Header image

Ukhuwwah, Farah dan Ziarah Di Atash, Damanhur

Posted by Farid Rashidi in Aktiviti | Diari Penulis | Jejak Kembara

Hembusan bayu terasa semakin dingin. Itu tandanya musim panas bakal melabuhkan tirainya pada tahun ini. Seterusnya putaran alam ini pasti diganti pula musim sejuk. Begitulah kebiasaan apabila hadirnya penghujung bulan September setiap tahun. Pergantian musim setelah beranjaknya masa sejam ke belakang memberikan isyarat hawa dingin kembali menghuni atmosfera utara.

Selepas menunaikan solat jumaat lepas, seorang sahabat saya Shahidudin mengajak berteman ke sebuah daerah bernama Atash. Bersungguh-sungguh sekali beliau mengajak saya menemaninya. Destinasi yang kami tuju ialah ke rumah Mithad, iaitu rakan sekuliah syu’bah Usuluddinnya. Beliau menjemput untuk menghadiri majlis pernikahan abangnya.

Fikir punya fikir, saya mengambil kata putus untuk menemaninya. Seorang lagi rakan iaitu Fadhil ikut serta berziarah bersama kami. Kami terus bertolak ke Gumlah iaitu tempat perhentian transit van dan kereta. Dari sini kami biasanya boleh ke serata furu’ Mesir seperti ke Kaherah,Iskandariah, Syibin El-Kom dan Damanhur. Oleh kerana kami ingin ke Damanhur, maka transport utamanya ialah sebuah van besar yang dipanggil dengan pelbagai gelaran seperti “Van Penyamun” dan “Van Kepala Khinzir”. Lucu mendengarnya.

Perjalanan memakan masa selama hampir satu jam itu melalui beberapa kawasan pertanian di antara Tanta dan Damanhur. Terasa tenang dan nyaman melihat kehijauan tumbuhan walau ianya diselaputi debu-debu halus. Pemandangan unik dan tersendiri itu tidak mampu diungkap dengan bait kata, tidak mampu diterjemah ke warkah tulisan. Hanya sekadar coretan ringkas buat tatapan dan pembacaan.

Setiba di Mawwaf Gadid Damanhur sudahpun masuk waktu asar. Sempat singgah bersolat di ‘surau kaki lima’ berdekatan. Sejurus kemudian, tiga rakan arab sekuliah Shahidudin datang untuk bersama-sama ke kampung yang ingin dituju. Pada sangkaan saya tidaklah jauh dari Mawwaf tersebut, tetapi memakan masa hampir 20 minit juga perjalanannya.

Selepas menaiki van penumpang, kami menyewa motor “Tuk-Tuk”. Jika anda pernah menonton filem-filem Hindustan, Indonesia mahupun Thailand pasti akan kenal rupa bentuk “Tuk-Tuk”.

Sesekali wajah ditampar angin petang apabila kenderaan kami merentasi kawasan pertanian tanaman seperti gandum dan padi. Petak-petak bertakung air di sekitar kawasan tanaman serasa bersilau hasil biasan cahaya mentari di ufuk barat. Kelihatan beberapa buah motor air sedang beroperasi menyimbah aliran ke takungan. Air itu seterusnya dialirkan ke kawasan penanaman di sekitarnya. Suara motor memecah hening kedamaian petang.

“Indah sekali kawasannya, damai dan tenang sayup mata memandang..” Getus hati kecil.

Bangau-bangau putih yang bertenggek di perbatasan sawah menambah seri panorama alam. Seingat saya suasana begini hanya dialami sewaktu usia saya masih kecil dahulu. Pernah mengikuti Atok, Nenek dan Emak ke sawah mengetam padi ketika musim menuai di kampung. Selepas penat lelah bekerja mengetam dan memukul padi, kami akan berkelah di tepian tali air sawah berteduhkan pepohon merimbun.

“Ah, sungguh indah sekali kenangan itu walaupun hanya sekadar menjamah nasi putih berkuahkan ikan singgang, ulam-ulaman dan ikan kering.” Memori usang itu bermain-main di dimensi minda seakan baru semalam merasai.

Namun, ia hanya menjadi bingkai kenangan yang sukar dilupakan. Kenangan silam itu kembali menjengah minda apabila melihat persamaan kampung bernama Atash. Cuma budaya dan watak menafikan persamaan itu.

Sesampai ke rumah Mithad, majlis perkahwinan sudah pun bermula. Kami disambut bagai Perdana Menteri yang ke dalam masyarat melihat perkembangan rakyat jelata. Perasaan malu dan segan yang menyelubungi diri tidak mampu ditepis apabila mata-mata asing merenung tajam. Kami terus dibawa masuk ke dalam ruang tamu rumah. Kelihatan seperti bilik menyambut tetamu. Rumahnya bukanlah semewah banglo mahupun Kondominium di Putrajaya. Binaannya hanyalah dibuat daripada batu bata berplasterkan pepasir dan berbumbungkan simen. Seakan petak bentuknya.

Sebelum membuka bicara, kami saling ta’aruf di antara satu sama lain. Hanya beberapa nama sahaja yang sempat diingati. Mithad, Hamada, Sya’ban dan Abduh.

“Mumkin ana syuf surah fi kamera bita’ak?” Pinta Sya’ban.

“Oh, tak ada masalah, silakan lihat.. Tafaddhal.” Izin saya setelah beliau meminta izin untuk melihat kamera. Mungkin beliau lihat saya asyik mengambil gambar sewaktu perjalanan sebentar tadi agaknya.

Sejurus kemudian, kami dibawa menjamu selera ke sebuah khemah jamuan yang didirikan bersebelahan rumahnya. Deretan hidangan makanan telah siap menanti untuk disantap. Antara menu mashyur wajib hidang ialah daging rebus, kuah lemak daging, nasi, makarona, roti, sedikit ulam-ulaman, kuih manisan dan jeli. Tidak seperti kebiasaan masyarakat melayu di Malaysia. Di sini masyarakat Mesir mengadakan jamuan tanpa menyediakan kerusi kepada tetamu. Maknanya kami menjamu selera secara berdiri. Maka tidak dapat tidak para tetamu dikehendaki makan secara pantas agar dapat memberi peluang kepada tetamu lain yang sedang menunggu.

Sebelum saya melangkah ke masjid untuk menunaikan solat maghrib, sempat saya mengerling kearah sekelompok wanita arab bersorak riang dan bertepuk tangan meraikan pengantin lelaki yang akan menuju ke rumah pengantin perempuan. Kelihatan kelibat pengantin lelaki yang segak mengenakan kot hitam dan bertali leher. Mithad dan rakan-rakannya memanggil kami untuk bergambar dengan abangnya.

Pada sebelah malamnya, sambil menunggu pengantin lelaki sampai kami beramah mesra dengan penduduk kampung yang hadir. Meriah sekali suasana rumah kenduri. Kelihatan kerusi-kerusi sudah diatur khusus buat tetamu yang hadir.

Suasana malam semakin sejuk apabila semilir angin menghembus lembut. Kawasan ladang gandum disekitar kampung menaikkan suasana panorama malam. Sesekali cenggerik malam bersenandungkan irama lagu yang sukar dimengertikan. Ripuh suara anak-anak kecil lari berkejaran di halaman rumah. Lampu-lampu berwarna-warni indah menghiasi kediaman.

“Enta aiz tasyrab syai?” Soal Ammu di sebalah saya.

“Na’am, boleh juga..” Saya menyambut pelawaannya. Lalu kami dihidangkan minuman teh panas melengkapi tradisi apabila menyambut tetamu yang bertandang.

Saya terus mencapai kamera Canon untuk merakamkan detik manis itu.

“Mumkin ehna taswir kullu?” Pinta saya untuk bergambar beramai-ramai bersama mereka. Gembira bukan kepalang apabila saya mengajak mereka bergambar. Bertubi-tubi flash ditekan.

Tersenyum melihat gelagat seorang Ammu apabila saya menyerahkan kamera kepadanya untuk mengambil gambar kami. Setelah saya mengajarnya cara-cara untuk menggunakan kamera, lantas beliau mencuba. Kelihatan riak wajahnya mempamerkan rasa gembira. Pelbagai persoalan mereka tanyakan kepada saya mengenai kamera tersebut. Ini kerana setelah ditinjau menyeluruh, jarang didapati terjual kamera-kamera digital hatta bandar besar seperti Kaherah sekalipun. Pada hemat saya, mungkin permintaan pembeli kurang atau mungkin agak mahal harganya.

Sedang sibuk melayan karenah masyarakat kampung, Mithad menegur kami.

“Antum tidurlah kat sini, esok pagi baliklah..” Cadang Mithad.

“Maaflah, kami tak boleh lama sebab malam ni terpaksa bertolak ke Kaherah, esok hari ada program di sana.” Jelas Shahiduddin.

“Kalau begitu, tunggu dulu jangan balik lagi sekarang. Tunggu Abang saya balik bawa pengantin perempuan sekejap lagi, mesyi?”

“Baiklah, tapi tak boleh lama.” Jawab Shahiduddin kembali.

“Mari saya bawakan melihat rumah pengantin lelaki, ta’al ya Akhi!” Pelawa Mithad seraya bangun daripada kerusi. Beliau kelihatan menuju ke belakang rumah. Saya hanya membontoti sahaja.

Kami dibawa masuk ke sebuah rumah yang terletak tidak jauh dari rumah kedua orang tua Mithad.

Cantik sekali rekabentuk hiasan dalaman rumah pengantin. Ia turut dilengkapi dengan perabot baru, siap dan lengkap segalanya. Lalu saya cuba menjenguk ke ruang dapur yang terletak di sudut kiri. Terdapat alatan set pinggan mangkuk sudah tersedia di atas rak dapur. Begitu juga di dalam kamar pengantin turut tersedia katil bercadar merah menutupi tilam empuk.

Usai sessi melawat rumah, kami dibawa ke atas sutuh (bumbung rumah tersebut) untuk berbual-bual sambil menunggu kedatangan pengantin. Selembar tikar plastik dihamparkan untuk diduduki. Beberapa botol minuman berkarbonat disediakan buat penghilang dahaga ketika berbual. Sekali lagi kami berta’aruf mesra dan berbual pelbagai topik semasa.

Pekat malam serasa indah bila kelihatan hamparan bintang yang menghiasi. Ia memahatkan kenangan yang tidak dapat dilupakan!

Jam menunjukkan angka 10 malam. Sedang ralit berbual, abang Mithad mengkhabarkan bahawa pengantin akan tiba sekejap lagi. Kami bergegas turun menuruni anak tangga menuju ke halaman semula. Tidak lama selepas itu, muncul sebuah kereta diiringi beberapa buah kenderaan pengiring yang lain. Orang ramai yang menanti sedari awal terus mengerumuni pengantin yang baru sahaja keluar dari kenderaanya.

Hiruk pikuk suara menghiasi ketibaan sepasang pengantin pada malam itu. Kemeriahannya jelas terpampang di wajah kedua belah keluarga mempelai pengantin. Kami bergambar kenangan bersama-sama pengantin lelaki dan kaum keluarga.

Ketibaan pengantin lelaki dan perempuan itu mengakhiri tentatif.

“Nah dukung budak perempuan ni.” Saya disuruh dukung seorang kanak-kanak perempuan berkain kembang seakan pengantin ketika bergambar beramai-ramai.

“Ha, bolehlah bawa dia balik Malaysia!” Gurau Ayah Mithad diselangi gelak tawa hadirin.

Akhirnya kami meminta izin untuk pulang walau berkali-kali didesak untuk bermalam dirumah mereka. Namun permintaan itu terpaksa kami tolak secara baik memandangkan kamu mahu meneruskan destinasi ke Kaherah pula. Bimbang tiada kenderaan pula bila lewat malam.

Kami menumpang sebuah kenderaan Chevrolate untuk keluar ke jalan utama. Berhimpit-himpit di dalam sebuah trak seakan pelarian perang melarikan diri daripada diserang musuh.

Secebis Ukhuwwah

‘Lafaz Tak Terucap’ itulah ungkapan yang layak untuk diucap hasil ukhuwah yang terjalin antara kami walaupun sebentar cuma. Lebih tersentuh hati apabila rakan kami Ahmada, Sya’ban dan Abduh membantu merebut tempat duduk ketika bersesak-sesak menaiki van ke Kaherah. I am so appreaciate with this relationship..thanks to Allah for this gift.

Alhamdulillah berkat pertolongan mereka, kami berjaya meloloskan diri. Kami bertiga terus bergerak ke Kaherah, manakala rakan arab pula bertolak pulang Kafru Syeikh, Tanta.

5:31AM, 13 Oktober 2008,
Siberbay, Tanta.

You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 You can leave a response, or trackback.

54 Responses

  • myfahmi says:

    :) ) salam…

    tak larat baca..
    hg tolong baca utk aku laa
    hihihi…

      (Quote)

  • Ibnurashidi says:

    Salam…

    Waduhh..bagaimana boleh dua ID satu nama ni?:))
    nama juga berlainan ya Pak?

    “Membaca itu bukan segalanya tetapi dengan membaca dapat mengetahui apa yang tidak diketahui”

      (Quote)

  • Tirana says:

    Salam Farid..

    Pengalaman yang sudah tentu indah kan? Mengenali budaya orang arab dalam majlis perkahwinan mereka. Sudah tentu berbeza dengan budaya kita, orang melayu Malaysia.Bila saya tengok tajuk “ukhuwwah Farah….”, saya ingatkan Farid dah bertemu jodoh dengan farah (dalam hati dah ucapkan alhamdulillah) tapi farah tu rupa-rupanya majlis kawin orang arab..:D

    Kawasan pertanian tu sekali tengok macam sawah padi di kampung saya aje :)

      (Quote)

  • Ibnurashidi says:

    Tirana..

    Salam alaik..pengalaman manis sudah tentu menghasilkan yang indah belaka Insya’Allah. Berbeza sangat, dari lafaz akad nikah sehinggalah ke Majlis perkahwinannya. Sahabat saya pernah dinikahkan oleh Syeikh arab berketurunan Rasulullah SAW, namanya Syeikh Ibrahim Al-Kittani di Iskandariah. Alhamdulillah saya sempat mengikutinya dan merakamnya. Dari sebutan lafaznya berbeza, lebih mudah berbanding style Melayu.

    Saya dah agak, saja cuba gempakkan tajuk:D. Yer, semacam sawah padi diMalaysia. Tanamannya berbeza sikit.

      (Quote)

  • A t i Q a h says:

    Seronok duduk di tempat orang ni kan. Selain menuntut ilmu, dapat belajar budaya mereka. Yang baik tu boleh dijadikan contoh. :)

      (Quote)

  • Ibnurashidi says:

    AtiQah..

    Sebab itu kadang-kadang fikir ada baiknya juga peribahasa “sambil menyelam sambil minum air”..tapi jangan terlebih minum, lemas pula nanti.

    “Ambillah yang jernih buang yang keruh”

      (Quote)

  • alkhadra' says:

    Bismillahirrahmanirrahim…

    Assalamualaikum…

    pertemuan itu tidak terletak selama mana perkenalan dan sekerap mana pertemuan berlaku. tetapi ia akan jadi lebih indah atas penghargaan yang kita beri dalam acuan masa yang diberi. Dan sejauh mana ia bertakhta di hati, ia terletak kepada sejauh mana kita saling mengingati di dalam doa yang merupakan perutusan terus ke hati setiap manusia.

    kerana ukhwah itu indah dan suci persih bunga yang mewangi di taman dunia dan mampu terus mewangi di taman syurga, atas ingatan kita kerana ALLAH swt, semuanya kerana ALLAH

    wallahua’lam

    *i just can’t stop smiling reading the feedback from ukht Tirana above..*

    siiru ala barakatillah…ALLAH yukhallik

      (Quote)

  • nurhuda_cahayapetunjuk says:

    Assalamualaikum..

    Wahh..bertuah akhi dapat merasai pengalaman di tempat org, di bumi anbia’…
    Ukhwah itu indah..;)

      (Quote)

  • Ibnurashidi says:

    Wa’alaikumsalam Alkhadra’..

    Sekian lama menyepi baru kini menjelma kembali..mungkin busy agaknya ye.

    Bahasa yang agak mendalam untuk difahami. Saya terpaksa menggunakan pacaindera yang lima untuk cuba memahami. Apa yang pasti sememangnya ukhwah itu indah jika bersulamkan keimanan dijiwa. Saya berharap dapat bertemu lagi kawan arab bersikap begitu lagipun mereka sudah pun menamatkan pengajian masing-masing dikuliah Usuluddin.

    Sahabat yang baik umpama untaian tasbih saling berkaitan antara satu sama lain. Punya kelebihan tersendiri.

    i also smiling while i read her comment’s because the smiling can give happiness and cheerful..

    Barakallahhu fik..

      (Quote)

  • Brahimnyior says:

    Menarik sekali perkongsian pengalaman, dengan ayat mudah dan gambaran cerita yang berturutan. Seolah saya juga sebahagian daripada tamu. Dengan adanya foto (tentunya melalui Canon digital yang canggih manggih tu), ia mengukuhkan lagi penceritaan.

    Kesimpulannya, bahasa tuan baik, bakat penulisan memang ada. Teruskan paparan di bumi anbia, moga beroleh rahmat Allah..

      (Quote)

  • pendekar says:

    :D

    ana masih belum sempat nak kesana, teringin juga, melihat budaya yang berbeza

      (Quote)

  • whitetulip says:

    Indah sungguh pengalaman ante di sana. Seronok membaca. Ukhuwafillah itu memang indah, kan??syukur..

      (Quote)

  • orangbukit says:

    Menarik sungguh pengalaman sdr. Orang Arab nampaknya sangat meraikan tetamu walaupun baru kenal. Ihtirom Duyyuf tu apa maknanya? Ambil berkat kot?:D

      (Quote)

  • cikMilah says:

    Salam lewat Aidilfitri..menarik kisah ini.
    Jika kita menuntut ilmu dinegara orang, yang kita perolehi bukan sahaja ilmunya, tapi juga bahasanya dan budayanya. Semua itu penajam akal dan penyemarak dewasa.

      (Quote)

  • Rendah diri says:

    wah….seronoknya…tapi bab makan cepat2 dengan berdiri tu..tak bolehla pulak saya nak komen lebih2 mungkin adat di sana memang macam tu…

    tuan ibnurashidi kalau nak kahwin dengan orang sana nanti postla jugak kat blog ni ye…(hihi..pengaruh ‘ayat-ayat cinta’)

      (Quote)

  • Huda Huzaifah says:

    salam,
    teringin sekali berpijak di bumi anbiya..
    novel ayat – ayat cinta pn byk ceritakan situasi disane. semoga hidupmu sentiasa diberkati oleh Nya.

      (Quote)

  • suara says:

    Salam…
    Kak Su nak tengok gambar pengantin la. Agaknya bagaimanalah hiasan pengantin kat sana. Banyak persalinan macam kat Malaysia ke…?

      (Quote)

  • Ibnurashidi says:

    Wa’alaikumsalam cahayahuda_petunjuk..

    Alhamdulillah ukhwah itu indah pengalaman itu bermakna, ilmu itu mutiara, iman itu kemanisan.

      (Quote)

  • Ibnurashidi says:

    Brahimnyior..

    Syukur Alhamdulillah, itu matlamat saya. Bila sampai apa yg hendak disampaikan maka tercapai akan matlamatnya. Biar bahasa mudah digunakan asal pembaca faham, jangan berbelit tetapi tiada penghujungnya. Pohon sebarang pembetulan jika ada kesalahan. Insya’Allah. Barakallahhu fik..Rabbuna Yustur Alaik..

      (Quote)

  • Ibnurashidi says:

    Pendekar..

    Rabbuna Yu Sahhil..niat yang baik semoga dimakbul Allah biiznillah..

    Kamu dimana ya Pendekar?

      (Quote)

  • Ibnurashidi says:

    Whitetulip..

    Perjalanan mengikut acuan betul, pengamatan yang teliti akan menghasilkan pengalaman bermakna. Jika bermusafir, bukalah minda, peka dengan sekeliling, lihat alam seluasnya, dengar sebaik-baiknya nescaya hasilnya lumayan. Firman Allah SWT :-

    “..dan orang-orang yang menghubungkan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan [Yaitu mengadakan hubungan silaturahim dan tali persaudaraan], dan mereka takut kepada Tuhannya dan takut kepada hisab yang buruk.”

    (Ar-Ra’d : 21 )

      (Quote)

  • Akak says:

    Salam Ibnurashidi…

    Seronoh dapat pengalaman mengenali adat dan budaya org lain, pengalaman yg sangat2 berharga dan tak mungkin dtg selalu..

      (Quote)

  • Ibnurashidi says:

    Orangbukit..

    Semestinya..teringat saya akan kisah arab jahiliyyah. Mereka sentiasa menghormati tetamu yang hadir walau itu musuhnya.

    ‘Ihtirom Duyyuf’ yakni memuliakan tetamu.

      (Quote)

  • Ibnurashidi says:

    cikMilah..

    Benar Makcik, sebab itu terasa rugi benar jikalau diperantauan hanya terterap dirumah sahaja. Jika tiada majlis ilmu sebaiknya cuba merantau beruzlah melihat suasana masyarakat. Permata tidak akan diperolehi jika tidak diselami.

      (Quote)

  • Ibnurashidi says:

    Rendah Diri..

    Dalam hal berdiri ketika makan saya agak kurang bersetuju dengan adat begitu. Namun, saya cuba meraikan adat mereka.

    Harapan tinggal harapan. Terasa jauh sekali mahu ke arah itu, berniat juga tak berani. Kahwin Arab risiko lebih tinggi..hehe. Biarlah bertemu yang sepadan dengan diri.

      (Quote)

  • Ibnurashidi says:

    Huda Huzaifah..

    Waahh, famous sekali ya Novel tu di Malaysia. Dalam Ayat-Ayat Cinta Hanya sekelumit pengalaman ditulis. Banyak lagi keadaan yang belum digambarkan.

    Semoga Allah merahmati kita semua. Amin Ya RAbbal Alamin..

      (Quote)

  • Ibnurashidi says:

    Suara..

    Nak tengok gambar pengantin ya..hurrmm, mahal tu. Kena bayar lebih ni. Insya’Allah. Tapi kadang-kadang ada pengantin yang tidak bertudung. Mekapnya usah dikata. Ada yang lebih Islamik. Pelbagai jenis pengantinnya.

    Untuk gambar pengantin kisah di atas, kami tak dapat nak ambil gmbr pengantin pmpn. Lelaki sahaja. Memandangkan ianya dilarang.

      (Quote)

  • Ibnurashidi says:

    Akak..

    Betul, betul betul..adat kahwin di Malaysia pun sebenarnya saya belum tahu habis lagi. Tambah-tambah budaya minangkabau di Nogori 9.:)

      (Quote)

  • Ibnurashidi says:

    Sebagai tambahan nota kaki, saya sertakan makna kalimatnya :-

    Syu’bah : Kursus

    Furu

      (Quote)

  • orangbukit says:

    Sambil berkongsi pengalaman, boleh belajar bahasa Arab sekali. Uni Al-Azhar ada brp cawangan?

    Jazakallahukhairan khatira.

      (Quote)

  • Ibnurashidi says:

    Buat masa ni antara cawangan Al-Azhar ialah Kaherah, Tanta, Iskandariah, Mansurah, Damanhur, Zaqaziq, Dumyat, Shibin El-Kom, Shoubra,dan Tafahana. Yang lain-lainnya ialah cawangan perubatan Tibb.

    Ada apa boleh dibantu lagi?:)

      (Quote)

  • orangbukit says:

    Thank you for the info. Just for general knowledge. Byknya cwgan, yelah antara universiti tertua di dunia. Tak lama lagi ada cwgan M’sia pulak. Entah on ke tidak project tu, wallahua’lam. Setakat ni, blm ada soalan2 lain:D

      (Quote)

  • Ibnurashidi says:

    Sama-sama..

    ??? ?????? ??? ?????? ???? ??? ??????

    Ya, banyak cawangannya. Tu belum masuk yang bahagian Kesusasteraan, Medical or any course under University Of Al-Azhar..

    Saya ada juga dengar cawangan di Malaysia…namun persekitarannya tetap takkan sama dengan yang asal. Tak gitu?

      (Quote)

  • Tie says:

    Wah! Beruntungnya dapat mengenali majlis perkahwinan dan budaya di sana. Tentu banyak yang dapat dipelajari.

      (Quote)

  • Ibnurashidi says:

    Tie..

    Belum cukup lagi kalau bagi saya..rasa belum puas. Peluang yang ada mahu saja mengutipnya. Biar penuh berbakul-bakul, supaya kelak punya input untuk dioutputkan.

      (Quote)

  • kin hashim says:

    hhmmm…menarik dpt tengok sendiri dan turut serta dlm majlis perkawinan org arab. walaupun kita sama agama, tp budaya berbeza. mm…kalau diberi pilihan, agak2 tuan blog ni lebih suka kawen ikut budaya org arab ke ikut budaya org melayu? ehhehe..brapa lama lagi ibnurashidi kat sana? sekrg dah dapat berapa bakul kutip pengalaman? ;) .

      (Quote)

  • Ibnurashidi says:

    Masuk ni kalau tak silap saya dah 2,3 kali saya join Majlis kenduri arab. Ingat lagi ada sekali saya pernah dijemput seorang kenalan arab. Dia tokei kedai CC. Abangnya kahwin, jadi jemput kami ke Majlisnya. Tidak semena-mena jadi penonton Tarian Gelek dan Main pukul-pukul kayu (ganti pedang). Boring asyik tengok orang dok berjoget terus pulang awal.

    Gabungan budaya Arab dan Melayu. Mesti menarik bukan?:)Alhamdulillah skrg dah tahun akhir. Bukan setakat bakul, tapi kontena kargo:)

      (Quote)

  • orangbukit says:

    Agreed with you. Cwgan kat M’sia mana nak sama dgn yang asal. The sound, the smell, the environment, the people, the culture,etc and of course, the country, are all totally different. Enjoy your stay there..

      (Quote)

  • eya says:

    salam…
    sungguh menarik sekali pengalaman yang saudara perolehi…jadikan ia sebagai pengalaman dan pengajaran dalam hidup.saya pernah dijemput menghadiri majlis kahwin anak angkat ibu saya.yang menariknya kedua-dua mempelai budaya yang berbeza.cina dan arab jordan.walaupun majlis itu di buat dengan ringkas dan sederhana tetapi saya dapat melihat budaya dan adat orang arab jordan sangat berbeza dan menarik.itu baru d majlis di malaysia macam mana la pulak kalau di negeri sana jordan mesti lagi meriah agaknya…saya bersyukur dan gembira dapat melihat kedua mempelai berlainan agama di satukan.

      (Quote)

  • Ibnurashidi says:

    Orangbukit..

    Of course here totally different, especially about there noise “mancung”..hehe.

    Apapun, biasanya benda yang Original lebih elok qualitinya dari benda yang dicuplik.

      (Quote)

  • Ibnurashidi says:

    Eya..

    Menurut cerita saudari, mereka berlainan agama berjaya disatukan. Bersatu di dalam Islamkah?

    Namun, dalam melihat kepelbagaian budaya jangan lupa dicombine dengan agama kita. Bukan apa, dibimbangi Adat melebihi Ibadat..Jika tidak bertentangan, dipersilakan melangsungkannya.

      (Quote)

  • EYA says:

    yup cina masuk islam…

      (Quote)

  • Ibnurashidi says:

    oowhh, Alhamdulillah kalau cina yang masuk Islam..Semoga ramai lagi yang mengikuti jejak langkah begitu..

      (Quote)

  • arsaili says:

    salam..cam mana eid yg masih berbaki?

      (Quote)

  • Ibnurashidi says:

    Salam Arsaili..

    Sambutan Aidilfitri di sini sudah pun sepi. Kembali normal spt hari-hari biasa. Cuma adalah sahabat sorang dua yg buat ‘open house’. Di Malaysia rasanya pasti ada masih buat lagikan..

      (Quote)

  • tintaHati says:

    Baru-baru ini pakcik saya menikah dengan gadis arab dari morroco. Tertarik juga melihat video majlis mereka. Tetamu yang datang diberi minum susu n mkn kurma. Ada juga tarian. Pengantin pula diarak n diusung. :)

      (Quote)

  • Ibnurashidi says:

    TintaHati…

    Hurmm, teringat kata-kata DR saya dahulu. Dia lulusan Universiti Morocco. Katanya gadis arab morocco orangnya kecil molek macam melayu kebanyakkannya.

    Ada sesetengah yang lebih Islamik takkan adakan majlis tarian. Biasalah, bila adat melebihi ibadat apa-apapun boleh jadi.

      (Quote)

  • Nur_syahadah says:

    Salam ziarah kembali.. Wah!byk btl pengalaman menark dpt d kngsi.sernk ek dpt tgk suasana bru.. Bestnye kalau dpt g sane.teringn!..pe2 pun cra menuls ibnurashdi yg mcm pnls nvel lg m’buatkn saya b’kobr2 nak g.. :)

      (Quote)

  • Nur_syahadah says:

    Oh yee..bile stat kuliah?

      (Quote)

  • Ibnurashidi says:

    Terima kasih kerana berziarah Nur Syahadah..

    Macam aje penulis novel, tapi belum lagi. Baru mula berjinak-jinak dengan alam penulisan. Kalau dinisbahkan kepada bayi kecil, umpama baru nak tumbuh gigi agaknya:)

    Setiap masyarakat ada keunikan, namun tetap ada pro dan kontra..ada positif dan negatif. Bak pepatah nenek moyang kita, buang keruh ambil yang jernih.

    Alhamdlullah, kuliah baru memanaskan enjinnya. Saya baru saja menjenguk bangunan-bangunan berdebu itu.

      (Quote)

  • kawaii_desu says:

    Salam, terkedu sekejab melihat nama kita disebut2… lupa pulak nama saya ni nama arab :) I thought Farah means happiness??

    anyway, u r lucky..
    dulu ingat masa kita banyak berkawan dgn org2 jordan, ada jugak belajaq budaya mereka… kental dgn budaya…

      (Quote)

  • Ibnurashidi says:

    Salam..Kawaii_desu..

    Mujur terkedu saja bukan terkejut:)
    Ya, Farah ertinya gembira.

    Arab kuat berbudaya. Budaya luar nak masuk n pengaruh agak susah.

      (Quote)

  • Ibnurashidi says:

    Salam..Kawaii_desu..

    Mujur terkedu saja bukan terkejut:)
    Ya, Farah ertinya gembira.

    Arab kuat berbudaya. Budaya luar nak masuk n pengaruh agak susah.

      (Quote)

  • Pingback: Faridrashidi.Com » Blog Archive » Mas Kahwin 60,000!



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge