas & mcm2 org yg terpegun sedangkan Al-Quran itu dah tentu-tentu mukjizat yg nyata…tak pula diorang nak berikan liputan atau yg penting sekali dijadikan ikutan….wallahualam.
(Quote)
Like or Dislike:
0
0
Salam,
Nak buat macamana, al-Quran hanya dipertandingkan di majlis tilawah saja.. kasihan.
(Quote)
Like or Dislike:
0
0
assalamualaikum ustaz,
saya juga punya pendapat yang sama tentang berita akhbar berdiri ini. terkadang kita terlalu menggembar gemburkan sesuatu yang belum pasti kesahihannya. tapi bagus lah kalau ianya diambil sebagai satu ingatan tentang kekuasaan Allah. apa pun, artikel yang baik!
puding caramel´s last blog ..if tommorow never comes
(Quote)
Like or Dislike:
0
0
salam..
setuju dengan akak puding caramel..ustaz saya pun ada nasihatkan perkara yang sama..taklid buta memang bahaya..
pencinta bahasa´s last blog ..
(Quote)
Like or Dislike:
0
0
salam…setiap kajadian yang berlaku pasti ada hikmahnya.. mungkinkah itu adalah peringatan kepada umat islam tentang kewajipan menunaikan ibadat solat 5 waktu? sama2 kita renungkan…selamat beramal
(Quote)
Like or Dislike:
0
0
“Namun, suka untuk saya nasihatkan kepada para penonton dan pembaca sekalian, perkara pertama apabila menerima sesuatu berita harus diselidiki kesahihan berita tersebut. Tambahan pula dewasa ini begitu banyak khabaran fitnah melata di muka bumi tanpa mampu dibendung lagi.”
“Jangan biarkan hidup anda diselubungi TAKLID BUTA!”
Saya suka 2 ayat pesanan ustaz ni.. Kebetulannya, sebelum ni, saya ada baca surah al-Hujuraat, ayat 6, di mana Allah berpesan kepada manusia, dalam hal ni, yang maksudnya sama seperti yang ustaz pesan.
Sama-sama la kita berdoa, supaya masyarakat kita berubah supaya memahami Islam.. Amien..
(Quote)
Like or Dislike:
0
0
Itulah, kebanyakan org kita suka sgt menggembar gemburkan sesuatu perkara, yg belum pasti kesahihannya. Berita2 macam tu selalunya bermusim. Ramai yg suka bercerita perkara2 yg semacam aneh, tp jarang yg ambil iktibar di sebaliknya.
K kin´s last blog ..Cerita Pari-pari Gigi
(Quote)
Like or Dislike:
0
0
Salam Farid,
Lintasan pertama bila tahu tentang cerita ini, hati kak su berdetik… “Setiap benda yang wujud di dunia ini memang berzikir pd Allah, walaupun tak pernah di dengari dan ditunjukkan…. manusia? Masih ada yang leka. Menyebut nama Allah pun tidak, sujud apatah lagi.”
Moga ingatan kita sentiasa bertaut padaNya Yang Satu.
suara´s last blog ..Impian kecil…
(Quote)
Like or Dislike:
0
0