Header image

Permulaan Di Tanahair

Posted by Farid Rashidi in Bicara Semasa | Diari Penulis

Pesawat Egyptair terbang membelah awan dan langit biru. Lapisan awan itu kelihatan membentuk gumpulan-gumpulan besar seakan seekor raksasa besar yang terapung. Pesawat terus merentasi benua India menuju ke daerah Asia Tenggara setelah mendarat di perhentian Airport Mumbai.

Kerlipan neon jingga mewarnai bumi Malaysia dari kejauhan. Saya merenung panorama malam di sebalik tabir kaca tebal. Tertera di skrin hadapan bahawa suhu udara di luar pesawat telah menurun ke paras 15°C -17°C berbanding ketika melalui benua timur tengah dan India yang mencapai angka -50°C. Suhu yang mampu mematikan manusia serta merta tanpa perlu kepada permulaan simpton!

Di sebalik awan malam yang berlindung pada paras ketinggian 8000M, fikiran saya sedikit terganggu. Dada berdebar-debar memikirkan hari-hari mendatang di tanahair sendiri. Asakan tekanan udara pesawat yang semakin rendah menambahkan lagi debaran selama 13 jam perjalanan di udara.

Terbayang-bayang wajah keluarga, masyarakat, kampung dan umat Islam Malaysia. Adakah mereka semua telah berubah? Bagaimana pula dengan kebejatan sosial yang tak pernah berkurang?

Itu lebih mendebarkan saya berbanding terbang di awan nan meninggi.

Ketibaan Di KLIA

Sejak mendarat di Aiport Mumbai lagi saya telah mengenakan penutup muka demi mengelakkan penyakit yang dikatakan telah menular ke atmosfera Malaysia melalui udara. Segala ketentuan saya serahkan kepada Allah SWT semata. DIAlah yang berhak menghapuskan, mendatangkan sebarang penyakit kepada manusia. DIA juga yang mampu mengelakkan bala dari tangan-tangan jahat manusia dan Jin.

“Bismillahhi tawakkal tu Allah..” Bisik saya sendiri.

Saya bersama dua orang rakan yang turut pulang ke tanahair terus menaiki tren menuju ke ruang bagasi. Turut bersama kami ialah jemaah yang telah menunaikan umrah di Tanah Haram, mereka singgah sebentar di Mesir bagi menghabisi pakej umrah dan pelancongan yang turut tersedia.

Apa yang boleh saya sebutkan di sini ialah, karenah imegresen dan protokol di KLIA adalah lebih mudah berbanding ketika berada di Airport Mesir. Kami terpaksa menghadapi 4-5 sekatan dan scan oleh pegawai keselamatan di sana. Merumitkan!

“Ya Mister, maugud barakah hena!” Kata pegawai keselamatan Mesir sewaktu melepasi pemeriksaan pertama. Beg kargo saya hampir terburai diselongkar mereka kerana mengandungi pil Habbatus Sauda’ (Pil Barakah). Mujur berjaya dilepasi setelah membayar denda yang dikenakan.

Mujur berat kargo 65kg saya (mengikut timbangan asal, tidak melebihi 40kg sahaja) terlepas setelah puas berbincang. Alhamdulillah.

Kami terus melangkah perlahan sambil tangan menolak troli ke tempat tetamu menunggu. Mata tertancap pada seorang insan yang telah lama dikenali. Ayah.

Saya terus menerpa ke arah ayah yang sedang berdiri di sebalik pagar besi. Memeluk seerat mungkin.

“Nampak kurus ayah lani..” Saya menyapa.

Ayah hanya tersenyum.

“Ayah datang sorangka?”

“Tak aih, tu ada adik beradik ayah mari sama.” Saya terus memandang ke arah keluarga yang dimaksudkan ayah.

“Terima kasihlah tolong datang ambil..” Ucap saya kepada Kak Bidah.
Dia juga hanya sekadar tersenyum.

Setelah Tiga Tahun

“Nampak berisi ya lani..” Kata Nenek sewaktu saya melawat rumahnya. Atok terbaring tidak boleh berdiri. Matanya bengkak akibat penangan serangan sakit strok dan darah tinggi. Sebelah badannya lumpuh.

“Biasalah, kat sana makan sikit je. Tapi dia punya makanan berkhasiat. Macam roti dan susu..” Jawab saya.

Seperti sangkaan saya pada entri lepas, sememangnya wajah ibu bapa, adik-beradik dan kampung saya telah berubah. Proses asimilasi yang begitu pantas berlaku. Dahulu masih hidup beberapa ‘orang lama’ kampung, namun kini mereka sudah pergi diganti generasi baru yang tak dikenali. Adik-adik juga sudah membesar dan berubah saiz tubuh badan.

Minggu ini adalah minggu perubahan suasana, cuaca, masa dan persekitaran buat saya. Entri ini hadir mengisi kekosongan setelah seminggu Faridrashidi.Com tidak muncul dengan artikel baru. Insya’Allah, sedang saya usahakan pemasangan internet ke rumah.

“Malam ni minta jadi Imam terawih ya..” Pelawa Ustaz Zakaria. Permulaan kepada sesuatu yang besar sedang menanti.

Selamat berpuasa dipertengahan Ramadhan!

4:18 PM, 1 September 2009,
09200, Kupang.


You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 You can leave a response, or trackback.

44 Responses



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge