Header image

Al-Fatihah Buat Ustaz Asri Rabbani

Posted by Farid Rashidi in Bicara Semasa | Tazkirah

Kenderaan pengangkutan jenis peugeot membawa kami terus bergerak laju menuju ke destinasi. Destinasi persinggahan pertama kami ialah Mansurah.

Memandangkan tidak sempat untuk melayari internet di rumah. Saya cuba ‘on’kan internet di telefon bimbit untuk mengakses ke laman web dan Yahoo Messengger. Lalu cuba untuk melayari laman sesawang sosial Facebook.

“Al-Fatihah buat Ustaz Asri Rabbani yang telah meninggal dunia pagi ini..” Terpapar skrin di status beberapa orang teman mengejutkan kolong jiwa.

“Allahhu Rabbi!” Hati terkejut seakan tidak percaya.

“Ustaz Asri vokalis Rabbani dah meninggal dunia pagi tadi..” Saya cuba beritahu kepada Husni yang duduk di kerusi tengah kereta.

“Yakah?” Dia seakan tidak percaya. Saya juga begitu.

Saya cuba untuk mencari maklumat lain bagi mentakkidkan lagi berita tersebut. Namun tidak berjaya kerana simkad telefon bimbit saya diblock akibat tersalah tekan nombor PIN.

Fikiran terus menerus melayang mengenangkan lagu-lagu dan riwayat hidup beliau. Walaupun tidak mengenali secara dekat, namun lagu nyanyiannya semenjak era Nadamurni telah melekat di dalam nubari sedari kecil lagi.

Hati bertambah sedih apabila lagu mp3 munajat, ibu mithali dan bila nur melimpah di hati nyanyian beliau berputar menerobos ke ruang gegendang telinga. Syahdu. Perjalanan ke Mansurah dan Port Said itu mengembalikan nostalgia silam.

Pergi Tak Kembali

Pernah di suatu petang saya memainkan kaset lagu nyanyian Allahyarham Ustaz Asri bertajuk ‘Pergi tak kembali’ dan pada ketika itu ayah saya turut mendengarnya. Selang beberapa ketika, ayah menyuruh saya memberhentikan lagu itu. Katanya sedih.

“Kenapa ayah?” Saya cuba mencari kepastian.

“Tak boleh dengar, jadi sedih sebab penyanyinya dah meninggal.” Jawapan itu membuatkan saya kebingungan seketika.

“Eh, berita semalam tu bukan Ustaz Asri yang meninggal tapi ahli kumpulan Hijjaz yang meninggal dunia.” Rupa-rupanya ayah tersalah faham. Pada hemat beliau, Ustaz Asri yang meninggal dunia ketika itu.

Ayah saya turut mengenalinya kerana ketika berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia dahulu, ayah pernah menghadiri konsert Rabbani secara live. Malah ayah turut membelikan album lagunya untuk dihadiahkan buat kami sekeluarga.

Pernah beberapa kali Rabbani datang membuat persembahan di daerah kampung saya dan ayah tidak segan membawa saya mendengar alunan merdu suara Ustaz Asri bersama percussionist yang begitu mempersonakan halwa telinga. Apa yang pasti, lagu kumpulan itu mampu memberikan sentuhan iman mengagungkan keesaan Allah SWT.

Terutamanya lagu ‘Munajat’ dan ‘Subuh yang terakhir’.

Namun kita segalanya sudah menjadi album kenangan. Kenangan yang tersusun di rak kaset dan CD koleksi peribadi saya dahulu dan kini. Paling terbaru ialah lagu berjudul Nostalgia Nadamurni 2009.

“Lepas ni Rabbani terkubur dahla.. takpun dia cari pengganti lain.” Kata seorang sahabat ketika dalam perjalanan kembara.

“Susah nak cari pengganti macam dia terutamanya keunikan suaranya ala-ala taranum..” Sambung saya.

“Tapi di Kusza dulu ada seorang pelajar yang jadi vokalis nasyid.. Dia anak buah Rabbani.. Suara dia serupa macam Ustaz Asri, nama dia Is.” Balas beliau.

“Ya.. betul..” Saya cuba mengingat kembali konsert yang pernah berlangsung di Dewan Utama Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) beberapa tahun yang lalu.

Subuh Yang Terakhir

Subuh yang terakhir buat beliau. Lagu ini tersangat memberi kesan mendalam ke dalam lubuk hati para pendengar yang menghayati liriknya. Ianya memberi peringatan yang jelas bahawa manusia tidak mengira tua mahupun muda pasti akan kembali menghadap Pencipta.

Usianya baru menjejak 40, namun itu tidak menjamin akan terhalangnya aturan Allah SWT menghadirkan malaikat Izral mencabut nyawa.

“Astaghfirullahhal Azim. Allahhumma barikna fi syahri sya’ban, wa balighna Ramadhan..”

Ayuh teman, di bulan Sya’ban dan di ambang Ramadhan ini marilah sama-sama kita perbanyakkan taubat dan tafakur atas segala kesilapan lalu dan mendatang. Gandakan ibadat, sifarkan maksiat Insya’Allah.

Segugus Al-Fatihah buat Allahyarham Ustaz Asri, semoga diberi ganjaran olehNYA sebagai salah seorang pejuang agama Allah SWT. Mari baca cebisan liriknya.

Bilakah kali yang terakhir kau ucapkan sayang
Pada insan yang setia berkongsi susah dan senang
Luahkan isi hati, andainya sudah ditakdir
Tadi subuh yang terakhir
Bila berdekatan kadangnya makin kita leka
Bila bejauhan barulah merindu didada
Selagi berkesempatan ucapkan terima kasih
Andai esok takkan hadir.


4:52 Am, 14 Ogos 2009,
Siberbay, Tanta.


You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 You can leave a response, or trackback.

27 Responses



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge