Header image

Merungkai Permasalahan Qadha’ dan Fidyah Ramadhan

Posted by Farid Rashidi in Fiqh Islami | Wacana Ilmiah

“Boleh tak tolong terangkan dalam blog tentang fidyah bulan Ramadhan.” Tanya seorang blogger inginkan kepastian.

“Insya’Allah..” Jawab saya ringkas. Tidak mahu memberikan jaminan memandangkan ketika itu saya tidak mempunyai masa untuk menulis tentangnya.

“Saya nak tahu pasal cupak fidyah yang wajib dibayar jikalau tinggalkan puasa Ramadhan..” Persoalan yang telah lama tertangguh untuk dijawab.

Qadha’ dan Fidyah Ramadhan

Qadha’ adalah berasal daripada kalimah Arab yang bermaksud tunaikan ataupun bayaran. Dengan kata lain, mengqadha’ diertikan sebagai menunaikan sesuatu yang tertangguh.

Manakala Fidyah pula ialah bermaksud tebusan, atau penebus sesuatu. Kadar fidyah yang wajib dibayar ialah satu cupak (bersamaan 600 gram) makanan asasi untuk satu hari yang ditinggalkan.

Berkenaan masalah fidyah bulan Ramadhan, perkara ini tidak akan wujud sekiranya tidak ada yang meninggalkan puasa dengan sebab-sebab tertentu. Sebab-sebab itu tidak termasuk masalah haid dan nifas yang dialami wanita. Bagi wanita yang datang haid ataupun nifas di siang hari wajib diqadha’kan sahaja puasa itu.

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a:

Rasulullah SAW bersabda tentang wanita dan Baginda telah ditanya sebab kurangnya agama bagi wanita: Baginda menjawab: “Bukankah apabila dia sedang haid dia tidak sembahyang dan puasa?”

Orang Sakit dan Orang Bermusafir

Perkara yang dimaksudkan dengan sebab-sebab tertentu itu termasuklah bagi mereka yang sakit dan bermusafir, maka diwajibkan untuk qadha’ puasa sebelum menjelang Ramadhan akan datang. Sekiranya dia sengaja melewatkan qadha’ sehingga bertemu Ramadhan maka berdosa hukumnya, dan wajib baginya untuk qadha’ dan membayar fidyah.

Manakala bagi pesakit yang tidak sembuh sehingga bertemu Ramadhan seterusnya tanpa sempat mengqadha’ puasa terdahulu maka tidak diwajibkan untuknya membayar fidyah. Dia hanya perlu qadha’ puasa yang ditinggalkannya sahaja.

Hal lain berkait rapat dengan masalah ini ialah:

1. Sekiranya dia tidak sempat (tetapi tidak mengambil mudah urusan puasa wajib) untuk mengqadha’kan puasanya lalu meninggal dunia sebelum atau selepas mampu untuk menunaikannya, maka dia tidak berdosa dan tidak perlu meminta pihak lain menggantikan puasanya.

2. Seandainya dia mati selepas mampu menunaikan qadha’ maka disunatkan pihak waris, kaum kerabat ataupun wali menggantikannya.

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Ibnu Abas r.a:

Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW. Katanya: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya ibuku telah mati dan dia meninggalkan satu bulan puasa, apakah aku perlu mengqadha’kannya bagi pihaknya?” Jawab Baginda: “Ya, hutang Allah lebih berhak untuk dijelaskan.”

Hadis di atas menunjukkan bahawa perlu pihak kaum kerabat menggantikan puasa bagi si mati. Sekiranya ada pihak lain (baca: selain keluarga) mahu menunaikan hutang puasanya yang tertunggak maka dibolehkan dengan syarat mendapat keizinan pihak keluarga.

Pesakit Yang Tiada Harapan Untuk Sembuh Dan Orang Yang Terlalu Tua

Telah diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Ibnu Abbas r.a mengenai ayat al-Quran yang bermaksud:

“Dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah dengan member makan orang-orang miskin.” (Al-Baqarah: 184)

Ibnu Abbas r.a menyebutkan bahawa ayat ini merupakan rukhsah (keringanan) bagi lelaki dan wanita yang terlalu tua, mereka berbuka kerana tidak mampu berpuasa. Mereka hendaklah memberi makan kepada seorang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan.

Perempuan Hamil dan Menyusukan Anak

Begitu juga bagi wanita yang hamil dan menyusukan anak. Sekiranya dia berbuka kerana bimbangkan kesihatan dirinya maka dibolehkan berbuka dan wajib pula ke atas dirinya mengqadha’ puasa yang ditinggalkan sebelum datang Ramadhan berikutnya.

Manakala jika dia berbuka kerana bimbangkan berlaku keguguran terhadap anaknya, ataupun kerana bimbangkan kekurangan susu sekiranya dia berpuasa maka hendaklah dia mengqadha’kan puasanya dan membayar fidyah secupak makanan asasi setiap hari yang ditinggalkan.

Semoga sedikit sebanyak huraian yang dikutip dari kitab fiqh muktabar di kalangan mazhab Syafie’ ini merungkaikan kekusutan di benak minda yang bertanya.

Wallahua’lam.

1:01 PM, 7 September 2009
09200, Kupang.


You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 You can leave a response, or trackback.

16 Responses



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge