Header image

Kita Sudah Tersesat Jalan!

Posted by Farid Rashidi in Diari Penulis | Jejak Kembara

Persimpangan jalan utama Mahattah Taki kelihatan sesak. Ianya terletak seberang jalan menuju ke bangunan Asrama Rumah Melayu Abbasiyyah (ARMA). Jalan itu merupakan antara jalan utama untuk menuju ke Universiti dan Masjid Al-Azhar yang terletak di Hussein.

Saya bersama seorang teman terpacak berdiri menanti di pinggir jalan menuggu bas yang akan ke Hayyu Asyir. Sesekali resah memercik, gusar berombak di bidang dada. Mana tidaknya, kami berdua baru sahaja sampai ke Mesir beberapa bulan yang lalu. Masih mentah untuk mengerti selok belok jalan di kota seribu menara ini.

“Tunggu sajalah di Mahattah Taki, kemudian nanti kalau nak balik ke Hayyu Asyir naik ja bas yang ada tulis nombor 33 ..” Pesan senior lama yang tinggal di bangunan asrama rumah Kedah Hayyu Asyir.

“Ish payah nak ada bas time ni nampaknya..nampak sesak betul orang.” Saya mula mengomel sendiri.

Seorang lagi rakan yang turut berurusan untuk memohon zakat kelihatan menahan sebuah teksi hitam putih itu. Katanya dia mahu Hayyu Sabi’. Maka tinggallah kami berdua di persimpangan jalan menanti dan terus menanti.“Poonn!!Pennn!! Asyirr..asyirrr!!” Teriak pemandu van memanggil penumpang berselang seli jeritan hon kenderaan.

“Jomm Jufri, tu nampak macam van ke Asyir..” Ajak saya sambil berlari-lari mendapatkan van yang siap menunggu di kaki jalan.

“Asyirr?” Tanya saya.

“Aiwah, asyirr..” Jawabnya sambil memanggil kami naik.

Saya mengambil tempat di posisi belakang sekali. Jufri juga sebari saya dibelakang. Cuba bersandar sambil menarik nafas kelegaan setelah berpenat lelah menanti bas yang tak berkunjung tiba. Pada hemat saya, kami sudah bertemu van yang betul menuju ke Hayyu Asyir.

Van terus meluncur laju membelah jalan besar empat lorong. Bola mata melilau melihat ke mana tujuan sebenar van. Sign board anak panah menuju ke Hayyu Asyir sudah dilepasi. Dada sekali lagi berdebar tidak keruan.

11

“Ishh, van ni kata nak ke Asyir..tapi kenapa dia tak masuk lorong laluan ke sana. Biasanya bas akan belok ke kanan masuk ke lorong tu..” Saya termenung sejenak berfikir dan mengingat.

“Ahh, mungkin ini jalan lain kot..” Cuba bertenang untuk mententeramkan jiwa.

Bayaran duit tambang sudah kami selesaikan. Menurut penumpang yang lain, jikalau mahu ke Asyir tambangnya dalam LE1 sahaja.

Saya cuba melontarkan pandangan keluar tetingkap van. Kelihatan luas terbentang padang pasir kuning keemasan tanpa seberang warna hijau menghiasi. Sesekali angin menerbangkan bersama pepasir hinggap membedaki muka.

Hati masih tertanya-tanya adakah benar ini laluannya ke Hayyu Asyir?

Tersesat Jalan

“Jufri, betulke jalan ni?” Saya terus mengajukan soalan bila kenderaan semakin lama semakin jauh menuju ke destinasi yang tidak diketahui.

“Ishh, tak taulah..”

“Haah sudah, sesat jalan dah ni..”

Secara tiba-tiba dada kembali berombak kencang. Saya jadi tak tentu arah. Kelihatan seorang mak cik duduk di hadapan kami. Saya cuba bertanya.

“Van nak ke Asyirkah?” Tanya saya kepastian.

“Ya, ke Asyir..”

Sejurus kemudian kami sampai di sebuah perhentian kenderaan yang agak luas. Beberapa deretan van putih siap sedia untuk disewa. Saya tidak pasti di mana kedudukan kami.

“Sini Asyir..” Kata mak cik tadi. Lalu segara turun dari van. Pemandu van kehairanan melihat gelagat kami.

Saya terpinga-pinga. Kaki terpaku, mulut terkunci kebingungan.

“Aduh..sini bukan Hayyu Asyir!” Saya berkata sendiri.

“Kita sesat dah ni Juff..camna?”

Jufri juga seakan-akan sudah kelu. Kami saling berpandangan sesama sendiri.

Van kembali bergerak meneruskan perjalanan. Beberapa penumpang naik turun bersilih ganti. Hanya tinggal kami sahaja yang seakan-akan kehilangan punca.

Sekumpulan wanita berketurunan kulit hitam menegur kami yang seakan gelisah. Sememangnya saya sudah seperti cacing kepanasan. Saya cuba sembunyikan perasaan gelisah yang sudah sampai ke kemuncaknya.

“Kami nak ke Hayyu Asyir..” Jawab saya.

“La..la’a..Hayyu Asyir mush hena..” Jawapan itu sudah saya jangkakan.

Kami tersesat jauh ke perkampungan padang pasir yang menguning. Hanya kelihatan sebuah pekan kecil terletak ditengah-tengah sahara itu. Saya menyuruh Jufri ke depan bertanya pemandu ke mana hala tujunya.

“Enta raahh finn?!” Dia bertanya dengan nada menengking. Suara pemandu itu membuatkan dada saya terus berdebar-debar. Peluh sejuk memercik membasahi dahi.

“Kami nak ke Hayyu Asyir..” Jawab Jufri tergagap-gagap. Saya hanya memerhati dari belakang.

“Kenapa kamu tak cakapp? kenapa tak cakap nak ke Hayyu Asyir??!” Suaranya langsung mematikan perbualan. Kami sudah tidak ketahuan.

Van akhirnya berhenti di penghujung jalan. Penghujung pekan kecil yang ‘pelik’. Mujur ada penumpang yang menyuruh kami segera berpatah balik.

“Kalian tunggu di sini, nanti akan ada van yang ke sana..” Pesan penumpang itu. Kami terus menyeberang jalan sebagaimana saranan beliau.

Masyarakat arab di situ masing-masing memandang pelik kehadiran kami berdua. Mata-mata ganjil memerhati di sekeliling membuatkan saya rimas. Terasa bagai alien yang baru terjatuh ke bumi dibuatnya. Sedang saya cuba mendail handphone. Tiba-tiba muncul dua orang gadis arab. Gadis itu menyergah ke muka saya. Tidaklah saya tahu adakah sergahan itu adalah sejenis salam atau apa. Apa yang pasti, saya tidak mengendahkan lagi sebarang gangguan. Tangan cepat-cepat mendail rakan yang berada di Hayyu Asyir. Mungkin ini dapat membantu.

“Tuut..tuttt..Helloo..” Talian saya putuskan.

“Masya’Allahh!!” Saya tersilap dail nombor telefon ke Malaysia. Hilang kredit LE5! Bila menggelabah, semuanya seakan tidak kena. Saya kehabisan kredit. Mujur sempat menghantar sms kepada rakan.

“Hangpa tersilap naik tramco. Tu bukan Hayyu Asyir, tapi mawaf Asyir.”Tertera serangkap teks sms yang dibalas rakan di skrin telefon bimbit.

“Waah, macammana ni?”

Saya menyeluk saku. Hanya tinggal berbaki beberapa LE sahaja yang tinggal.

“Jufri, enta ada duit tak? nak buat tambang ni..” Saya bertanya kepada Jufri yang sedang ralit memerhati van yang lalu lalang.

“Ana takda duit dah ni..ada LE1 je.”

“Ahh sudahhh, dua tiga kali ujian menghempap diri..” Saya tak mampu berkata apa-apa lagi. Hanya berserah segalanya kepada Allah SWT. Tawakkal segalanya.

Saya terdiam. Kelu. Gelisah. Takut. Perasaan sudah seakan rojak yang digaul sebati. Tak terungkap lagi dengan kata-kata. Mata melirik ke arah sekeliling. Kelihatan beberapa lelaki arab turut menunggu van. Di belakang tempat kami berdiri kelihatan beberapa gerai menjual buah-buahan. Kereta dan van berjalur biru ke hulur ke hilir. Saya sempat membaca tulisan yang tertera di atas van.

“Jufri, kita tahan van yang ke Abbassiyyah!” Saya hanya mampu berfikir untuk ke tempat yang pernah di dengari. Beberapa bulan tiba di Kaherah saya hanya tahu beberapa tempat sahaja. Abbasiyyah, Hayyu Sabiek, Ramsis, Abbassa Qad dan Hayyu Asyir.

Sebuah van berbelang biru persis kuih talam berhenti setelah ditahan. Kami berlari-lari anak menuju ke van tersebut. Berebut-rebut dengan masyarakat arab Mesir. Siapa cepat dia dapat!

Van terus meluncur laju menuju ke Abbasiyyah. Hati yang berkocak deras sudah sedikit tenang. Sudah mampu menguntum senyuman mesra. Namun ia belum mampu menyelesaikan masalah kekurangan wang tambang yang sedang dihadapi.

Saya terus bertawakkal semoga segalanya berjalan lancar.

Akhirnya van berhenti di sebuah persimpangan. Ianya terletak di bawah jambatan yang sesak dan padat dengan manusia pelbagai ragam.

“Abbasiyyah?” Saya bertanya seorang lelaki arab.

“Na’am..” Jawabnya.

Kami segera turun. Fikiran saya berputar-putar mencari petanda untuk ke Hayyu Sabi’. Kelihatan seorang lelaki arab sedang berdiri di celahan sesak manusia. Kemas berpakaian dan nampak siqoh.

“Macammana kalau kami nakke Hayyu Sabiek?” Soal saya tersekat-sekat. Tutur kata bahasa arab ammiyah belum lancar sepenuhnya memandangkan ianya seolah-olah bahasa baru untuk kami pelajari di sini.

“Kamu ke seberang jalan dan tunggu sebelah sana.”

“Jom Jufri, kita ke seberang!” Saya mengajak Jufri yang terpinga-pinga. Saya tahu dia juga gelisah berdebar-debar sebagaimana perasaan saya.

Jufri menghampiri seorang Polis berpakaian hijau merah yang sedang mengawal lalu lintas. Saya tidak pasti apa beliau tanya kepada Polis. Kaki terus melangkah letai bergontaian. Keletaian otak, dan badan yang tak terkata.

“Hayyu Sabiii’! Hayyu Sabiii’!!” Jerit konduktor van membuatkan hati saya kembali berbunga-bunga. Resah selama 3 jam seolah-olah terbang melayang ke udara. Gementar yang menyelebungi sudah larut ditengah-tengah ripuh suara manusia.

Kami segera menaiki van itu ke Hayyu Sabi’. Wang saya cukup-cukup untuk bayar tambang kami berdua.

Setibanya di Mahattah Hayyu Sabi’ berdekatan Restoran Abu Romi. Saya menarik nafas lega. Syukur tak terhingga kepada Allah SWT yang membuka jalan kepada kami setelah sesat berjam-jam diperjalanan tidak berpenghujung.

“Alamak, macammana kita nak balik Hayyu Asyir ni Jufri? duit ana dah habis..” Saya bertanya setelah turun di simpang empat Mahattah Hayyu Sabi’.

“Tak pa, tunggu kejap..” Saya terus berpaling dan menghampiri seorang Ustaz yang sedang berjalan kaki. Sejujurnya saya tidak begitu mengenali siapakah Ustaz ini. Tetapi memandangkan keadaan sudah darurat, saya terpaksa menebalkan muka untuk meminta sedikit tambang kepadanya.

“Ustaz, ana nak pinjam LE1..dah kehabisan tambang nak balik Asyir..” Minta saya selamba.

“Ambiklah..takpa..takpa, sedekah.” Dia menghulurkan sekeping duit kertas LE1 kepada saya sambil tersenyum. Lalu meminta izin untuk pergi. Katanya mahu menghadiri Talaqqi.

“Syukran!” Saya jadi malu tersipu-sipu.

2

Fajar senja sudah berwarna jingga di ufuk barat. Lampu-lampu jalanan mula menyimbahkan cahaya tanda siang bertukar menjadi kelam malam. Kami bergerak pulang ke perkarangan asrama Hayyu Asyir dengan puji syukur tidak terhingga. Cukuplah pengalaman sesat di tanah orang itu menjadi pengajaran berharga buat diri. Bersyukur kerana berjaya kembali ke asrama rumah Kedah (MKKK) dengan selamat.

Apa yang pasti, memori 3 tahun lalu itu masih segar bermain di kotak minda. Sepatutnya perjalanan selama 1 jam sahaja dari Arma ke Hayyu Asyir tetapi ianya menjadi 5 jam buat saya dan Jufri!


6:56 PM, 14 Jun 2009,

Siberbay, Tanta.

You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 You can leave a response, or trackback.

42 Responses

  • awrapurnama says:

    alhamdulillah.. smg dpt ibarah buat yg blm ke luar ngra.. lucu pun ad.. :)

    ‘Perasaan sudah seakan rojak yang digaul sebati’

    ‘Sebuah van berbelang biru persis kuih talam’

    2 ayat gaya simile yg bgus.. :)

      (Quote)

  • Tronx013 says:

    salam..

    Kesesatan,tersesat, menyesatkan dan disesatkan adalah perkara yang berbeza asal daripada perkataan yang sama iaitu sesat..Semuanya berpunca daripada hilang pedoman atau petunjuk ke arah kebenaran.

    Pengajaran diambil ialah jangan malu bertanya, kena peka dan sentiasa ingat jalan. Peringatan buat diri ini yang sememangnya sukar menghafal jalan dan tempat walaupun di tempat sendiri… hehe Kawan saya pernah cakap pada saya, “Nota yang susah pun boleh hafal, tempat atau jalan ke destinasi tertentu pun susah nak hafal?” Apa boleh buat, otak saya ini susah menghafal jalan…

    Pengalaman atau masalah itu adalah suatu ilmu dan nikmat untuk difahami.. :)

      (Quote)

    • Farid Rashidi says:

      Salam,

      Saya rasa sebab tajuknya seperti bunyi menakutkan itu yang ramai tak berani nak komen atau baca barangkali :) atau akhi ada pendapat?

      Point saya menulis cerita di atas, pertamanya kita perlu selalu bersiap sedia sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Termasuklah menyediakan persiapan. Kedua, malu bertanya sesat jalan. Maka selalulah bertanya. Ketiga ialah, perlunya menguasai bahasa sesuatu tempat supaya memudahkan urusan.

      Mungkin enta kuat mengingat perkara lain :)

        (Quote)

      • Tronx013 says:

        salam,

        …mmm.. pada pendapatnya,tajuk kali ini, direct kan.. mungkin cuti sekolah dah habis, jadi pembaca daripada kalangan guru susah nak beri komen dan baca juga. Manakala, peljar universiti tempatan(Malaysia) sedang bercuti , internet di rumah belum pasti ada. Ditambah aktiviti cuti yang mungkin agak penuh. Walau apa pun yang berlaku, mereka yang kenal pasti tidak akan melupakan..inshaAllah.

        Yup, banyak juga yang kena pelajari dalam menghadapi hidup di dunia…
        mm… inshaAllah berusaha mempelajri peta Johor.hehe.. :)

        p/s- gambar kedua di atas tu, kenapa mengatakan ‘awan tak selalu berwarna biru’,kenapa tak langit yang tak selalu bewarna biru? adakah awan juga diibaratkan seperti langit? ..maaf bertanya.. :)

          (Quote)

        • Farid Rashidi says:

          Salam Akhi,

          Syukran atas pandangan. Ya, saya sudah jangkakan begitu.

          Aik, enta pun sesat juga ke di Johor? :)

          Gambar kedua? alamak, macammana boleh silap tulis pula. Terima kasih atas teguran.

            (Quote)

  • nohas says:

    Salam…pengalaman adalah guru yg terbaik. Bila terdampar di lautan dalam, kena berusaha berenang ke permukaan. At least, dapat juga jejakkan kaki di ‘pekan kecil yang pelik’ tu, hehe..Apa nama pekan tu, ye?

    nohas’s menulis entri terkini..Rindu Andalusia

      (Quote)

    • Farid Rashidi says:

      Salam,

      Ya, guru yang terbaik. Alhamdulillah.

      Oh, pekan itu ya? saya juga tak tahu apa namanya. Tak sempat nak soal siasat penduduk kampungnya memandangkan tengah menggelabah :)

        (Quote)

  • asyiq says:

    Saya cukup takut kalau sesat jalan….kalau duit dlm poket ada tak pa, kalau tak da lagi parah. Sesat jalan tak pernah…tapi pernah berjam2 terperangkap dalam kesesakan lalu lintas……sakit kepala dibuatnya.! Kalau saya jadi akhi mungkin dh ngalir air mata…hihi.

    asyiq’s menulis entri terkini..Mengapa mereka derita???

      (Quote)

    • Zareda says:

      Apabila tersesat, duit tak ada. HP tiada kredit.. malamng bertimpa timpa itu sebagai ujian. Syukur akhirnya dipermudahkan dan dapat jugak balik ya. Tentu perasaan diuji itu sungguh bermakna kan!

        (Quote)

      • Farid Rashidi says:

        Sangat bermakna, lebih-lebih lagi saya masa tu baru tiba di Mesir. Seperti orang asing tak kenal apa-apa..bahasa juga lintang pukang. Apapun, pengalaman itu sangat berharga.

          (Quote)

    • Farid Rashidi says:

      Biasanya kalau terperangkap dalam kesesakan lalu lintas kerap berlaku di Kuala Lumpur. Tempat lain mungkin ada tapi agak kurang. Kena pula air-cond rosak, tengahari panas terik maunya pengsan dalam kereta :)

      Saya tak fikir pasal airmata lagi…usaha dulu baru airmata kemudian.

        (Quote)

  • leenoh says:

    Salam.
    Datang ziarah, baru baca sebahagian, lain kali sambung.

      (Quote)

  • Tirana says:

    Salam Farid…

    Aduhai kesiannya…

    Sesat di KL ni perkara biasa bagi kak tirana..selalu sesat lebih2 lagi bila ke tempat yang tak pernah sampai…tapi sesat di sini boleh tolerate.. Kalau sesat kat tempat orang..paniknya mungkin berkali ganda..sebab itulah kalau kak tirana ke oversea, jarang kak tirana merayau kalau suami tak bersama..takut sesat..hehehe..

    Tirana’s menulis entri terkini..Peluang dan kesempatan…

      (Quote)

    • Farid Rashidi says:

      Salam,

      Ya, saya masih ingat lagi dulu pernah ke KL dengan ayah. Kami tersesat cari jalan tak jumpa nak keluar. Pusing-pusing jumpa KLCC, 3 kali pusing tempat yang sama. Naik pening.

      Isteri mestilah ikut suami ye tak kak?

        (Quote)

  • kak Tie says:

    Salam…….

    Wah…. kak tie baca ni pun rasa berdebar2… rasa betul2 tersesat bersama farid. Takut pulak! Hi hi….. Syukur…dapat balik ke asrama dengan selamat. Lain kali, sediakan wang lebih… Kak tie kalau nak keluar, mesti sediakan duit emergency. Takut juga bila ada kecemasan.

    kak Tie’s menulis entri terkini..Kisah cuti lagi

      (Quote)

    • Farid Rashidi says:

      Salam,

      Begitu pula ya..agaknya kalau Kak Tie yang sesat tentu lebih berdebar-debar lagi..hehe.

      Entahlah, macammana saya boleh bawa duit kurang masa tu. Tak terfikir pula. Pengajaran berguna.

        (Quote)

  • hajar says:

    salam wbt..tersesat jalan di negara orang, tambah lagi masih baru..sungguh menyeramkan!..tapi itu yang menjadi pengalaman dan pengajaran yang terbaik kerana sekali tersesat, pasti tidak akan membiarkan diri tersesat lagi di kemudian hari..langkah lebih berhati2..persediaan pasti jadi lebih lengkap..insyaAllah

      (Quote)

  • suara says:

    Salam Farid…
    Suami kak su selalu pesan, kalau kemana-mana tempat yg kita tak biasa, belajarlah gunakan ‘kompas rakyat’, iaitu bertanya kepada orang. Kak su nih pemalu gak, berat betul mulut nak bertanya… tu yang dia selalu pesan tu.

    suara’s menulis entri terkini..Rindu Ayah…

      (Quote)

  • atulasca says:

    baik betul ustaz yang sedekahkan duit tu kan…kalau dia xcakap nak sedekahkan mst ust farid akan tersesat kali kedua disitu untuk membayar LE1 nya..:)

    -cantik gambar2 yang ust farid amik kat atas tu..ade edit2 ke? bleh jadi part time photographer ni…

    atulasca’s menulis entri terkini..wahai pendekar tanpa nama [969] selamat datang ke dunia:)

      (Quote)

    • Farid Rashidi says:

      Alhamdulillah, saya sudah pun mengenali Ustaz yang sedekahkan LE1. Orang kedah juga rupanya. Itu cerita mula-mula sampai, maknanya dah kenallah sekarang. Kalau tak sesat juga nak mencarinya ya :)

      Sebenarnya gambar biasa mulanya, saya cuba masukkan sentuhan adobe photoshop untuk menambahkan seri. Ishh..saya baru nak mula join bidang photografi. Tak mahir lagi :)

        (Quote)

      • atulasca says:

        owh..dah kenai…bagus la…tak la tersesat jalankali ke-2

        -hasil sentuhan adobe selalunya sangat cantik …gambar2 dalam galeri gambar ust juga cantik…suka tgk. syukran sudi berkongsi…walau xdapat pi sana, dapat tgk gambar2 nya pn jadila…. sangat tersentuh hati melihat makam para imam…terutama imam as-syafie…sebak..

        atulasca’s menulis entri terkini..Finally…he has got his name \(^_^)/

          (Quote)

        • Farid Rashidi says:

          Setiap kali balik ke rumah Kedah Kaherah, saya pasti ketemu ustaz itu memandangkan dia juga menginap di sana.

          Bergantung juga kepada kreativiti kita. Kalau pandai design gambar suram akan jadi bercahaya Insya’Allah. Ada beribu keping lagi gambar sebenarnya. Takpa, slow-slow. Nanti saya masukkan lagi.

            (Quote)

  • nahmy says:

    sesat2 membawa berkat?? atau sesat di hujung jln kembali ke pangkal jln. atau sesat2 dpt maklumat…apapun semuanya dah ‘tersirat’.

      (Quote)

  • K Kin says:

    Nama tempat seakan sama, maunya tak konfius! Apa lagi masih baru di sana. Tp sekarang ni mesti farid dah terer jalan2 kat sana… pejam mata boleh sampai kot? (boleh ke? hehhe)

    K Kin’s menulis entri terkini..Minggu tat lemon

      (Quote)

    • Farid Rashidi says:

      Yups, namanya bila dengar sekali memang sama. Bezanya ‘Hayyu Asyir’ dan ‘Asyir’. Maksudnya ‘syeksen sepuluh’ dan ‘sepuluh’.

      Bolehlah sampai, tapi kena langgar tiang dululah. Takpun langgar keldai tepi jalan..hehe.

        (Quote)

  • sinar says:

    salam ustz…
    seawal ana bca entri ni..ana dh hidu antum akan sesat.. =)
    itu pengalamn ana juga..tpi dari situ ana trus ambil teksi..
    kondisi sedikit berbeza kerana Alhamdlh bwa duit lebih..
    Alhmdlh Allah izin antum berjumpa dgn insan yg pemurah..
    Allah yg bantu..btw kat mesir ni la byk ajar ana byk benda..
    kebergantungn kita ngan Allah tu lebih..
    Doa dan doa…insyaAllah Allah makbulkan..

    sinar’s menulis entri terkini..O’ Allah

      (Quote)

    • Farid Rashidi says:

      Salam,

      Saja entri ni agak street to the point..tak ada kias-kias. Alhamdulillah, terkadang kesusahan itu Allah nak menguji sejauh mana tahap kesabaran dan bagaimana untuk mengatasinya. Insya’Allah kalau hati terpaut kebergantungan pada Allah nescaya tak akan sesat selama-lamanya.

      Kamu sesat kemana?

        (Quote)

      • sinar says:

        banyak kali pernah sesat…
        plg ana igt…
        satu dari ghamra nak ke haiyu asyir..aleh2 bukan ke haiyu asyir madinatun nasr…mawaf asyir jga rasanya..tpi sempt bertnya so tak terlajak jauh & seigt ana tremco berhentikan ana kat tmpt lapang yang byk van ala2 tremco..sbb ana bertnya..abes semua penumpg suh trun cepat..bgs la..prihatin pula mereka..punyalah takut..trus ana thn teksi..

        satu lagi dari sabi3 nak ke abou risy..
        sepatutnya naik bas 14 tpi Allah izin ana tersilap pndg..dah confident naik bas 14, rupanya bas 12…ana sendiri tak tau kat mana tempt tu…tapi aleh2 pakcik bas tgk ana terpinga2, sbb letih sgt n tertidur, mujur dia suh naik bas lain kat akhir mahattah tu..

        satu benda ana belajar..kepekaan tu perlu..tawakal tu pun perlu..
        pendetailan dlm prmusafiran tu pun perlu.. =)kalau penat rehat la dulu…bhy kalau meneruskn perjalann..

        btw..bgs ust citer pegalmn sesat ni..akan jadi kenangan suatu hari nanti :)

        sinar’s menulis entri terkini..

          (Quote)

        • Farid Rashidi says:

          Saya rasa tempat itulah yang saya sesat. Mawaf Asyir. Tetapi lebih jauh dan dalam lagi dari Mawaf Asyir sehingga ke kampung pedalaman mana pun saya tak pasti.

          Tentu bayaran teksi mahal ya? standart cairo.

          Berseorangankah?

          Sangat penting peka, dengar, lihat. Leka boleh mengudang padah. Pencuri juga akan mengambil kesempatan sewaktu kita leka di atas bas.

            (Quote)

          • sinar says:

            Rasanya ust pun leh agak ana sorg ke tidak :)
            Moga Allah pelihara sllu..Alhamdlh ALLAH tu pelindung utama
            skrg belajar untuk lebih waspada..
            dunia ni mcm2 kerenah..aiwah bhy nya leka..
            tu kena peka..

            bayaran..biasa la cairo..mcm tu la..mereka tersepit dlm keadaan yg ada

            sinar’s menulis entri terkini..Giving Thank To Allah

              (Quote)

        • Farid Rashidi says:

          sinar: skrg belajar untuk lebih waspada..
          dunia ni mcm2 kerenah..aiwah bhy nya leka..
          tu kena peka..

          Kata seorang penceramah dahulu.. hidup di Mesir ini telinga perlu menjadi MP3 untuk merakam dan mendengar, mata perlu menjadi Kamera Digital barulah pick-up.

            (Quote)

  • nur_syahadah says:

    salam.. sebenarnya sesat boleh buat kita lebih berhati2.. saya pernah tersesat sampai nak masuk singapore..maklumlah jalan kat JB ni banyak sehala..salah masuk lorong,sudaahhh…dah jadi masuk imigresen.. pasni lebih berhati2 bawak kereta… :-)

      (Quote)

  • anasxz says:

    Lelaki sepatutnya macho dalam hal ni. Tak mudah panik kalau tersesat. Control macho lah konon. Memang, kena kontrol.

    Tapi memang patut pun sesat. Silap bajet. Baru mai.

    Tersesat-sesat pun, bukan satu yang berharga untuk kita nilai. Ia anugerah untuk golongan yang terpilih. Tersesat tanpa membayar tol.

    Bila tersesat, ada suatu pengalaman baru. Jalan yang tak pernah dilalui, terlalu sudah hari itu. Itu yang syoq.

    Cairo bandaraya kota metropolitan yang penuh pengajaran dan pembelajaran (P&P).

      (Quote)

    • Farid Rashidi says:

      Macho tak macho pun kalau dah terdesak kelam kabut juga dibuatnya Syeikh.

      Walaupun begitu saya dan kawan tetap berusaha ikhtiar untuk sampai ke destinasi juga. Hanya orang yang mengalami sahaja tahu tahap mana kemacholannya.

      Ada hikmat di sebalik kisah tersesat itu sebenarnya.

      Kerana bandaraya penuh pengajaran dan pembelajaranlah terbitnya novel Ayat-ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih. :)

        (Quote)



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge